MADRASAH Nahdhah Hasanah di Melele, Kodiang, Kedah lahir atas semangat dan kudrat masyarakat yang ingin membangunkan komuniti dengan ilmu melalui institusi pendidikan pondok.
Madrasah yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Agama Nahdhah Hasanah (SMANH) berusia 75 tahun dan menyambut perayaan jubli intannya pada tahun ini yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Banyak tokoh agama yang terlibat dalam bidang pendidikan dan pembangunannya dari mula sebagai sebuah Madrasah Nahdhah Hasanah yang berkembang sehingga hari ini.
Tokoh ulama Kedah, Datuk Mursyid Diraja Tajuddin Al-Jarumi tidak dapat dipisahkan dengan peranan awalnya memimpin Madrasah Nahdhah Hasanah.
Beliau adalah anak kepada Sheikh Abdul Rahman Al-Jarumi, seorang ulama yang terkenal di Alor Setar dan Kedah. Beliau juga merupakan guru kepada Sultan Abdul Hamid dan Sultan Badlishah serta kerabat-kerabat diraja.
Gelaran Al-Jarumi adalah disabitkan daripada gelaran neneknya, Tok Sheikh Jarum (1849-1911) iaitu salah seorang ulama terkenal di Kedah dan Nusantara pada abad ke-19.
Pada 20 Jun 1947 setelah rumah dan surau siap dibina, tuan guru Tajuddin bersama isterinya, Siti Zabedah Ismail disambut oleh masyarakat kampung untuk menetap di madrasah ini dan kemudian menjadi mudir (pengetua) pertama.
Pada peringkat awal penubuhan Madrasah Nahdhah Hasanah adalah mencabar kerana orang ramai terpaksa berjalan berbatu-batu merentasi hutan, paya dan sungai untuk berdakwah sambil memperkenalkan sekolah yang baru ditubuhkan bagi mendapat sokongan moral dan wang ringgit.
Pembantu beliau yang sama-sama berjuang untuk membangunkan madrasah ini ialah Lebai Salleh, iaitu imam Masjid Melele dan beberapa orang lagi.
Ahli jawatankuasa lembaga tadbir sekolah yang pertama ditubuhkan pada masa itu ialah terdiri daripada Lebai Salleh dan Darus Arshad serta tiga guru iaitu Shaari Abu Bakar (setiausaha pertama), Ismail Ahmad dan Talib Din. Turut terbabit ialah Othman Idris, Jusuh Idris (bendahari pertama) dan Mat Arif Jusuh.
Pada 1949, madrasah ini didaftarkan secara rasmi dengan Majlis Agama Islam Negeri Kedah oleh pendaftar sekolah-sekolah agama pada masa itu, Syeikh Mahmud dengan nama Madrasah Nahdhah al-Hasanah atau SMANH.
AGAMAWAN
Nama sekolah ini diilhamkan oleh kadi Kubang Pasu pada masa itu, iaitu Ahmad Yasin. Sekolah ini kemudiannya terus berkembang pesat dan kukuh sehingga hari ini.
Sumbangan dan peranan tuan guru Tajuddin bukan sahaja dalam konteks dakwah dan pendidikan Islam di Kedah tapi di peringkat kebangsaan di mana beliau pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.
Beliau turut mengajar di beberapa tempat seperti di surau kerabat diraja di Alor Setar. Antara kitab yang beliau guna dalam pengajarannya ialah Syarah Al Hikam Ibnu Atoillah karangan Tokku Pulau Manis; Minhaj Al ‘Abidin karangan Imam Al Ghazali; Bughuyah At Tullab karangan Sheikh Daud Al Fatoni; Kasyhful Al Litham karangan Sheikh Zainal Abidin Al Fatoni dan Siarus As Salikin karangan Sheikh Abdul Samad Al Falimbani.
Kitab-kitab lain ialah Aqidah An Najin karangan Sheikh Zainal Abidin Al Fatoni; Hidayah As Salikin karangan Sheikh Abdul Samad Al Falimbani; Sabilul Al Muhtadin karangan Sheikh Muhammad Irshad Al Banjari dan Bakurah Al Amani karangan Sheikh Ismail Abdul Kader Al Fatoni yang merupakan kitab-kitab Jawi.
Kitab-kitab berbahasa Arab pula ialah Majmu’ An Nawawi Syarah Al Muhazzab karangan Iman Nawawi; Jam’u al Jawami’ karangan Imam Tajuddin as Sabki; Al Hikam Ibnu Atoillah Syarah Ibnu ‘Ibbad, Ihya Ulum ud Din karangan Imam Al Ghazali; Tafsir Ibnu Kathir dan Riadus As Solihin karangan Imam Nawawi.
Antara agamawan yang pernah mendapat pendidikan dari madrasah ini termasuklah, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Nor; Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Datuk Syeikh Yahaya Jusoh; Datuk Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin dari Yayasan Sofa dan ramai lagi pendidik dan pendakwah yang berkecimpung dalam pelbagai bidang.
Sejarah panjang perjuangan dakwah dan ilmu madrasah ini menggambarkan kegigihan ulama yang cekal dan ikhlas mendidik serta membangunkan anak-anak murid yang kemudiannya mampu menyumbang dan menyambung legasi perjuangan tradisi keilmuan Islam.
Dalam rencam dan cabaran semasa, membangun dan meneruskan sistem pendidikan dengan tradisi ilmu Islam pasti menghadapi pelbagai dugaan. Sebagai sebuah sekolah diasaskan atas falsafah pendidikan Islam dengan segala kekuatan dan kekurangan yang ada, sekolah ini masih mampu menyumbang setelah 75 tahun penubuhannya, satu perkara yang tidak mudah.
Semoga dengan sambutan 75 tahun SMANH yang kini dipimpin oleh Syeikh Mohd, Jamil Sadaqi Al-Marhum Syeikh Tajuddin Al-Jarumi yang bakal disambut hari ini akan terus meniupkan semangat para ulama, pendidik dan pelajar dalam tradisi pendidikan Islam untuk terus istiqamah dalam membangun pendidikan dan membangunkan ummah. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










