Buat isteriku, terima kasih untuk enam tahun dengan perjalanan yang begitu indah - Jazmy Juma - Utusan Malaysia

Buat isteriku, terima kasih untuk enam tahun dengan perjalanan yang begitu indah – Jazmy Juma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kini bergelar suami orang, pelakon, Jazmy Juma tampil menitipkan ucapan terindah buat isteri tercinta, Farah Athirah.

Menurut Jazmy, meskipun perlu melalui jalan yang penuh berliku sepanjang enam tahun perkenalan, dia bersyukur Farah menjadi pendukung setia dalam setiap jatuh bangunnya.

“Buat isteriku, terima kasih untuk enam tahun dengan perjalanan yang begitu indah, manis dan penuh kenangan yang tak akan pernah saya lupakan.

“Terima kasih kerana sentiasa ada di sisi saya, dalam setiap jatuh bangun, sehingga ke hari ini. Alhamdulillah, pada bulan yang penuh bermakna ini, Allah mengizinkan kita menghalalkan hubungan yang telah lama kita bina,” katanya menerusi sebuah hantaran di Threads.

Menerusi hantaran tersebut, pelakon drama Hilang Dalam Rindu itu juga sedia menggalas tanggungjawab sebagai seorang suami, malah menganggap fasa baru ini sebagai permulaan untuk dirinya mendalami ilmu berumah tangga.

“Alhamdulillah. Selepas segala liku-liku, pengorbanan, kepercayaan dan toleransi yang kami bina bersama selama enam tahun, hari ini saya memikul satu tanggungjawab baharu sebagai seorang suami.

“Perjalanan ini mengajar saya bahawa masih banyak lagi pengajaran dan pengalaman yang akan kami lalui bersama. Semoga setiap ujian dan setiap kebahagiaan yang mendatang menjadi kekuatan buat kami berdua dalam membina rumah tangga yang diredai Allah,” tulisnya.

Dalam masa sama, Jazmy turut menzahirkan penghargaan buat keluarga tersayang serta kenalan terdekat yang banyak memberi sokongan dan menjadi saksi kisah percintaan mereka berdua.

“Terima kasih juga buat semua yang menjadi sebahagian daripada perjalanan ini. Buat keluarga saya, kakak, abang, adik, terutama sekali mak bapak dan mama, terima kasih kerana tidak pernah putus-putus memberikan nasihat, doa dan sokongan sepanjang kami saling mengenali.

“Nasihat dan kasih sayang kalian menjadi kekuatan untuk kami terus memperbaiki diri dan menjadi insan yang lebih baik daripada sebelumnya.

“Buat rakan-rakan dan sahabat, terima kasih kerana sentiasa ada mendengar setiap luahan, berkongsi tawa dan memberi semangat sepanjang perjalanan hubungan ini.

“Tanpa saya sedari, setiap daripada kalian turut menjadi sebahagian daripada cerita kami. Saya benar-benar bersyukur kerana dikelilingi oleh insan-insan yang baik seperti kalian,” ujarnya.

Sabtu lalu, Jazmyselamat bergelar suami kepada Farah Athirah Rozman dengan sekali lafaz dalam majlis akad nikah yang berlangsung secara tertutup.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN