Ketabahan bangsa Ryukyu, Melayu Pattani

Ketabahan bangsa Ryukyu, Melayu Pattani

MASYARAKAT Melayu Pattani tetap teguh mempertahankan bahasa dan budaya Melayu serta pegangan akidah terhadap agama Islam. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGSA Ryukyu dan Melayu Pattani pernah mencipta sejarah kegemilangan dalam membina empayar maritim masing-masing. Pada zaman kemuncaknya, empayar Kesultanan Melayu Pattani yang didirikan pada 1516 terbentang merentasi bahagian tengah Semenanjung Melayu meliputi kawasan-kawasan utara Semenanjung dan beberapa provinsi selatan Thailand pada hari ini.

Kesultanan ini memainkan peranan penting sebagai sebuah kerajaan maritim dan disinggahi pedagang-pedagang yang belayar dari Barat ke Timur, begitu juga sebaliknya.

Sewaktu pemerintahan ratu-ratu Pattani pada kurun ke-15 dan 16, Pattani menjadi sebuah kerajaan disegani dan berjaya mematahkan serangan empayar Siam yang ingin menakluknya. Kerajaan Pattani secara perlahan-lahan menjadi semakin lemah dan akhirnya dikuasai Siam pada 1786. Siam menghapuskan kesultanan Pattani sepenuhnya pada 1903, menjadikannya sebahagian daripada wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat pada hari ini.

Kerajaan Ryukyu pula terbentuk pada 1429 dan telah menguasai kepulauan Ryukyu yang membentang antara Taiwan dan Jepun. Ketika penubuhannya, kerajaan Ryukyu diperintah oleh kerabat diraja Ryukyu di bawah naungan Dinasti Ming.

Seperti Pattani, Ryukyu adalah sebuah kerajaan maritim yang berperanan penting dalam menguasai jalan perdagangan di antara Asia Tenggara dan Asia Timur pada ketika itu. Pedagang-pedagang Ryukyu aktif dalam menjalankan aktiviti perdagangan maritim sehingga ke Melaka pada kurun ke-15.

Rekod sejarah ada menunjukkan kerajaan Ryukyu mempunyai hubungan perdagangan dengan Kesultanan Melaka sewaktu zaman keemasannya. Kerajaan Ryukyu ditadbir dari Istana Shuri dan kesan peninggalannya dapat dilihat di Pulau Okinawa sehingga hari ini dan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Saintik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Seperti Pattani yang berhadapan dengan jiran agresif, Ryukyu pula berhadapan dengan Jepun yang juga diketahui sangat galak dalam membina empayarnya. Selepas wujud lebih dari 400 tahun, kerajaan Ryukyu akhirnya rebah dan menjadi sebahagian daripada Empayar Jepun pada 1879.

Siam cuba untuk mengasimilasikan masyarakat Melayu Pattani ke dalam budaya mereka apabila wilayah tersebut diambil alih, sebagaimana Jepun telah mengasimilasi masyarakat Ryukyu untuk menerima budaya dan bahasa Jepun.

BANGKIT

Kedua-dua kerajaan yang pernah ulung ini bangkit dan berakhir menjadi sebahagian daripada wilayah negara yang menjajahnya pada suatu ketika dahulu. Undang-undang antarabangsa ada menyatakan, dalam senario dunia moden pada hari ini, pengambilan wilayah secara ekspedisi ketenteraan adalah tidak lagi dibenarkan menurut Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pun begitu, ekspedisi ketenteraan tetap sahaja berlaku seperti pernah dilakukan Amerika Syarikat (AS) terhadap Afghanistan pada 2001, Israel terhadap Tebing Barat dan Russia terhadap Ukraine yang masih belum berkesudahan. Apa pun, undang-undang antarabangsa jelas menyatakan pengambilan wilayah secara ketenteraan tidak dibenarkan setelah tamatnya Perang Dunia Kedua.

Dari sudut pandang ini, nasib masyarakat Ryukyu dan Pattani boleh dikatakan sama. Kedua-duanya dijajah dan dikuasai oleh Jepun dan Siam masing-masing sebelum meletusnya Perang Dunia Kedua. Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, Jepun dan Siam dianggap negara yang berada di pihak yang kalah.

AS menduduki Okinawa sehingga 1972 dan setelah itu dipulangkan kepada Jepun. British pula tidak berhasrat mengambil Pattani, Yala dan Narathiwat daripada tangan Siam, pihak yang kalah perang apabila menandatangani perjanjian damai pada 1946.

Ini menunjukkan undang-undang antarabangsa mengiktiraf wilayah yang diambil menerusi penjajahan sebelum Piagam PBB berkuat kuasa pada 1945.

Sehingga kini terdapat gerakan menuntut kemerdekaan dijalankan oleh masyarakat Pattani yang membantah pemerintahan Thailand dan masyarakat Ryukyu ditadbir Jepun.

Walaupun masyarakat Ryukyu terutamanya generasi muda dilihat telah berasimilasi dengan budaya dan bahasa Jepun, masyarakat Melayu Pattani tetap teguh mempertahankan bahasa dan budaya Melayu serta pegangan akidah terhadap agama Islam. Ternyata, ratusan tahun penjajahan tidak melunturkan jiwa Melayu yang tebal dan tidak mudah diasimilasikan ke dalam budaya Siam.

Kini, kerajaan Jepun dan Thailand telah membenarkan semula bahasa dan budaya Ryukyu dan Melayu dipelajari dan dipulihara di negara masing-masing. Walaupun tidak lagi berdiri sebagai negara merdeka, kedua-dua bangsa ini masih boleh berbangga dengan ketabahan mereka mempertahankan budaya, bahasa dan identiti diri mereka sehingga hari ini. – UTUSAN

Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli ialah Profesor Madya di Fakulti Syariah & Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN