MIMF perkukuh industri pembuatan, sasar lebih 10,000 pengunjung

MIMF perkukuh industri pembuatan, sasar lebih 10,000 pengunjung

ABU Hasan Mohd. Nor (tiga dari kanan) dalam sidang media Pameran Jentera Antarabangsa Malaysia (MIMF) ke-37 di Kuala Lumpur hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pameran Jentera Antarabangsa Malaysia (MIMF) ke-37 menyasarkan kehadiran lebih 10,000 pengunjung dengan penyertaan 700 hingga 800 gerai pameran, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai platform utama mempertemukan pemain industri tempatan dan antarabangsa.

Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM), Datuk Seri Abu Hasan Mohd. Nor berkata, penyertaan pameran kali ini dijangka didominasi oleh syarikat tempatan, di samping penyertaan antarabangsa yang signifikan, selaras dengan matlamat MIMF untuk memperluaskan jaringan perdagangan dan pelaburan merentas sempadan.

“Kami turut menggalakkan lebih ramai usahawan Bumiputera hadir bagi meneroka teknologi pembuatan terkini yang mampu meningkatkan kecekapan operasi serta mempercepatkan proses pengeluaran.

“Antara teknologi yang diketengahkan termasuk sistem pelabelan, pembungkusan, pemprosesan makanan serta teknologi retort, dengan nilai pelaburan mesin dianggarkan antara RM200,000 hingga RM500,000 bergantung kepada spesifikasi dan kapasiti,” katanya dalam sidang media MIMF di sini hari ini.

Selain itu, beliau berjata, pameran ini memberi penekanan kepada penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sektor pembuatan bagi membantu syarikat menghasilkan produk yang memenuhi piawaian antarabangsa dan lebih bersedia untuk menembusi pasaran eksport.

Jelasnya, MIMF berfungsi sebagai platform untuk mempercepatkan transformasi industri ke arah automasi, digitalisasi dan peningkatan produktiviti, sekali gus menyokong agenda kerajaan dalam memperkukuh daya saing produk tempatan di peringkat global.

“Dengan tema yang memfokuskan kepada kesiapsiagaan eksport atau export ready, MIMF diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak syarikat tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa menerusi penggunaan teknologi moden dan inovasi industri,” katanya.

Pameran yang akan berlangsung pada 16 hingga 18 Julai ini akan mengetengahkan pengisian Malaysia International Food Processing, Packaging & Bakery Equipment Exhibition (MY-PACK PRO), sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai platform utama bagi industri pemprosesan makanan, pembungkusan, automasi dan teknologi mesin di rantau Asia.

Sejak diperkenalkan pada 1989, MIMF mencatatkan 36 tahun legasi sebagai antara pameran industri mesin paling berpengaruh di Malaysia.

Edisi tahun ini dijangka menarik lebih 10,000 pelawat perdagangan profesional yang terdiri daripada pengeluar, pengedar, pengimport, pengeksport, pelabur, agensi kerajaan, persatuan industri dan pemimpin perniagaan dari dalam serta luar negara.

Lebih 700 reruai pameran akan mengambil bahagian dengan kira-kira 70 peratus penyertaan melibatkan syarikat antarabangsa dari China, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Indonesia, Bangladesh, Thailand, Vietnam, India, Jerman dan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN