43 ditahan, 26 didakwa terlibat perlombongan kripto haram - Utusan Malaysia

43 ditahan, 26 didakwa terlibat perlombongan kripto haram

SHAMSUL ANUAR NASARAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 43 individu ditahan dan 26 daripadanya didakwa di mahkamah hasil 265 serbuan melibatkan kegiatan perlombongan mata wang kripto secara haram di Manjung, Perak sejak 2024 hingga Ogos lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, operasi yang dijalankan polis bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu turut melibatkan rampasan 823 mesin perlombongan di beberapa kawasan sekitar Manjung.

Katanya, antara cabaran utama pihak berkuasa ialah mengenal pasti dalang kegiatan berkenaan kerana premis yang digunakan kebanyakannya disewa, manakala akaun elektrik didaftarkan atas nama pihak ketiga.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kegiatan ini berselindung di sebalik premis sewaan dan akaun elektrik atas nama pihak ketiga bagi mengelirukan pihak berkuasa serta menyukarkan usaha mengesan individu yang sebenarnya mengendalikan operasi berkenaan.

“Dalam sesetengah kes, pemilik premis, pemegang akaun elektrik dan individu yang mengendalikan mesin perlombongan merupakan pihak berbeza,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) berhubung kegiatan perlombongan mata wang kripto haram yang masih berleluasa di Manjung serta kesukaran pihak berkuasa menangkap dan mendakwa individu terlibat.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, daripada jumlah keseluruhan serbuan itu, sebanyak 65 operasi dijalankan di Ayer Tawar, Beruas, Kampung Koh, Pantai Remis, Pekan Gurney, Segari dan Sitiawan.

Katanya, operasi di kawasan berkenaan membawa kepada penahanan sembilan individu, manakala tiga daripadanya didakwa di mahkamah.

Selain itu, beliau berkata, penggunaan dompet mata wang kripto dan platform yang berpangkalan di luar negara turut menyukarkan siasatan kerana berada di luar bidang kuasa Malaysia.

“Untuk membawa individu terlibat ke mahkamah, pihak berkuasa memerlukan bukti kukuh termasuk bukti teknikal, forensik, digital serta bukti berkaitan sambungan atau penggunaan elektrik secara haram,” katanya.

Beliau berkata, kesalahan berkenaan boleh disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik, manakala kes yang melibatkan unsur khianat boleh disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan mengenai kemungkinan wujud unsur rasuah membabitkan anggota polis, pegawai TNB atau Majlis Perbandaran Manjung, Shamsul Anuar berkata, tiada kes sedemikian direkodkan dalam rekod polis.

“Jika ada maklumat mengenai pegawai kami yang terbabit dalam rasuah, boleh salurkan kepada kami untuk tindakan kerana pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku,” katanya.

Beliau berkata, semua maklumat atau aduan berkaitan salah laku anggota polis, pegawai TNB dan pihak berkuasa tempatan akan disiasat serta tindakan tegas diambil sekiranya terdapat bukti kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini