Cuaca panas melampau bukan halangan tuntut ilmu

Cuaca panas melampau bukan halangan tuntut ilmu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI mengeluh dengan keadaan cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini. Tidak dapat dinafikan, bahangnya begitu membara sehinggakan kadangkala hujan yang turun pun tidak dapat meredakan rasa panasnya. Namun, mujurlah sehingga kini keadaan masih terkawal dan kita tidak berhadapan dengan kemarau yang mana jika berlaku, akan memburukkan lagi keadaan.

Berpeluh dibuatnya setiap kali kami berkejar dari satu bangunan kuliah ke bangunan kuliah berbeza untuk mengikuti kelas seterusnya, lebih-lebih lagi jika jarak di antara bangunannya agak jauh. Sehinggakan terasa seolah-olah jarak di antara kelas kini lebih jauh daripada biasa terutama ketika matahari sedang memancar tegak di atas kepala. Kesannya lebih terasa kepada mereka yang menghadapi masalah alahan terhadap sinaran matahari.

Di dalam kelas, ada sahaja rakan yang kurang sihat. Sememangnya dari sudut kesihatan, keadaan cuaca sangat panas seperti ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menyebabkan pelbagai masalah, apatah lagi bagi golongan berisiko tinggi. Keadaan ini boleh mengakibatkan demam, batuk dan sakit kepala sehinggalah kepada strok haba yang boleh membawa kematian.

Bagi melindungi kesihatan murid, Kementerian Pendidikan mengumumkan sekolah dibenarkan tutup jika suhu di kawasan tersebut melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut. Kelas gantian akan diadakan setelah fenomena cuaca panas melampau ini berakhir. Namun, jika keadaan meruncing, kaedah penyelesaian yang lebih praktikal harus diambil.

Semasa pandemik Covid-19 melanda negara, begitu banyak sumber digunakan untuk melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) termasuk perbelanjaan dikeluarkan oleh ibu bapa bagi menyediakan peralatan dan tempat belajar yang selesa untuk anak-anak mereka. Walaupun terdapat rungutan daripada mereka yang kurang berpuas hati, namun pada umumnya kejayaan PdPR begitu memberangsangkan dan berhasil memberi peluang kepada para pelajar meneruskan pembelajaran walaupun mereka tidak dapat hadir ke sekolah secara fizikal.

Berkat usaha keras dan semangat kental serta niat ikhlas, ramai guru akhirnya mahir dan mampu mengendalikan kelas dalam talian dengan baik dan berkesan walaupun tanpa pengalaman dalam bidang ini. Maka segala kemahiran yang ada serta kemajuan yang telah dicapai harus dimanfaatkan secara optimum dan tidak disia-siakan begitu sahaja.

Pendidikan dalam talian ialah satu pencapaian besar yang membolehkan kami, generasi F5 Promax menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan jayanya dalam keadaan sangat mencabar. Sebagai pelajar yang mendapat manfaat daripada sistem pembelajaran dalam talian, saya amat menyokong agar sistem ini terus diperkasakan dengan penambahbaikan di mana sesuai kerana ia memberi banyak manfaat kepada para pelajar.

ZON SELESA

Untuk bergerak ke hadapan, negara mesti berani beralih daripada cara pendidikan konvensional kepada cara lebih praktikal agar kita dapat bersaing dengan pemain besar teknologi sedunia. Kejayaan pelaksanaan PdPR sepatutnya dijadikan batu loncatan dan pembakar semangat untuk kita berusaha mencari alternatif tambahan bagi menyokong dan menambah baik sistem pendidikan tradisional yang kita amalkan.

Kita harus berusaha membuka minda dan mengambil pengajaran daripada kesulitan yang kita hadapi tatkala dunia berhadapan krisis tidak diduga serta menyediakan diri kita bagi menghadapi krisis luar jangkaan pada masa hadapan. Amat merugikan jika kita mula melangkah ke belakang dan kembali ke zon selesa hanya kerana krisis yang melanda kita kini mula reda.

Kemajuan teknologi yang kita kecapi juga membolehkan pelaksanaan kelas secara hibrid yang berjaya menyelesaikan banyak masalah khususnya dalam keadaan masih ramai pelajar yang terpaksa menjalani proses kuarantin dan tidak dapat hadir ke sekolah akibat dijangkiti Covid-19. Kelas secara hibrid ialah gabungan kelas fizikal dan kelas dalam talian yang dijalankan secara serentak. Hasilnya, mereka yang tidak dapat hadir ke sekolah masih dapat menghadiri kelas secara interaktif bersama guru dan kawan-kawan yang berada di bilik darjah walaupun tidak dapat hadir ke sekolah secara fizikal.

Sistem pendidikan sentiasa berubah selaras perkembangan teknologi dunia. Jika dahulu guru menggunakan kad imbas sebagai alat bantu mengajar, kini slaid dan komputer digunakan secara meluas. Malah kini pengetahuan asas penggunaan komputer ialah satu keperluan bagi para pelajar dan kebanyakan sekolah mempunyai makmal komputer untuk kemudahan pelajar.

Menyedari betapa pentingnya penggunaan teknologi digital dalam sistem pembelajaran, kerajaan menghadiahkan peranti siswa untuk memudahkan pembelajaran para penuntut di pusat pengajian tinggi. Kerajaan juga sentiasa berusaha menyediakan kemudahan capaian internet yang lebih baik kepada semua rakyat. Dalam waktu sama, kerajaan juga harus berusaha untuk menambah baik serta memperkasakan pendidikan dalam talian di negara ini.

Jangan kita bersikap sekadar melepaskan batuk di tangga. Setiap kali sesebuah perubahan mahu dilakukan, harus dipastikan akan ada usaha berterusan untuk memastikan kebolehlangsungan dalam matlamat mahu dicapai. Dalam kata lain, penyelesaian kita itu harus bersifat jangka panjang serta memberikan kesan berterusan pada masa hadapan dan bukannya hanya sekadar dapat menyelesaikan masalah pada hari ini.

Maka, bersesuaian dengan kemajuan abad ke-21, kemahiran teknologi dalam kalangan para guru harus sentiasa dipertingkatkan dan pengendalian pendidikan dalam talian harus dimasukkan ke dalam skop pembelajaran bakal guru agar ia dapat dilaksanakan dengan mudah bilamana keadaan memerlukan. Sediakan payung sebelum hujan. Jangan sampai sudah terhantuk baru tengadah. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN