BN-PN elak bertembung

BN-PN elak bertembung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) tidak akan bertembung antara satu sama lain di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bulan depan.

Ini ekoran kedua-dua parti itu dikatakan sudah berunding bagi memastikan mereka mempunyai kerusi yang cukup untuk mema­suki DUN dan bentuk kerajaan.

Untuk itu BN hanya bertan­ding di 26 kerusi dengan tujuh dari-padanya diberikan kepada MCA dan empat lagi untuk MIC.

Pengagihan kerusi dan pengumuman senarai calon BN telah disempurnakan oleh Pengeru­sinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.

Sementara itu, Penyelaras Par­ti Wawasan Negara (Wawasan) Negeri Sembilan, Badrul Hi­sham Shaharin mengesahkan ada run-dingan antara PN dan beberapa pihak lain termasuk BN.

Rundingan itu disifatkan beliau sebagai lancar dan sudah selesai, bertujuan memastikan tiada pertembungan berlaku di antara mereka di 36 kerusi DUN.

“Kami mahu pastikan PN dan BN mempunyai kerusi yang cukup untuk memasuki DUN sebagai kerajaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Beliau yang dikenali sebagai Chegubard memberitahu, hasil perundingan itu, Wawasan sebagai parti komponen PN juga akan diberikan tempat untuk bertan­ding.

“Tidak adil untuk saya katakan berapa kerusi, calon dan sebagainya kerana ia akan di­umumkan esok (malam ini) oleh Pengerusi PN.

“Tetapi boleh saya katakan ada kerusi (untuk Wawasan Negara), kami selesa dengan kerusi itu, bersedia untuk bertan­ding,” katanya lagi.

Tambah beliau, rundingan kedua-dua pihak kali ini lancar dan masing-masing dapat mengetepikan ego dengan tujuan utama iaitu menewaskan Pakatan Harapan (PH).

Pada PRN Negeri Sembilan 2023, BN menang di 14 kerusi manakala Pas menang tiga kerusi.

Sementara itu, ditanya sama ada kerusi DUN Klawang merupakan kerusi yang akan ditan­dingi oleh Wawasan Negara, Badrul Hisham enggan mengulas lanjut.

“Kita tunggu esok (malam ini), ia akan diumumkan oleh Pengerusi PN,” katanya lagi.

Ketika ini terdapat khabar angin mengenai anak kepada Pengerusi Wawasan Negara, Tan Sri Rais Yatim iaitu Danni Rais akan bertanding di DUN Klawang atas tiket PN bagi mewakili Wawasan Negara.

Pada PRN 2023, Danni turut bertanding di kerusi tersebut namun tewas kepada Datuk Bakri Sawir yang mewakili PH.

Sementara itu Pas dijangka akan meletakkan calon mereka di 11 kerusi hasil rundingan dalam kalangan parti komponen PN termasuk dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

11 kerusi berkenaan termasuklah tiga yang dimenangi semasa PRN Negeri Sembilan 2023 lalu iaitu DUN Ser­ting, Paroi dan Bagan Pinang.

Bagaimanapun, menurut sum­ber kepada Utusan Malaysia, jumlah tersebut mungkin akan berkurang kerana Pas juga mempunyai rundingan dengan UMNO.

“Rundingan dalam PN sudah pun selesai dan Pas akan bertanding di 11 kerusi.

“Namun, Pas masih lagi di peringkat rundingan iaitu bersama UMNO, ia akan terus berjalan sehingga sebelum penamaan calon walaupun Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon mereka malam ini (semalam).

“Jika itu berlaku, jumlah kerusi yang ditandingi oleh Pas juga akan dijangka berkura­ngan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, sumber yang sama memberitahu, kesemua parti yang bertanding atas tiket PN akan menggunakan logo gabungan parti itu.

Namun sekiranya, Bersatu membuat keputusan bertanding lebih daripada jumlah yang telah dirundingkan dan bertanding pula di kerusi rakan komponen yang lain, maka wajar untuk Bersatu menggunakan logo mereka sendiri.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Bersatu berkemungkinan akan menggunakan logo mereka sendiri dalam PRN Negeri Sembilan.

Sekiranya menggunakan logo sendiri, Bersatu akan memasuki gelanggang bersama parti-parti dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) dan bertan­ding di 30 kerusi daripada ke­seluruhan 36 kerusi DUN yang dipertandingkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN