KUALA LUMPUR: Trend pengambilan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan semakin membimbangkan apabila seramai 135 individu ditahan dalam operasi yang dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) baru-baru ini.
Kesemua mereka yang ditahan membabitkan 121 pemandu lori dan 14 individu lain dalam 44 Operasi Bersepadu yang dijalankan sepanjang tempoh April hingga Jun lalu.
Operasi bersepadu itu melibatkan 627 petugas terdiri 273 anggota JSPT diikuti Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (31 orang) dan pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (323 orang).
Pengarah JSPT, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, dalam operasi itu, hampir 90 peratus daripada tangkapan membabitkan pemandu kenderaan perdagangan dikesan positif dadah hasil 713 ujian saringan air kencing yang dijalankan sepanjang tempoh operasi.
Menurutnya, operasi itu difokuskan di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur.
“Dalam operasi ini, kita memberi fokus pemeriksaan terhadap pemandu treler, lori, bas ekspres, bas pekerja, bas sekolah serta kenderaan yang membawa bahan berbahaya.
“Kita (JSPT) turut memeriksa lesen vokasional, iaitu Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Lesen Vokasional Barangan (GDL), selain dokumen syarikat.
“Ia bagi memastikan hanya pemandu yang layak, kompeten dan bebas daripada pengaruh dadah dibenarkan berada di jalan raya,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata dadah jenis metamfetamin paling banyak dikesan dalam kalangan pemandu lori menerusi operasi berkenaan.
“Berdasarkan trend semasa, ada pemandu dipercayai mengambil bahan larangan itu kerana tempoh pemanduan yang lama.
“Bagi mereka, ia merupakan jalan pintas untuk meningkatkan keupayaan diri ketika memandu. Namun, dalam jangka panjang, ia merosakkan diri dan membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain,”jelasnya.
Muhammed Hasbullah berkata penggunaan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan boleh menjejaskan tumpuan, pertimbangan dan keupayaan mengawal kenderaan.
“Keadaan itu meningkatkan risiko kemalangan maut yang menyebabkan kehilangan nyawa serta kerugian besar kepada masyarakat dan negara,” jelasnya.
Beliau berkata, dalam operasi yang sama, kesemua 135 individu yang ditahan didakwa mengikut beberapa peruntukan Akta Dadah Berbahaya (ADB).
“Seramai 27 individu didakwa mengikut Seksyen 3(1), tiga individu mengikut Seksyen 12(2), 101 individu mengikut Seksyen 15(1), tiga individu mengikut Seksyen 39A dan seorang lagi mengikut Seksyen 6 ADB,”ujarnya.
Dalam pada itu, Muhammed Hasbullah menegaskan JSPT tidak akan berkompromi, malah akan memperketat serta memperbanyakkan operasi bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
“Semua syarikat pengangkutan dan pengendali kenderaan perdagangan disaran melaksanakan pemantauan berkala terhadap pemandu masing-masing,” katanya. – UTUSAN









