Jangan ‘kuburkan’ Dasar Pendidikan Kebangsaan - Utusan Malaysia

Jangan ‘kuburkan’ Dasar Pendidikan Kebangsaan

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Keputusan kerajaan baru-baru ini berkaitan kemasukan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kembali menghangatkan polemik lama tentang hala tuju sistem pendidikan negara.

Kerajaan menegaskan kemasukan pelajar UEC ke IPTA masih tertakluk kepada syarat ketat termasuk wajib kepujian Bahasa Melayu dan lulus Sejarah di peringkat SPM.

Namun, kenyataan itu gagal meredakan keresahan masyarakat yang melihat isu ini bukan sekadar soal kemasukan ke universiti, tetapi menyentuh Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Seminggu lalu, pelbagai pihak memberikan reaksi. Ada menganggap pengiktirafan bersyarat terhadap UEC tidak menggugat kedudukan Bahasa Melayu kerana pelajar UEC juga mengambil SPM. Ada pula melihat langkah itu titik mula kepada penghakisan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang dibina sejak merdeka.

Polemik ini memperlihatkan isu pendidikan sentiasa lebih besar daripada soal akademik semata-mata. Isu pendidikan menerobos soal identiti, perpaduan, sejarah dan masa depan negara.

Hakikatnya, Dasar Pendidikan Kebangsaan bukan dokumen biasa. Ia lahir daripada pengalaman sejarah pendidikan yang panjang. Selepas merdeka, negara mewarisi sistem pendidikan yang terpisah mengikut kaum dan bahasa.

Sekolah Melayu, sekolah Inggeris, sekolah Cina dan sekolah Tamil berkembang dalam ekosistem berbeza. Pemimpin negara ketika itu memahami Malaysia yang bersifat majmuk tidak mungkin mampu membina negara bangsa yang stabil jika generasi mudanya terus dibesarkan dalam dunia pendidikan terpisah-pisah.

Atas sebab itulah lahirnya Penyata Razak 1956 yang menjadi asas kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan. Tujuannya jelas, membentuk sistem pendidikan yang menyatukan pelbagai kaum melalui bahasa kebangsaan, kurikulum yang sama, peperiksaan awam yang sama dan pengalaman persekolahan yang dikongsi bersama. Sistem pendidikan mesti dijadikan alat integrasi nasional.

Malangnya, perkara ini sering disalah fahami. Dasar Pendidikan Kebangsaan tidak pernah bermaksud menolak kepelbagaian budaya atau bahasa ibunda. Malaysia tetap membenarkan sekolah vernakular dan pembelajaran pelbagai bahasa.

Namun, dasar ini menetapkan pendidikan kebangsaan mesti menjadi teras utama pembentukan identiti negara. Bahasa kebangsaan mesti diangkat sebagai bahasa pengantar pendidikan. Ini bukan untuk menindas bahasa lain, tetapi untuk memastikan wujud satu bahasa bersama yang menghubungkan seluruh rakyat Malaysia.

Inilah asas yang perlu difahami apabila membincangkan isu UEC. Polemik tentang UEC bukan semata-mata soal sijil peperiksaan. Persoalan lebih besar, sama ada negara masih mahu mempertahankan prinsip pendidikan kebangsaan sebagai alat pembinaan negara bangsa atau mula bergerak ke arah sistem pendidikan yang semakin terpisah-pisah.

Penyokong pengiktirafan UEC berhujah dunia hari ini memerlukan keterbukaan dan penguasaan pelbagai bahasa. Mereka juga menegaskan ramai pelajar UEC cemerlang serta menyumbang kepada ekonomi negara.

Malah, ada menyatakan sebahagian besar pelajar UEC turut mengambil SPM dan mempelajari Bahasa Melayu. Namun demikian, persoalan asas tetap perlu dijawab.

Jika Dasar Pendidikan Kebangsaan secara rasmi tidak mengiktiraf UEC, apakah mesej yang sedang dihantar kepada rakyat apabila kerajaan mula membuka laluan secara berperingkat? Tidakkah ini memberi isyarat jelas dasar negara boleh diubah-ubah hanya kerana tekanan politik dan tuntutan berterusan?

Lebih membimbangkan kemungkinan wujudnya dualisme pendidikan yang semakin ketara. Dalam jangka panjang, negara boleh berdepan situasi semakin ramai ibu bapa memilih sistem pendidikan berasingan berdasarkan identiti etnik dan bahasa masing-masing. Jika ini berlaku, sekolah kebangsaan akan kehilangan peranan sebagai ruang sosial utama untuk membina interaksi antara kaum.

Kita perlu jujur mengakui cabaran terbesar Malaysia hari ini adalah kemerosotan interaksi sosial antara kaum dalam kalangan generasi muda.

Ramai membesar dalam lingkungan etnik sendiri. Mereka bergaul dalam komuniti masing-masing dan belajar dalam sistem pendidikan yang berlainan. Akibatnya, ruang memahami budaya dan sensitiviti kaum lain menjadi semakin sempit.

Dalam konteks ini, sekolah kebangsaan sepatutnya menjadi medan pembentukan identiti nasional. Malangnya, sekolah kebangsaan sendiri berdepan pelbagai cabaran termasuk isu kualiti, jurang pencapaian akademik dan ketidakseimbangan komposisi kaum.

Isu UEC sepatutnya menjadi tanda amaran kerajaan perlu memperkukuhkan kembali sekolah kebangsaan, bukannya terus membuka ruang yang boleh melemahkan keyakinan rakyat terhadap sistem pendidikan nasional.

Negara-negara maju juga mempunyai sistem pendidikan nasional yang kuat sebagai asas pembinaan identiti negara. Jepun, Korea Selatan dan Perancis misalnya tegas mempertahankan bahasa dan sistem pendidikan nasional.

Mereka mungkin meraikan kepelbagaian budaya, tetapi tetap memastikan pendidikan menjadi alat penyatuan nasional. Malaysia tidak boleh mengambil pendekatan liberal dalam isu pendidikan sehingga mengabaikan realiti masyarakat majmuknya. Negara yang mempunyai latar etnik pelbagai memerlukan tapak integrasi yang kukuh.

Pada masa sama, kita juga tidak boleh menafikan keperluan reformasi dalam sistem pendidikan negara. Sekolah kebangsaan mesti diperkasakan secara menyeluruh supaya menjadi pilihan utama semua kaum.

Kualiti pendidikan perlu dipertingkatkan. Persepsi sekolah kebangsaan hanya milik sekelompok tertentu mesti diubah. Jika sekolah kebangsaan benar-benar berkualiti dan diyakini semua kaum, polemik seperti UEC tidak menjadi begitu besar.

Kerajaan juga perlu lebih berhati-hati dalam membuat keputusan berkaitan pendidikan. Pendidikan bukan medan eksperimen politik jangka pendek. Sebarang perubahan dasar perlu mengambil kira kesan jangka panjang terhadap perpaduan nasional.

Dasar Pendidikan Kebangsaan dibina dengan pengorbanan dan kebijaksanaan generasi terdahulu. Ia bukan dokumen mati yang boleh diketepikan sesuka hati. Jika ada kelemahan, dasar itu perlu diperbaiki, bukannya perlahan-lahan ‘dikuburkan’, kerana apabila dasar pendidikan kebangsaan gagal dipertahankan, akhirnya terhakis bukan satu dasar, tetapi jiwa sebuah negara.

Dr. Anuar Ahmad,Timbalan Pengarah Institut Pembangunan Dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN