LA GUAIRA: Barisan penduduk yang menunggu untuk menerima bantuan di La Guaira, Venezuela, semakin hari semakin panjang selepas rantaian mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat dua kejadian gempa bumi dahsyat minggu lalu, kini tiada arah lain untuk dituju.
Rakyat Venezuela kini terpaksa mengambil alih tanggungjawab berkenaan berikutan kejadian gempa bumi berkembar itu yang dilaporkan telah mengorbankan hampir 2,000 nyawa dan menjejaskan lebih 15,000 penduduk yang lain, memetik angka rasmi kerajaan.
Sumbangan serta kehadiran sukarelawan dari seluruh pelosok negara kini membanjiri wilayah La Guaira yang terjejas paling teruk terjejas, di mana pihak berkuasa mengisytiharkannya sebagai zon bencana.
Kenderaan persendirian dilihat mengedarkan pelbagai barangan keperluan asas bermula daripada bekalan air dan makanan sehinggalah kepada kertas tisu serta sabun basuh.
Pada masa yang sama, trak milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO), World Central Kitchen turut kelihatan mundar-mandir di sekitar bandar pesisir pantai berkenaan.
“Tanpa bantuan seperti ini, saya benar-benar tidak tahu apa yang akan terjadi kepada kami,” kata seorang penduduk, Nataly Cardona, 24, yang terselamat dalam runtuhan apartmennya namun kini terpaksa menumpang teduh di jalanan.
Saban jam, usaha untuk mendapatkan bekalan makanan dan air bersih di pasar-pasar sekitar La Guaira menjadi semakin sukar, selepas wilayah itu lumpuh akibat gempa bumi bermagnitud 7.2 dan 7.5 pada Rabu lalu.
Kumpulan doktor dan doktor veterinar turut bergegas ke La Guaira bagi menawarkan bantuan kepakaran mereka.
Kerlis Artigas, 30, merupakan seorang pegawai perubatan dari wilayah luar yang menyertai Briged Merah Jambu iaitu pasukan pakar perubatan dan penuntut universiti yang merawat mangsa cedera serta menyumbang ubat-ubatan kritikal.
Pasukan itu yang mudah dikenali menerusi lilitan lengan berwarna merah jambu, meluangkan masa pada Selasa lalu menyantuni mangsa di pusat perlindungan sementara di sebuah padang golf.
Di kawasan berkenaan, kemudahan perubatan mudah alih yang dikendalikan oleh doktor dari Mexico, Itali, El Salvador dan beberapa negara lain turut beroperasi.
Walaupun pihak berkuasa telah menyediakan beberapa pusat bantuan di sepanjang jalan raya yang musnah di bandar itu, rata-rata mangsa yang terselamat mengakui mereka berasa lebih selesa menerima bantuan daripada pihak luar dan sukarelawan berbanding kerajaan sendiri.
“Orang yang betul-betul membantu kami di sini adalah mereka yang datang dari luar. Anggota polis dan pegawai yang dihantar ke sini sebaliknya hanya berdiri, mengambil foto dan sibuk merakam video TikTok,” kata seorang penduduk, Tibisay Mendez dengan nada kesal.
Seorang lagi mangsa, Raoni Izaguirre menyifatkan sikap tidak peduli pihak kerajaan sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.
“Jika Venezuela mempunyai sumber yang mencukupi, agensi kerajaan sepatutnya menggunakan kelebihan itu untuk membantu kami. Namun, mereka hanya berpeluk tubuh dan sekadar menanti bantuan luar yang amat kami perlukan tiba,” ujarnya. -AFP









