DALAM ruangan Minda Presiden Pas pada 23 Mei lalu, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak semena-mena menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ada satu ayat amat tidak bertanggungjawab berbunyi: “Maka, janganlah juga berlagak tidak mahu menerima gaji atau peruntukan diri dengan berlakon lebih daripada Nabi SAW dan Khulafa’ al-Rasyidin, namun di belakangnya menerima rasuah dan pelbagai lagi sogokan haram yang melampau.”
Jika Abdul Hadi bertanggungjawab sama ada sebagai seorang pemimpin atau sebagai seorang ilmuan Islam, beliau sepatutnya menyebut dengan jelas siapa individu yang dikatakan ‘berlagak tidak mahu menerima gaji atau peruntukan diri dengan berlakon lebih daripada Nabi SAW dan Khulafa’ al-Rasyidin, namun di belakangnya menerima rasuah dan pelbagai lagi sogokan haram yang melampau’ kerana ia satu tuduhan berat oleh seorang pemimpin parti Islam.
Menolak dakwaan Pas tidak peduli akan masalah keperluan kehidupan rakyat di negeri yang diperintah olehnya seperti air, barangan keperluan, rumah kediaman dan lain-lain, Abdul Hadi berkata, “Pas menghadapi banyak sekatan oleh kerajaan Pusat, bermula dengan Kelantan sejak zaman Perdana Menteri, menjadi Menteri Kewangan sehingga kini. Urusan kewangan yang wajib mengikut perlembagaan, perjanjian dan prinsip demokrasi tidak dihormati.”
Perkara spesifik yang dinyatakan oleh Abdul Hadi ialah mengenai penafian bayaran royalti petroleum kepada negeri-negeri yang diperintah oleh Pas. Beliau menyebut, “Royalti petroleum tidak dinafikan kepada Sarawak dan Sabah, tetapi dinafikan kepada negeri-negeri yang diperintah oleh Pas. Adakah kerana prinsip Islam yang dipegang oleh Pas?”
Abdul Hadi sesungguhnya tidak berlaku jujur dengan menyalahkan Anwar sebagai punca kepada masalah-masalah dihadapi negeri-negeri diperintah Pas.
Sebelum ini, beliau dan pemimpin Pas lain termasuk Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berulang kali menyuarakan Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah pengkhianat terbesar kepada negeri-negeri diperintah Pas. Tetapi kini setelah Abdul Hadi bersekongkol dengan Dr. Mahathir dalam dunia politik, bertemu dan menandatangani Proklamasi Orang Melayu anjuran Dr. Mahathir, nama Dr. Mahathir telah disucikan.
PECAH PERUT
Rekod-rekod sejarah membuktikan selaran-selaran Nik Abdul Aziz bila kerajaan negeri Kelantan didiskriminasi sejak mengambil alih pentadbiran negeri itu pada akhir 1990 ialah ke atas Dr. Mahathir, bukan Anwar.
Selepas menjadi Menteri Besar, pemimpin Pusat pertama yang ditemui oleh Nik Abdul Aziz di Kuala Lumpur ialah Dr. Mahathir, bukan Anwar pada 9 Ogos 1991 dalam mana beliau menuntut pembinaan jalan pesisiran pantai dari Tumpat ke Terengganu, pembesaran lapangan terbang dan pembinaan sebuah pelabuhan di Kelantan. Namun, tuntutan ini tidak dilayan oleh Dr. Mahathir, bukan oleh Anwar. Ini ada rekodnya dalam laporan sebuah akhbar bertajuk Kelantan minta bantuan Pusat pada 23 Ogos 1991.
Nik Abdul Aziz juga menghantar surat kepada Dr. Mahathir, bukan kepada Anwar, meminta supaya kerajaan Pusat menukarkan status kira-kira RM70 juta yang dipinjamkan kepada kerajaan negeri Kelantan bagi melaksanakan projek bekalan air di bawah Rancangan Malaysia Kelima (RMK-5) kepada geran. Tetapi permintaan ini juga tidak dilayan oleh Dr. Mahathir, bukan oleh Anwar. Ini juga ada rekodnya dalam laporan sebuah akhbar bertajuk Pas minta lupus hutang air pada 13 Disember 1991.
Nik Abdul Aziz juga berjumpa dengan Tun Ghafar Baba memohon pinjaman RM17 juta bagi melaksanakan projek-projek di bawah Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) tetapi permintaan ini juga tidak dilayan oleh Ghafar, bukan oleh Anwar.
Ini juga ada rekodnya dalam laporan sebuah akhbar bertajuk Nik Aziz jumpa Ghafar tuntut janji pada 6 Mei 1993.
Banyak lagi rekod sejarah lain yang menunjukkan kemarahan Nik Abdul Aziz kepada Dr. Mahathir, bukan kepada Anwar, atas diskriminasi kerajaan Pusat ke atas kerajaan negeri Kelantan.
Untuk rekod, Anwar dilantik sebagai Menteri Kewangan hanya pada 15 Mac 1991 sehinggalah beliau dipecat daripada jawatan itu pada 2 September 1998. Isu penafian bayaran royalti petroleum kepada negeri-negeri yang diperintah oleh Pas langsung tidak berkait dengan Anwar kerana beliau sudah tidak berada dalam kerajaan waktu isu ini timbul. Pemberhentian bayaran royalti petroleum kepada Terengganu diumumkan oleh Dr. Mahathir, bukan oleh Anwar. Ini juga ada rekodnya dalam laporan sebuah akhbar bertajuk Terengganu tiada hak dapat royalti minyak pada 27 Jun 2000.
Sebab Dr. Mahathir berbuat demikian, iaitu sebab politik, disebut oleh beliau pada halaman 856 bukunya bertajuk Doktor Umum, “Pada waktu itu dan sehingga sekarang, Terengganu adalah pengeluar terbesar minyak di Malaysia dan kerajaan negeri memperoleh lima peratus daripada hasilnya yang berjumlah hampir RM1 bilion setahun. Kita tahu kalau kerajaan baharu Pas mendapat wang itu sudah pasti mereka akan menggunakannya untuk mempertingkatkan populariti dan memperluaskan perjuangan mereka. Oleh itu, satu cara perlu dicari bagi menyekat mereka daripada memperoleh dana tersebut.”
Tuntutan kerajaan negeri Kelantan terhadap bayaran royalti petroleum yang didakwa tertunggak sejak 2004 sebanyak RM1 bilion pula hanya diputuskan untuk dibuat pada 17 Jun 2009, waktu Perdana Menteri adalah Datuk Seri Najib Tun Razak, bukan Anwar.
Malah ada pemimpin yang didoakan oleh Nik Abdul Aziz supaya ‘pecah perut’ kerana tidak membayar royalti petroleum ini dan beliau ialah Najib, bukan Anwar. Ini juga ada rekodnya dalam laporan sebuah portal berita bertajuk Nik Aziz: Kita doa sampai pecah perut pada 4 Disember 2009.
Jadi, bagaimana mahu dikatakan Anwar punca kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh negeri-negeri diperintah oleh Pas? – UTUSAN
DR. Rosli Alani Abdul Kadir ialah Ahli Majlis Pimpinan Negeri PKR Kelantan.










