JENAYAH seksual tidak pernah mengenal mangsanya. Melalui pendedahan di media massa, umum mengetahui jenayah seksual acap kali dilakukan oleh pemangsa yang merupakan seorang lelaki dan mangsanya seorang wanita. Kisah ini adalah berita yang biasa didedahkan di dada akhbar. Namun sebagai masyarakat, tidak boleh kita menyangkal jenayah seksual juga boleh berlaku terhadap mangsa lelaki yang dilakukan oleh pemangsa lelaki mahupun wanita.
Golongan yang mempunyai kebarangkalian menjadi mangsa jenayah seksual ialah kanak-kanak lelaki. Misalnya, pada awal Mei lalu, seorang ibu dihadapkan ke mahkamah sesyen kerana melakukan amang seksual terhadap dua anak lelakinya berusia 12 dan 14 tahun ketika kejadian pada November tahun lalu. Hakim Mahkamah Sesyen dalam kes ini dilaporkan tidak membenarkan sebarang jaminan selepas mahkamah merekodkan pengakuan tidak bersalah daripada ibu terbabit.
Ini merupakan salah satu insiden melibatkan mangsa lelaki. Memandangkan kes wanita ni belum dibicarakan dan disabitkan bersalah, maka tuduhan terhadapnya masih belum dibuktikan.
Pada Jun tahun lalu, seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke mahkamah sesyen di Kelantan atas tuduhan mencabul seorang budak lelaki berusia 11 tahun di sebuah sekolah agama. Dalam kes ini juga, mahkamah tidak membenarkan sebarang ikat jamin kepada tertuduh. Selain itu, pada tahun lalu juga terdapat kes melibatkan seorang mangsa kanak-kanak lelaki yang dikatakan telah dicabul dan hampir diliwat oleh seorang pengawal keselamatan ketika sedang tidur di surau bersama rakan-rakannya.
Insiden melibatkan lelaki sebagai mangsa seksual bukanlah sesuatu yang baharu malah tidak boleh dianggap remeh. Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh 2018 sehingga 2020, berlaku sebanyak 6,897 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan remaja. Terdapat peningkatan dalam kes dilaporkan. Tambahan lagi, pihak polis melaporkan sebanyak 452 mangsa lelaki dalam lingkungan 15 sehingga 25 tahun yang direkodkan dalam lapan kategori jenayah seksual sepanjang 2018 hingga 2020. Kanak-kanak lelaki juga boleh menjadi mangsa dalam kes pengantunan dan amang seksual di bawah Akta Jenayah Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).
PENETRASI
Selain itu, terdapat juga jenayah seksual yang menjadikan lelaki dewasa sebagai mangsa. Namun begitu, tiada undang-undang khusus untuk melindungi lelaki daripada jenayah seksual oleh wanita. Di bawah undang-undang, jenayah rogol iaitu di bawah Seksyen 375 Kanun Keseksaan (Akta 574) adalah perbuatan seorang lelaki melakukan persetubuhan dengan seorang wanita dalam keadaan-keadaan yang dinyatakan dalam peruntukan seksyen berkenaan. Merujuk kepada peruntukan seksyen ini, jenayah rogol itu hanya dilakukan oleh lelaki terhadap wanita dan mustahil dilakukan wanita terhadap lelaki walaupun terjadi hubungan seksual yang tidak diingini oleh mana-mana lelaki.
Namun, bagi kes-kes selain daripada penetrasi secara paksaan oleh wanita ini, kes jenayah seksual lain seperti kes dicabul, mangsa boleh dilindungi dengan peruntukan di bawah Seksyen 354 Akta 574. Seksyen ini memperuntukkan bahawa sesiapa yang menyerang ataupun menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan seseorang sekiranya disabitkan bersalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau mana-mana dua hukuman tersebut.
Berbeza dengan kajian di United Kingdom (UK) berkaitan insiden penetrasi secara paksa yang dilakukan oleh wanita terhadap lelaki. Kes penetrasi secara paksa ini merupakan situasi ketika lelaki dipaksa berhubungan seks tanpa kerelaan atau diperas ugut oleh wanita, iaitu pemangsa. Di UK, sistem perundangan kini meliputi insiden sebegini tanpa membezakan jantina pelaku penetrasi secara paksa.
Selain jenayah seksual cabul yang dialami oleh mangsa lelaki, terdapat juga kes mangsa terdiri daripada lelaki diliwat ataupun diperlakukan dengan perlakuan seksual di luar tabii. Mangsa-mangsa ini dilindungi undang-undang dengan peruntukan seperti Seksyen 377C Akta 574 yang mana sekiranya pelaku disabitkan dengan kesalahan boleh dipenjara untuk tempoh tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta disebat. Jenayah liwat ini juga satu jenayah yang boleh berlaku melibatkan mangsa lelaki.
Kewujudan peruntukan undang-undang seperti Akta 574 dan Akta 792 memberikan keadilan kepada mangsa-mangsa jenayah seksual. Namun, stigma negatif bahawa lelaki, baik kanak-kanak atau dewasa tidak menjadi mangsa seksual perlu dihentikan serta-merta dan layanan serta perlindungan yang sama perlu diberikan kepada mangsa-mangsa ini di sisi undang-undang. Pada masa sama, keluarga mangsa perlu memberikan sokongan supaya mangsa boleh tampil membuat laporan polis sekiranya diperlakukan jenayah secara seksual ke atas mereka.
Jenayah seksual bukanlah suatu jenaka dan harus ditentang tanpa sebarang prejudis. Masyarakat bertanggungjawab untuk memastikan persekitaran selamat untuk didiami oleh ahli-ahlinya tanpa mengira jantina. Jenayah seksual tidak mengenal mangsa dan pemangsa. – UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) dan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).










