PUTRAJAYA: Kerajaan sedang meneliti keperluan tauliah untuk penyampaian ceramah agama menerusi platform dalam talian dan media sosial, termasuk keperluan memperkemaskan peruntukan undang-undang sedia ada.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, ketika ini urusan pentauliahan mengajar agama masih dikawal selia oleh pihak berkuasa agama di setiap negeri dengan individu yang memenuhi syarat akan diberikan tauliah.
Katanya, mereka yang didapati melanggar etika pula boleh dikenakan tindakan termasuk amaran, tidak diperbaharui atau tidak diberikan tauliah.
“Setakat ini kita melihat bahawa setiap negeri itu mengawal dari segi aspek pentauliahan itu. Mereka yang (ada) kelayakan akan diberikan tauliah.
“Mereka yang ada melanggar apa-apa etika dan sebagainya akan diberikan amaran ataupun tidak diperbaharui, mahupun tidak diberikan tauliah,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia (PePSSM) Kali Kedua 2026 di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kekangan penguatkuasaan yang dihadapi oleh pegawai penguat kuasa agama dalam membanteras isu tersebut.
Zulkifli berkata, pihaknya masih meneliti kaedah terbaik untuk menangani perkara itu kerana ia melibatkan aspek perundangan yang perlu diperkemaskan.
Dalam ucapannya, Zulkifli menegaskan bahawa kerajaan akan terus menyokong usaha menambah baik undang-undang Syariah supaya kekal relevan dalam mendepani cabaran baharu khususnya jenayah alam siber.
Beliau berkata, kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu terus diperkukuh bagi memastikan penguatkuasaan dan pendakwaan syariah kekal berkesan serta diyakini masyarakat.
“Pendakwaan syariah perlu bergerak seiring perkembangan teknologi.
“Pengurusan kes secara digital, penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta pemodenan prasarana dan sistem pengurusan kes hendaklah dimanfaatkan bagi meningkatkan kecekapan, ketepatan dan ketelusan penyampaian keadilan,” katanya. – UTUSAN










