BETUL! ada 19 parti yang berpayung di bawah kerajaan perpaduan, tetapi yang benar-benar berpengaruh itu berapa? Berapa jumlah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) parti-parti berkenaan.
Perhatikan jumlah kerusi pilihan raya dimiliki setiap parti dalam kerajaan perpaduan dalam carta di sebelah kanan kolum ini.
Yang paling konsisten, DAP dengan 40 kerusi parlimen terbesar dan 90 kerusi DUN; PKR tangga kedua (31 dan 53) manakala ketiga, UMNO (26 dan 127). Lain-lain parti adalah Gabungan Parti Sarawak (GPS) 23 kerusi parlimen dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dua kerusi parlimen. Parti-parti lain, Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang membentuk kerajaan cuma pemilikannya satu, dua kerusi.
Di atas kertas, diakui tidak kukuh kerajaan sedia ada. Namun parti mana yang menjadi terasnya?
Ahad lepas 14 Mei semasa berucap di pentas Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Kuala Lumpur, Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan ahli-ahli parlimen parti itu dalam membentuk sejarah negara selepas PRU15.
Mengakui `serangan’ begitu kuat terhadap Zahid sejak dilantik sebagai salah seorang daripada dua timbalan perdana menteri, kata Anwar sebelum mengakhiri ucapannya:
“Saya nak beritahu kalaulah tidak kerana komitmen saudara Zahid selaku presiden UMNO dan dukungan ahli-ahli parlimen UMNO, sejarah kita pasti berubah dan kita harus iktiraf peranan beliau dan UMNO juga…Abang Jo dan GRS (juga) menjadi faktor penentu (penubuhan kerajaan perpaduan).”
TIADA PILIHAN
Agaknya kenapa GPS tidak mahu menyertai Anwar atau PH pada awalnya? Sudah menjadi rahsia umum GPS tidak sebulu dengan DAP memandangkan parti itu pembangkang utama di Sarawak. Jadi, atas faktor apa tiba-tiba GPS buat pusingan U (yang awalnya memihak kepada Perikatan Nasional untuk membentuk kerajaan). Ya, kerana UMNO dan Zahid, itulah yang diperkatakan.
Jadi, UMNO dalam mengharungi kemelut dan cabaran politik di hari-hari mendatang ini tidak ada pilihan. Perlu perbetulkan segera keadaan. Kalau ikut kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani:
“Jangan (UMNO) buat silap lagi. Semua perlu belajar dari kesilapan. Kalau rasa ada yang telah buat silap di tahun-tahun sebelum ini, sekarang kita telah saksikan keputusan PRU15, khususnya orang Melayu tidak boleh beri kemaafan dengan mudah kepada pemimpin-pemimpin yang buat silap. (Maka) kita perbaharui pendekatan pada rakyat. Kita (UMNO) mesti kepada rakyat sentrik dan ahli sentrik.
“Kita mesti pergi kepada rakyat. (Ya) Ahli kita ramai 3.5 juta, tapi jaga ahli sahaja tak cukup sebab rakyat lebih besar (3.2 juta) punya kehendak mereka.”
Dalam empat perubahan kerajaan sejak PRU14 pada 9 Mei 2018, pemainnya yang membentuk kerajaan tetap UMNO. Begitupun UMNO mesti terima hakikat ia lemah sekarang. UMNO perlukan masa untuk pulihkan kekuatannya.
“Itu sebabnya walau apa keputusan sekalipun dalam enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang ini…hanya sebulan dua dari sekarang, UMNO harus terima seadanya. Masa tidak cukup untuk bina kekuatan kembali selepas baru berlangsung PRU15 enam bulan lepas (19 November 2022),” kata seorang pemimpin kanan UMNO kepada akhbar ini minggu lepas.
TONGGAK
Realitinya, kerajaan perpaduan masih mengharapkan UMNO sebagai tonggak. Daripada pengiktirafan Anwar akan peranan Zahid dan ahli-ahli parlimen UMNO, parti berusia lebih enam dekad itu dipercayai tidak akan mati selagi prinsip perjuangannya berlandaskan agama dan bangsa. Masih ada penyokong parti itu, cuma lambat atau cepat sahaja untuk rakyat nampak kebangkitan semula UMNO setelah kombinasi semua parti politik membentuk kerajaan telah berlaku dan disaksikan.
Bersatu dan Pas pun telah membentuk kombinasi dengan PKR dan DAP, tetapi gagal. Lihat Pas apabila berpakat dengan DAP dalam PRU 1999, 2008 dan 2013, parti Islam itu berjaya meraih kemenangan tertinggi iaitu 27 kerusi parlimen pada 1999, 23 pada 2008 dan 21 (2013). Bersatu yang dipimpin Tun Dr. Mahathir Mohamad dan dibantu Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama DAP turut berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam PRU14. Namun akhirnya terbukti kedua-duanya, baik Pas atau Bersatu tidak boleh pergi jauh dengan DAP.
Jadi, adakah harapannya hari ini kepada formula kerajaan perpaduan yang kali ini PKR dan DAP disertai UMNO pula boleh mencorakkan kembali gagasan Malaysia di landasan yang betul? Tetapi kalau gagal juga, masih tetap ada peluang untuk baikinya semula.
Jika hendak perhitungkan soal peremajaan UMNO, ia telah berlaku tempoh hari melalui pembersihan terhadap orang lama dan yang menjadi ‘gunting dalam lipatan’. Juga menerusi PRN-PRN yang lepas.
Sekarang pun lebih kurang satu pertiga daripada ketua-ketua bahagian UMNO terdiri muka baharu, orang muda. Maknanya proses pertukaran pemimpin telah berlaku. Cuma peranan perlu dipikul oleh parti adalah kilas imej negatif korup yang telah ditanam oleh musuh-musuh politiknya selama 10 tahun ini.
Kalau diperhatikan, dalam kalangan parti komponen kerajaan perpaduan pun belum ada pemimpin pelapis. Siapa selepas Anwar?
UMNO tidak mati. Yang akan menguatkan kembali UMNO hari ini ialah khidmat, musyawarah dan kesungguhan mematuhi semangat Fasal 3 perlembagaannya. Keenam-enam tiang seri perjuangan dalam fasal itu harus dipampangkan, diajarkan dan diamalkan. Jangan hanya faham Fasal 3 begitu-begitu sahaja – supaya bila berkuasa tidak lupa diri, lupa bahasa, lupa budaya dan lupa siapa Melayu dari sudut perjuangan. – UTUSAN










