Scammer yang licik atau kita yang bodoh?

Scammer yang licik atau kita yang bodoh?

RAHMAT FITRI ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

ISU scam menjadi masalah yang tidak pernah selesai walau hampir setiap hari cerita mengenai kes ini dengan kerugian berjuta ringgit didedahkan media.

Apa yang membingungkan, kes dicatatkan seperti tiada kesudahan dan banyak yang tidak masuk akal apabila mangsa ditipu dengan mudah.

Terbaharu, ada laporan menunjukkan sindiket penipuan ini bertindak lebih berani dengan menipu dan merekrut pengambilan scammer baharu dan beroperasi di luar negara.

Wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, ASISTEN SUPERINTENDEN POLIS (ASP) RAHMAT FITRI ABDULLAH bagi mendapatkan perspektif beliau, baru-baru ini. Turut serta jurufoto, MOHD. FARIZWAN HASBULLAH.

Rahmat Fitri sebelum ini dikenali sebagai ‘duta anti scam’ selepas seringkali dilihat di media sosial menerusi pendekatan beliau yang begitu dekat dengan masyarakat bagi menangani isu penipuan sebegini.

UTUSAN: Sudah berapa lama tuan aktif menerusi pendedahan scammer di media sosial?
RAHMAT FITRI: Saya sebenarnya seorang yang sukakan sejarah dan mahu pastikan keturunan saya nanti dikenali generasi selepasnya. Maka dari situ saya terfikir untuk membuka akaun Youtube selepas dicadangkan anak saya.

Kemudian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), didapati berlaku peningkatan kes penipuan membabitkan pembelian dalam talian. Jadi, saya terfikir untuk menunjukkan situasi sebenar membabitkan perhubungan antara scammer dan mangsa menerusi platform media sosial terutama TikTok supaya orang ramai boleh faham.

Saya juga dalam masa sama mahu tunjukkan kebodohan scammer dan modus operandi mereka ketika menipu mangsa. Tujuannya satu, iaitu untuk membantu orang ramai dengan kaedah lebih santai dan mudah faham.

Adakah berkesan dengan memberi pendedahan di media sosial?
Ya. Ia berkesan dan sedikit sebanyak berjaya memberikan kesedaran kepada orang awam tentang penipuan dilakukan oleh mereka yang terlibat.

Sebenarnya terlalu banyak mesej yang saya dapat. Kawan-kawan saya ada yang kata, “Aku teringat apa yang engkau cakapkan pasal scam dalam video apabila dapat panggilan telefon.”

“Tuan nampak lebih ‘garang’ daripada pegawai polis lain termasuk di peringkat atasan. Pernah menerima apa-apa nasihat atau amaran?”

Saya mendapat pandangan yang berbeza-beza daripada pegawai lain dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), semuanya menyokong tindakan saya. Tiada yang suruh saya berhenti berbuat demikian.

Namun, daripada masyarakat pula ada yang cakap, “Mat, kau tak risau ke kalau apa-apa berlaku?” Hakikatnya saya tahu scammer punya ancaman itu semua hanya sandiwara. Scammer tidak akan berani untuk tampil dan tunjukkan diri bahawa dia scammer.

Ini termasuklah kalau ada yang cuba mengugut. Kalau dilihat maksud scammer ini, maknanya apa? Pendusta. Jadi, segala apa yang mereka cakap itu semuanya dusta sahaja.

Mereka tidak akan berani buat apa-apa dan berani dalam telefon sahaja. Tidak pernah lagi terjadi scammer datang ke rumah untuk mengugut atau mendatangkan ancaman. Hanya along yang datang ke rumah dan berbuat begitu.

Saya cabar scammer datang jumpa saya kalau mereka berani.

Adakah terdapat kebocoran maklumat daripada pihak lain termasuk syarikat telekomunikasi atau bank apabila ada masalah melibatkan scam?
Sebenarnya tiada apa-apa kaitan pun antara bank dengan scammer. Sebanyak 99.9 peratus kes melibatkan penipuan adalah berpunca daripada diri sendiri. Ada respons daripada mangsa ketika pertama kali bercakap dengan scammer.

Lagi satu saya beri contoh paling mudah apabila memperkatakan tentang bagaimana mereka dapat maklumat diri. Awak pernah pergi pusat beli belah? Pernah mereka minta isi borang keahlian, penjualan atau apa sahaja berkaitan yang memerlukan kita penuhi segala maklumat berkaitan? Kemudian pada zaman sekarang kalau pergi ke mana-mana sekali pun, kita akan tinggalkan lesen. Jadi, ini contoh yang orang boleh peroleh maklumat kita.

Sebenarnya di mana-mana pun mereka yang tiada integriti dan etika boleh menjual maklumat kita kepada sesiapa sahaja. Tanyalah diri kita, pernah bagi maklumat pada siapa? Lepas itu tahukah di media sosial sendiri kita sudah dedahkan banyak maklumat dan di media sosial ada satu pihak yang akan korek pelbagai maklumat. Jadi, mengapa mahu tuding jari pada orang lain?

Adakah evolusi dan modus operandi scammer akan terus berkembang seiring teknologi semasa?
Ya. Sudah tentu akan berkembang setiap masa dan mengikut peredaran teknologi yang semakin canggih. Zaman dulu tiada orang scam dalam talian sebab tiada telefon.

Kita perlu terima setiap kecanggihan ada kebaikan dan pasti ada keburukan serta ruang untuk orang lain ambil kesempatan.

Katakanlah ada satu pengumuman daripada kerajaan mahu beri bantuan. Pada waktu tersebut berdasarkan situasi masa itu, scammer akan menyamar jadi agensi berkaitan untuk menipu orang ramai.

Maka, ini yang saya katakan setiap apa yang berlaku di sekeliling kita, scammer akan sentiasa cari ruang pergi dekat kepada kita.

Malah kita boleh lihat pautan palsu yang selalu kita terima yang kononnya menawarkan pelbagai hadiah. Saya selalu nasihatkan pengguna apabila tekan pautan itu, kita perlu sedar bahawa segala maklumat telah pun diperoleh.

Modus operandi juga berubah dan berbeza-beza. Selain itu, dia akan cari kelemahan kita berkaitan emosi takut dan panik untuk menipu sebagaimana berlaku sekarang, menyamar jadi polis atau agensi penguatkuasaan.

Jadi, masyarakat harus sedar, telefon bimbit bukan lagi kawan kita. Separuh daripadanya sudah jadi musuh kita. Jujur saya katakan, walaupun saya ‘duta anti scam’, saya sendiri takut dengan eranti saya. Cuma saya berani sebab saya ada pengetahuan.

Apa pun modus operandi mereka, paling penting jangan sewenang-wenangnya dedahkan maklumat dan jangan tekan pautan yang tidak tahu ketulenannya.

Pada pandangan tuan, adakah pengenalan teknologi kecerdasan buatan (AI) akan memberi kesan kepada peningkatan isu scam?
Sudah tentu. Saya pernah tangkap scammer yang dalam komputer riba dia ada banyak skrip. Pelbagai bahasa dan pakej. Maknanya, awak jawab mcam ini, dia akan jawab macam ini.

Malah kita pernah nampak ada pelbagai undang-undang, seksyen dan akta ada dalam itu. Mereka ada kumpulan yang mengkaji (undang-undang), tapi bukanlah orang yang sama jadi scammer. Telefon orang lain, rekrut keldai akaun lain dan kutip duit daripada kad bank pun orang lain.

Sebab itu apabila orang tanya atau pertikai, mengapa sukar tumpaskan sindiket ini, sebab ia sesuatu yang bukan mudah kerana melibatkan banyak pihak. Mereka sendiri tidak pernah jumpa antara satu sama lain. Semua perhubungan hanya dalam talian.

Jenayah scam terus menunjukkan peningkatan disebabkan kurangnya sikap ambil tahu dan maklumat berkenaan modus operandi mereka yang terlibat. Tuan setuju?
Dalam video TikTok, apa yang saya tunjukkan semuanya kerana mahu memperbodohkan scammer.

Mereka ini ada skrip sendiri. Sebagai contoh, saya pernah cakap pada salah seorang scammer, saya berada di kelab malam walhal ketika itu siang hari.

Itu antara mesej penting yang saya mahu sampaikan. Pada pandangan saya, mereka yang terkena scam ini satu sahaja. Kerana kurangnya pengetahuan. Adakalanya tidak boleh berfikir secara rasional.

Terlalu banyak perkara yang tidak masuk akal digunakan scammer untuk menipu orang. Sepatutnya kita jangan takut dengan scammer. Apabila mereka menelefon mangsa kali pertama, ia umpama mengatakan ‘hi’ sahaja. Kalau layan tanpa ada apa-apa pengetahuan, memang mudah tertipu. Sabitkan mangsa dengan kes dadah, langgar lari dan kes-kes lain. Walhal semuanya tidak masuk akal.

Fikir secara logik. Kalau tidak buat apa-apa kesalahan, mengapa mahu takut? Malah, orang normal akan mengugut membuat laporan polis bagi menangkis dakwaan scammer itu tadi.

Sebagai ‘duta anti scam’, apa pengalaman paling tidak boleh dilupakan sepanjang mengendalikan satu-satu kes?
Saya masih ingat lagi, ada satu kes membabitkan mangsa ditipu sebanyak RM5.2 juta. Scammer mendakwa mangsa terlibat dengan sindiket penjualan vaksin secara haram. Mangsa diarahkan untuk membuka satu lagi akaun baharu dan kemudian pindahkan semua wang ke dalam akuan tersebut secara berperingkat. Kemudian mangsa serahkan segala maklumat perbankan dan data peribadi kepada scammer.

Saya tidak tahu apa yang ada dalam kepala dia apabila disuruh pindahkan duit itu ke dalam akuan yang baru dia buka.

Adakah peningkatan kemasukan rakyat asing ke negara ini membuka ruang kepada pertambahan masalah scam?
Bukan sebab orang keluar masuk. Tidak dinafikan ada scammer berpangkalan di luar negara dan ada juga di dalam negara. Kalau beroperasi di luar negara mudah, perhubungan komunikasi dibuat menggunakan telefon bimbit. Selepas itu ada pula internet dan penggunaan platform di alam maya yang sering kali digunakan sesiapa sahaja. Ada segelintir yang menyalahgunakannya.

Berdasarkan kes tangkapan kita, ada dalam kalangan mereka yang mahu menjalankan operasi scam di negara luar dan begitu juga scammer yang berada di luar negara.

Adakah wajar diwujudkan skim perlindungan seperti insurans daripada bank (wang ringgit ) untuk mereka yang menjadi mangsa scam?
Tidak mungkin. Tiada insurans yang mahu ambil. Lagipun ada pelbagai latar belakang pendidikan bagi mereka yang terkena scam. Jadi, saya tidak rasa ada syarikat insurans yang berani.

Paling penting, apa pun jangan cepat tertipu. Berfikiran rasional dan jangan tamak serta perlu ada pengetahuan asas dalam banyak perkara.

Adakah wujud unsur sihir atau pukau dalam kes scam yang tuan kendalikan?
Pukau ini sering kali dijadikan alasan mangsa untuk mengaburi kesilapan sendiri, dari dulu lagi. Mereka bermati-matian pertahankan walau kesilapan sendiri. Saya nak tanya awak, kalau scammer mahu pukau dengan menggunakan telefon bimbit untuk mendapatkan duit, lebih baik mereka pukau Bill Gates (pengasas Microsoft).

Banyak benda yang tidak betul sebenarnya (dalam kalangan mangsa) ketika menggunakan media sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN