BARU-BARU ini, saya berpeluang bermesyuarat dengan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang bersama-sama Asohan Satkunasingham, Dr. Mazuwin dan Albert Chong dari Persatuan Usahasana Perkembangan Ukhuwah (Pupuk) di pejabatnya di Putrajaya. Dalam pertemuan tersebut, kami berbincang tentang hal-hal penting berkaitan isu perpaduan termasuk mengenal pasti punca masalah serta cara-cara mengatasinya dalam usaha membentuk rakyat yang bersatu padu.
Hal perpaduan tidak boleh dipandang remeh kerana ia berkait rapat dengan kestabilan dan keamanan negara. Negara tidak akan makmur jika rakyatnya saling berbalah sesama sendiri. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Tanpa adanya perpaduan dalam kalangan rakyat, maka porak perandalah hidup mereka. Negara akan hancur tanpa perlu diserang oleh musuh dari luar.
Tambahan pula, oleh kerana kita hidup di negara yang rakyatnya berbilang kaum, maka isu memupuk perpaduan menjadi lebih mencabar. Justeru, kita mesti bijak mengatur langkah agar masing-masing dapat hidup bersama-sama dengan aman dan damai.
Saya berterima kasih kerana dalam pertemuan tersebut, saya tidak diperlakukan sebagai wakil anak muda tanpa suara. Malah, saya diberi peluang untuk mengutarakan pendapat dan sama-sama berbincang walaupun berada dalam kalangan mereka yang lebih berusia serta jauh lebih tinggi ilmu dan pengalamannya. Inilah yang diinginkan oleh anak muda, agar suara kami didengari dan sama-sama dapat berusaha untuk mencari solusi kepada sesuatu masalah. Malangnya dalam sesetengah keadaan, penyertaan anak muda hanyalah berfungsi sebagai penyeri atau pelengkap majlis dan tidak lebih daripada itu.
Perpaduan bukanlah suatu impian yang senang untuk dicapai tanpa usaha bersungguh-sungguh daripada semua pihak. Apatah lagi jika melibatkan rakyat daripada bangsa dan kaum yang berbeza nilai dan sosiobudaya. Maka kita harus berjiwa besar dan mampu bertolak ansur. Namun pada masa sama, kita tidak boleh menggadaikan pegangan dan prinsip hidup.
Memang tidak mudah untuk bersatu padu dan bekerjasama dalam satu pasukan yang saling lengkap-melengkapi tanpa keikhlasan dan rasa hormat sesama kita. Sedangkan dalam skop lebih kecil pun kita sering bergaduh sesama sendiri.
Lihatlah, dalam kaum yang sama pun kita sering bergaduh, parti-parti politik pun banyak berpecah-belah, anggota keluarga asyik bercakaran dan tidak kurang juga pasangan suami isteri yang bercerai-berai akhirnya.
Dalam pertemuan tersebut, saya juga menyentuh tentang kepentingan bagi kita mencari jalan yang realistik dan praktikal untuk mencapai impian ini. Penyelesaian jangka panjang ini memerlukan kita semua untuk memperbaiki sikap masing-masing, bukan sekadar mengarah orang lain untuk berpadu. Nilai-nilai kemanusiaan mesti ditanamkan kerana dengannya semangat perpaduan akan tumbuh mekar secara sendirinya.
UNDI
Tiada gunanya kita mencipta slogan dan membuat kempen besar-besaran sekadar untuk menguar-uarkan kepentingan bersatu-padu kepada rakyat kerana ia akan hilang selepas sahaja kempen tersebut berakhir. Kempen demi kempen belum berjaya menyatukan rakyat secara keseluruhannya.
Paling menyedihkan apabila terdapat pemimpin politik yang gagal menjadi ejen perpaduan. Malahan, sehinggakan ada sanggup membuat kenyataan panas yang boleh menggugat perpaduan hanya untuk memancing undi.
Ada juga pemimpin yang tidak kisah jika mereka memecahbelahkan rakyat, asalkan pilihan raya mereka menang. Ada juga yang menikam sesama sendiri, berebut jawatan dan memecahbelahkan parti sendiri demi kuasa.
Cukuplah kita beretorik. Kita harus memperbaiki sikap dan ikhlas membina semangat perpaduan berasaskan prinsip negara seperti yang jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Kita semua perlu bersatu di atas satu prinsip yang sama. Kita juga perlu menghormati apa yang telah dipersetujui oleh semua pihak ketika negara ini dibentuk. Semangat perpaduan tidak akan wujud jika hanya mahukan hak kita tanpa menghormati hak orang lain seperti ditetapkan.
Saya sering menulis tentang perlunya bagi setiap rakyat untuk memahami dan menjiwai sejarah serta prinsip negara. Amatlah penting untuk memahami Perkara 152, 153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan supaya kita menjiwai semangat perpaduan. Sayangnya, ada golongan yang tidak mahu menerima kebenaran, cuba merombak sejarah dengan membuat cerita dan memutarbelitkan fakta. Di sinilah pentingnya kita celik sejarah dan menjadi insan yang berpengetahuan agar tidak mudah ditipu oleh musuh negara.
Pembinaan semangat perpaduan juga berkait rapat dengan semangat patriotisme yang ditanam dalam jiwa setiap rakyat. Kursus bercorak latihan ketenteraan bukanlah satu-satunya cara bagi menanam semangat patriotisme dan membina jati diri yang kuat. Semuanya harus bermula dari rumah kerana semangat saling hormat-menghormati dan cintakan negara harus dipupuk sejak awal lagi.
Bahasa Melayu ialah tonggak perpaduan negara. Setiap rakyat mesti fasih bertutur bahasa Melayu kerana ia melambangkan kecintaan kita kepada negara. Bagaimanakah kita boleh saling mengenali dan memupuk perpaduan jika gagal berkomunikasi di antara satu sama lain? Tidak salah bagi kita mempelajari bahasa lain tetapi setiap rakyat mesti boleh menguasai bahasa Melayu dengan baik.
Memupuk semangat perpaduan merupakan tugas penting yang harus kita galas secara bersama-sama. Pelaksanaannya di pihak kerajaan mestilah sentiasa konsisten dan bukan sekadar bersifat bermusim serta melepaskan batuk di tangga.
Kesedaran tentang perpaduan adalah penting agar kita tidak mengambil mudah hal ini.
Semoga sambutan Minggu Perpaduan Negara peringkat kebangsaan yang bakal disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 21 Mei ini akan menyuburkan lagi semangat perpaduan dalam diri kita semua. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










