Krisis terkini di Asia Barat kembali lonjak harga minyak mentah - Utusan Malaysia

Krisis terkini di Asia Barat kembali lonjak harga minyak mentah

GAMBAR fail beberapa buah kapal berlabuh di Selat Hormuz. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Minyak mentah Brent dijangka bergerak dalam lingkungan AS$80 (RM325.78) hingga AS$90 (RM366.52) setong dalam tempoh terdekat, susulan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melaksanakan semula sekatan tentera laut ke atas semua pelabuhan Iran dan Tehran melancarkan serangan ke atas infrastruktur AS di Asia Barat.

Sehingga lewat petang semalam, Brent melonjak 1.85 peratus kepada AS$86.30 (RM351.75) setong, manakala penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI) naik 1.68 peratus kepada AS$80.67 (RM328.83) setong.

Profesor Ekonomi di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Siong Hook berkata, prospek harga minyak mentah dalam tempoh terdekat masih tidak menentu dan bergantung kepada keseimbangan antara faktor penawaran dan permintaan global.

Ujarnya, sekiranya konflik di Asia Barat semakin memuncak, ia akan mendorong kepada gangguan terhadap laluan perkapalan utama seperti Selat Hormuz atau Laut Merah.

“Perkara itu turut mendorong Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) meneruskan pemotongan pengeluaran minyak, sekali gus bekalan global akan menjadi lebih ketat dan menlonjakkan harga minyak ke paras yang lebih tinggi.

“Sebaliknya, sekiranya ketegangan geopolitik reda atau OPEC+ meningkatkan pengeluaran minyak, tekanan kenaikan harga dijangka berkurangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, dari sudut permintaan pula, prestasi ekonomi dunia akan menjadi penentu utama. Jika pertumbuhan ekonomi di China, India dan negara-negara membangun kekal kukuh, permintaan terhadap tenaga akan terus meningkat.

“Namun, sekiranya ekonomi global menjadi lebih perlahan khususnya di AS dan China, permintaan minyak akan berkurangan dan mengehadkan kenaikan harga.

“Faktor kewangan seperti kadar faedah AS, kekuatan dolar AS dan aktiviti spekulasi dalam pasaran niaga hadapan minyak turut mempengaruhi turun naik harga dalam jangka pendek.

“Secara umumnya, dolar AS yang lebih lemah akan menyokong kenaikan harga komoditi termasuk minyak,” ujarnya.

Sementara itu, Pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, harga minyak mentah berpotensi meningkat ke paras AS$85 (RM346.16) hingga AS$90 (RM366.52) setong sekiranya ketegangan geopolitik dan faktor semasa terus mempengaruhi pasaran global.

Beliau berkata, antara faktor utama yang akan menentukan hala tuju harga minyak ialah ketegangan geopolitik di Asia Barat yang berpotensi mengganggu bekalan, dasar pengeluaran OPEC+, pertumbuhan ekonomi AS, China dan India sebagai pengguna minyak terbesar dunia, paras inventori minyak global serta kekuatan dolar AS.

“Jika faktor-faktor semasa berterusan, harga minyak mempunyai potensi untuk bergerak ke lingkungan AS$85 hingga AS$90 setong.

“Sekiranya konflik geopolitik bertambah buruk atau berlaku gangguan terhadap laluan perdagangan utama seperti Selat Hormuz, harga minyak boleh melonjak melepasi AS$90 (RM366.52) setong,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, harga minyak berkemungkinan kembali susut ke sekitar AS$70 (RM285.07) hingga AS$75 (RM305.43) setong sekiranya pertumbuhan ekonomi global menjadi perlahan, sekali gus mengurangkan permintaan terhadap komoditi itu.

Selain faktor asas pasaran, Barjoyai berkata, aktiviti perdagangan komoditi minyak yang semakin kompleks turut mempengaruhi turun naik harga.

Menurutnya, terdapat aktiviti penyimpanan minyak menggunakan kapal tangki di tengah laut bagi menunggu masa yang sesuai untuk dijual, sekali gus memberi kesan kepada dinamik penawaran dan permintaan.

“Perdagangan komoditi minyak mentah kini sangat cair, membolehkan pelbagai strategi dagangan seperti jualan singkat dan penghantaran awal dilaksanakan untuk mempengaruhi harga serta meraih keuntungan dalam tempoh yang singkat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN