Nasib Melayu sampai bila-bila di takuk lama

Nasib Melayu sampai bila-bila di takuk lama

PENULIS berpandangan, selama 65 tahun negara merdeka, nasib orang Melayu masih tidak banyak berubah. – UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CARA berpolitik di Malaysia harus direvolusi kerana realitinya, perjuangan politik untuk sesebuah kaum dan agama itu tidak lagi relevan. Bukan kerana ia ditolak oleh masyarakat setempat, tetapi tidak lagi berkesan dalam mengangkat martabat sesuatu kaum apatah lagi memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat. Saya yakin ahli politik pun sedar hakikat ini, namun disebabkan ketamakan kuasa dan harta, mereka teruskan kaedah sama kerana tahu rakyat terutama orang Melayu mempunyai peribadi yang sangat lemah, mudah dipergunakan dan sentiasa terperangkap dengan permainan emosi, sentimen dan provokasi.

Saya tidak pastilah sama ada orang Melayu sedar atau pun tidak yang kita adalah dalam kalangan majoriti sekali gus dilihat sebagai kaum yang mengemudi negara. Oleh itu, rakyat dan ahli politik Melayu harus bertindak seperti pemimpin sejati yang memimpin semua kaum dan agama, bukan hanya memfokuskan pada sesuatu kaum apatah lagi bertindak seperti golongan minoriti.

Nak jadi pemimpin, mana boleh memimpin satu kaum sahaja, itu tidak betul. Lebih baik jadi orang agama atau duduk dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sahaja.

Ayuh, kita fahami sejenak latar belakang kaum-kaum di Malaysia supaya kita jelas pada siapa kita harus tumpukan.

Pada pandangan saya, orang Cina tidak perlu terlalu diberi keutamaan dalam perjuangan memandangkan kaum ini sudah dikira kuat, mampu berdikari dan hidup dalam keadaan serba baik. Ahli politik mereka pula begitu lantang dan tidak pernah berhenti dalam terus mengangkat martabat kaum mereka.

Mana-mana kaum yang memegang kantung duit negara merupakan kaum yang kuat dan produktif, mereka boleh berdikari dengan sendiri. Selain itu, pencapaian orang Cina sangat membanggakan dan harus dijadikan contoh teladan untuk semua kaum terutama Melayu yang masih terbelakang.

Dalam konteks di Semenanjung, orang Melayu dan India alami masalah yang sama, iaitu kemiskinan baik di bandar atau di kampung. Begitu juga masalah sosial, orang Melayu dengan isu dadah dan orang India pula dengan isu gangsterisme.

Bahkan kedua-dua kaum ini juga merupakan mangsa diskriminasi.

MANDARIN

Orang Melayu kalau nak kerja swasta, kena tahu Mandarin. Kalau tidak tahu, tidak dapat kerja. Kalau tahu pun belum tentu dapat kerja itu. Begitu jugalah orang India yang mengalami kesukaran dalam mendapatkan rumah sewa dan pekerjaan tertentu kerana streotaip kononnya kaum ini pengotor, pemabuk dan sebagainya. Orang Melayu juga sudah sebati dengan tuduhan dan tohmahan sebagai kaum yang malas dan mudah lupa, seperti kata bekas pemimpin negara kita dahulu.

Maka jelaslah orang Melayu dan India berkongsi masalah dan keperitan hidup yang sama, lalu mengapa kita patut bergaduh dan bertikam lidah antara satu sama lain? Kenapa kedua-dua kaum ini selalu mencari perbezaan sedangkan titik persamaan itu jauh lebih ketara? Ya, orang Melayu beragama Islam dan orang India beragama Hindu. Jadi, adakah faktor agama ini menoktahkan yang kita tidak boleh berjuang sekali?

Adat berpolitik di negara kita, orang Melayu kalau nak ubah nasib diri sendiri, mereka pasti akan mencari pemimpin Melayu sahaja. Begitu juga orang India yang sudah pastinya mencari pemimpin India atau paling tidak bukan Melayu lainnya.

Pada akhirnya, kedua-dua kaum ini pun bergerak secara bersendirian.

Sepatutnya orang Melayu dan India bergerak di bawah satu payung dan perjuangan yang sama. Terimalah kenyataan bahawa kita ini sudahlah lemah dalam pelbagai aspek, lepas itu bergaduh pula antara satu sama lain. Aduhai, kalau begitu, sampai bila-bilalah kehidupan kedua-dua kaum ini akan kekal sama seperti sediakala.

Sejujurnya, saya sangat sedih melihat nasib orang Melayu yang terus ditipu oleh pemimpin Melayu sendiri sejak merdeka hingga ke saat ini. Selama 65 tahun negara merdeka, apa perubahan terhadap nasib kehidupan orang Melayu? Bukankah sama sahaja? Masih miskin, papa bahkan tidak berpendidikan, sebaliknya ahli politik Melayu pula yang kaya raya.

Pelik sungguh, tapi itu pun masih tidak nampak, masih tidak sedar, masih rasakan yang pemimpin Melayu sahajalah dapat ubah nasib mereka. – UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis isu-isu semasa dan Setiausaha Kerja Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Titiwangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN