PRN berpihak kepada siapa? - Utusan Malaysia

PRN berpihak kepada siapa?

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah diiringi Anwar Ibrahim dan Muhammad Sanusi Md. Nor ketika hadir di Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani, di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah menyaksikan tiada satu parti pun boleh membentuk kerajaan. Namun, Kerajaan Perpaduan ditubuhkan setelah Pakatan Harapan (PH) mendapat sokongan Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Kini fokus politik tertumpu kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu.
Dalam PRU14, semua DUN itu dikuasai oleh PH kecuali Kelantan dan Terengganu oleh Pas. Adakah PN-BN mempunyai peluang di semua DUN itu? Jika diukur kepada prestasi dalam PRU15, sangat sukar bagi PH-BN untuk menukar kerajaan di Kedah, Kelantan dan Terengganu. Mereka boleh kekal berkuasa di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor.
Kini realitinya sokongan rakyat semakin meningkat kepada PN. Atas alasan itu, PH-BN kurang memberi tumpuan kepada DUN Kelantan dan Terengganu berbanding Kedah. Di DUN Kedah, mereka memikirkan ada peluang terutama apabila PH dan BN boleh bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan untuk berkuasa di negeri jelapang padi itu. Atas sebab itu, banyak ‘serangan’ ditujukan kepada kepimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor. Jadi, DUN Kedah ini cukup menarik perhatian berbanding lain-lain DUN kerana kedudukan PN begitu baik dalam PRU-15.
Harus diingat, disebabkan terlalu fokus kepada Kedah, keadaan di DUN Selangor menjadi goyah. Jangan pula PH berputih mata di DUN Selangor. Adakah ini menjadi kenyataan dalam PRN nanti?
Dalam PRU15, penguasaan PN sangat dominan di Kedah. Begitu juga di Terengganu dan Kelantan. PH hanya menang di Parlimen Sungai Petani, Kedah. Jadi, PRN Kedah mesti diberi banyak tumpuan terutama di Parlimen Sungai Petani yang mengandungi DUN Bakar Arang, Sidam dan Pantai Merdeka. DUN Bakar Arang dan Sidam dimenangi oleh PKR dalam PRU15 dan DUN Pantai Merdeka oleh Pas. Walaupun kerusi Parlimen Sungai Petani dimenangi PKR, tiga DUN berkenaan jika diteliti mengikut keadaan semasa, semuanya boleh dimenangi oleh PN.
Sebenarnya banyak isu yang timbul melibatkan hubungan Kerajaan Pusat dan Kedah. Bermula dengan isu air dibekalkan ke Pulau Pinang, diikuti pembatalan pembinaan lapangan terbang baharu di Kulim yang menelan belanja RM7 bilion dan sambutan hari raya baru-baru ini. Semua itu terus mencetuskan polemik politik hingga karakter Menteri Besar Kedah cukup menarik perhatian ramai pihak. Tidak kurang pula tuduhan ke atas kepimpinan Kedah yang disifatkan gagal menyelesaikan banyak isu rakyat termasuklah bekalan air bersih di beberapa kawasan termasuklah kebajikan rakyatnya yang ditimpa bencana banjir dan kerosakan tanaman. Tumpuan kepada poster boy PN dalam PRN nanti bukan memberi kelebihan kepada PH-BN pun. Sebaliknya Pas-PN mendapat kelebihan.
Di DUN Pulau Pinang diramal banyak kerusi jatuh ke tangan PN. Keadaan ini sedikit sebanyak meresahkan PH dan penyokongnya kerana PN dalam PRU15 berjaya menang di Parlimen Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Permatang Pauh. Kerusi tradisi dan kubu kuat PKR di Permatang Pauh jatuh ke tangan PN.
Jadi, tidak mustahil dalam PRN nanti, banyak kerusi DUN Pulau Pinang boleh dimenangi PN. Bagi DUN Selangor, PN dijangka mampu meningkatkan penguasaannya walaupun tidak boleh membentuk kerajaan. Dari segi faktanya, pengundi Melayu terutama di kawasan luar bandar berpihak kepada PN. Ini adalah cabaran utama kepada PH-BN untuk menunjukkan prestasi sebenar. Lagi pun setelah Kerajaan Perpaduan ditubuhkan, rakyat masih ternanti-nanti suatu pembaharuan dan dasar yang benar-benar meyakinkan dibawa oleh kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan peneraju Kerajaan Perpaduan.
Rakyat sedia maklum mengenai dasar Membangun Malaysia Madani yang dilancarkan. Namun, rakyat masih meragui keupayaan Malaysia Madani itu. Memang tidak adil untuk memberi penilaian terlalu awal terhadap sesuatu dasar, tetapi kualiti kepimpinan dan pelaksanaan dasar itu sendiri sepatutnya berupaya meyakinkan hati rakyat.
Jadi, dasar untuk pembangunan sosio-ekonomi mesti disegerakan. Dengan kata lain, kerajaan mesti buat kerja. Kini rakyat tidak mahu lagi didodoikan dengan janji-janji manis kerana hidup mereka kian dihimpit kesulitan dan kesempitan. Setiap masalah rakyat mesti ditangani segera. Di situlah nanti rakyat dapat menilai secara langsungnya keupayaan Kerajaan Perpaduan dengan Malaysia Madaninya sama ada berjaya membangunkan Malaysia yang kini dijelaskan sangat kritikal kedudukan kewangan dan ekonomi dalam pasca pandemik Covid-19.
Sebaliknya, terlalu banyak polemik politik tentang usaha pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan. Jika benar ini suatu perancangan yang boleh berlaku pada bila-bila masa, kerajaan mesti ada ada kaedah menanganinya. Akta Larangan Melompat Parti sudah pun dikuatkuasakan. Disokong pula oleh Titah Yang Di-Pertuan Agong agar Kerajaan Perpaduan itu diberi sokongan penuh. Sampai bilakah istana harus diheret dalam kemelut politik yang tidak stabil pasca PRU15? Keadaan berpolitik sebegini tidak banyak memberi kelebihan kepada PH-BN untuk mengukuhkan cengkaman dalam PRN terbabit.
Rakyat mahu kerajaan melakukan kerja. Abaikan suara-suara sumbang dan nakal pembangkang itu. Mereka pun tahu tidak boleh menjatuhkan kerajaan dalam keadaan sekarang kecuali ada segerombolan wakil rakyat meletakkan jawatan. Kemudian pilihan raya kecil terpaksa diadakan bagi memberi ruang PN memenangi kerusi. Semua itu, pada hemat saya sangat mustahil untuk berlaku. Jika berlaku juga, tiada cara lain kecuali Parlimen mesti dibubarkan bagi diadakan PRU16.
Jadi, rumusan kepada PRN di semua DUN yang terbabit, PN kekal berkuasa dan lebih dominan di Kedah, Kelantan dan Terengganu. Bahkan PN boleh menguasai dan menambah beberapa kerusi di DUN Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang. Semua ini dapat dilihat melalui prestasi PN dalam PRU15 baru-baru ini.
Dalam pada itu, ramalan lebih berani beberapa pihak menjangkakan DUN Selangor tidak mustahil jatuh ke tangan PN. Jadi, kita tunggu dan lihat apabila semua DUN itu dibubarkan dalam masa terdekat ini. Ingat! Diktum popular oleh Abraham Lincoln bahawa demokrasi adalah kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat.

Prof. Madya Dr. Malike Brahim dari Pusat Pengajian Kerajaan Universiti Utara Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya