KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,688 projek pelaburan sektor pembuatan bernilai RM318.5 bilion yang diluluskan sejak 2023 hingga Mac 2026 berjaya dilaksanakan, sekali gus membuka 210,546 peluang pekerjaan baharu di seluruh negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia merangkumi pelaburan domestik (DI) bernilai RM63.3 bilion atau 19.9 peratus serta pelaburan asing (FI) sebanyak RM255.2 bilion atau 80.1 peratus.
Katanya, berdasarkan takrifan digunakan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sesuatu pelaburan sektor pembuatan dianggap telah direalisasikan apabila mula beroperasi, memulakan pemasangan mesin dan memulakan pembinaan serta penyewaan kilang, bangunan atau gudang.
“Secara umumnya, projek yang diluluskan mengambil masa antara 18 hingga 24 bulan untuk dilaksanakan bergantung kepada tahap kerumitan, skala projek serta keadaan ekonomi semasa,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen, semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai kemajuan pelaburan domestik dan asing yang diluluskan sejak 2023, termasuk nilai pelaburan yang telah direalisasikan, jumlah pekerjaan sebenar yang diwujudkan berbanding unjuran awal dan prestasi mengikut negeri.
Johari berkata, Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan merekodkan nilai pelaburan pembuatan tertinggi dengan sumbangan sebanyak 84.3 peratus.
Katanya, Malaysia telah meluluskan sebanyak 3,847 projek pelaburan sektor pembuatan bernilai RM427.9 bilion bagi tempoh 2023 hingga Mac 2026 yang dijangka mewujudkan 302,058 peluang pekerjaan baharu.
Daripada jumlah itu, pelaburan domestik menyumbang RM93.9 bilion atau 21.9 peratus manakala pelaburan asing berjumlah RM334 bilion atau 78.1 peratus.
“Kerajaan Madani menerusi MITI serta MIDA kekal komited memastikan pelaburan yang diluluskan dapat direalisasikan pada kadar yang tinggi dan dalam tempoh munasabah.
“Ini sekali gus menjana kesan limpahan ekonomi termasuk peluang perniagaan serta penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Johari berkata, kerajaan tidak bercadang untuk menarik balik keputusan berhubung syarat baharu pengimportan kenderaan elektrik (EV) yang telah siap dipasang di luar negara (CBU) seperti diumumkan baru-baru ini.
Beliau berkata, langkah itu selaras dengan teras Dasar Automotif Nasional (NAP) bertujuan merasionalisasikan kemasukan model EV bagi melengkapkan tawaran produk dalam pasaran, di samping memastikan pembangunan industri automotif tempatan berdaya saing dan mampan.
“Kerajaan sentiasa mengambil pendekatan yang seimbang antara menjaga kepentingan pengguna dan membangunkan industri automotif tempatan. Pengguna berhak menikmati kenderaan EV yang mampu milik manakala negara pula memerlukan industri automotif yang kukuh.
“Ia bagi mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, membangunkan vendor tempatan, menarik pelaburan berkualiti dan memperkukuh rantaian bekalan domestik,” katanya.
Beliau menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) sama ada kerajaan akan menarik balik keputusan menaikkan harga EV kerana ia bercanggah dengan dasar mempercepat penggunaan EV dalam kalangan rakyat.
Johari berkata, kerajaan tidak menghentikan usaha memperluas penggunaan EV, sebaliknya meneruskan pengecualian 100 peratus duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi EV yang dipasang secara tempatan (CKD) sehingga 31 Disember 2027.
“Langkah ini membolehkan pengeluar menawarkan model EV pada harga yang lebih kompetitif, di samping menggalakkan aktiviti pemasangan tempatan, pemindahan teknologi dan pembangunan vendor tempatan,” katanya. – UTUSAN










