Tragedi basikal lajak ‘insafkan’ pemandu kita

Tragedi basikal lajak ‘insafkan’ pemandu kita

SAM Ke Ting mengakui kemalangan maut melibatkan enam remaja menunggang basikal lajak yang berlaku enam tahun lalu akan terus menghantui dirinya sepanjang hayat. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 11 April lalu, Mahkamah Rayuan sebulat suara mengetepikan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru terhadap individu bernama Sam Ke Ting. Dakwaan terhadapnya yang dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM20,000.

Bagaimanapun, selepas dibebaskan daripada pertuduhan itu, Ke Ting mendedahkan bahawa peristiwa hitam itu akan terus menghantui dirinya sehingga ke kubur. Ini kerana peristiwa tersebut sentiasa bermain dalam fikirannya malah sering tertanya-tanya mengenai kehidupan serta masa depan keluarga remaja yang terkorban akibat kemalangan itu.

Ibu bapa remaja terbabit kecewa, akur dan reda dengan keputusan Mahkamah Rayuan tersebut. Bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan trauma kehilangan anak kesayangan, malah terpaksa menerima kritikan bahawa mereka dikatakan tidak pandai mengasuh anak-anak dan tidak bertanggungjawab kerana membiarkan anak-anak bermain basikal pada waktu yang tidak sepatutnya.

Kes basikal lajak adalah fenomena baharu dalam kalangan remaja yang kini agak galak melakukanya. Mereka ini dikenali sebagai kumpulan remaja tahan lasak dan berorientasikan jalanan yang penglibatan dalam aktiviti haram adalah sebahagian daripada identiti mereka (Densley, James 2018).

Di bawah undang-undang Malaysia, ibu bapa tidak diletakkan di bawah sebarang tanggungjawab sekiranya cuai dalam memantau anak-anak. Ibu bapa hanya boleh didapati bersalah berkaitan dengan kes-kes penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau penderaan kanak-kanak di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang membawa hukuman denda RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Berdasarkan kronologi kes, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan dakwaan terhadap Ke Ting, iaitu menyebabkan lapan remaja lelaki berusia 13 hingga 17 tahun yang menunggang basikal lajak, maut dirempuh kereta pada 18 Februari 2017 di Jalan Lingkaran Dalam bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, Johor Bahru.

Namun, pada 28 Mac 2017, Ke Ting mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Trafik Johor Bahru atas pertuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berkenaan. Ke Ting didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta 333 selepas memandu kereta secara melulu dan berbahaya hingga mengakibatkan kematian penunggang basikal pada 3.20 pagi, hari kejadian.

Sementara pada 28 Oktober 2019, Ke Ting yang merupakan seorang jurujual dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru. Majistret Siti Hajar Ali membuat keputusan itu tanpa memanggil Ke Ting, 24, ketika itu untuk membela dirinya terhadap pertuduhan tersebut selepas pendakwaan gagal membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.

Kemudian pada 18 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan pemandu wanita itu membela diri atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal lajak, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Dr. Shahnaz Sulaiman membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

PENAFIAN KOSONG

Hampir lapan bulan kemudian, iaitu pada 10 Oktober 2021, Mahkamah Majistret mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan jurujual wanita berkenaan daripada tuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.

Kemudian 11 Oktober 2021 pula, pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan terhadap pembebasan Ke Ting daripada pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak.

Pada 13 April tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan kerani wanita itu dipenjara enam tahun dan didenda RM6,000 kerana kesalahan yang dilakukan.

Sementara pada 15 April 2022, Hakim Datuk Abu Bakar Katar dalam penghakiman penuhnya berkata, pihak responden turut didapati gagal mengemukakan pembelaan pada peringkat pendakwaan perbicaraan. Beliau berkata, kenyataan tidak bersumpah wanita berusia 27 tahun itu dari kandang tertuduh selepas Mahkamah Tinggi memerintahkannya untuk membela diri adalah penafian kosong semata-mata yang difikirkan kemudian.

Abu Bakar memberitahu, responden dalam pembelaannya menyatakan tidak nampak kumpulan basikal di tempat kemalangan dan ada kenderaan lain yang melanggar basikal mangsa sebelum melarikan diri. Namun, versi ini tidak pernah ditimbulkan responden ketika kes pendakwaan.

Mahkamah Bicara (Mahkamah Majistret) telah terkhilaf apabila gagal menimbangkan pembelaan responden tidak menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah atas kes pendakwaan, khususnya responden yang memandu keretanya secara berbahaya, mengambil kira keadaan jalan yang berselekoh dan berbukit.

Kini, Ke Ting telah dibebaskan dan pihak pendakwaan tidak lagi dibenarkan untuk merayu ke Mahkamah Agung, iaitu Mahkamah Persekutuan di bawah Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (Akta 91). Apa yang pasti, impak oleh kes basikal lajak ini akan memberi pengajaran besar kepada semua pemandu di negara ini supaya lebih peka terhadap situasi semasa.

Malah, ibu bapa juga perlu memantau akan perihal anak-anak mereka daripada melibatkan diri dengan aktiviti haram seperti basikal lajak. Dengan itu, semua pihak dapat membendung daripada berlakunya kes sedemikian. – UTUSAN

Penulis ialah pengamal undang-undang dan pensyarah di Advance Tertiary College, Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×