PADA Disember lalu, China mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi. China yang diwakili Presiden Xi Jinping telah dijemput oleh Raja Salman Abdulaziz al-Saud untuk menghadiri sidang kemuncak kedua-dua negara.
Objektif motif utama persidangan adalah kemahuan pemimpin kedua-dua negara untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala serta mengukuhkan kerjasama dari sudut politik dan ekonomi. Antara perkara dibincangkan ialah meningkatkan kerjasama dengan negara-negara Arab di bawah tiga inisiatif iaitu Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), Inisiatif Pembangunan Global (GDI) serta Inisiatif Keselamatan Global (GSI). Persidangan itu juga melibatkan pemimpin negara-negara Arab menjelang Sidang Kemuncak China-Negara-negara Arab yang pertama dan Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama China-Negara Teluk di Riyadh.
Dalam pertemuan tersebut, Jinping menekankan kepentingan kedaulatan dan integriti wilayah, pembangunan ekonomi serta kerjasama antarabangsa. Selain itu, Jinping turut menyatakan sokongan China terhadap Palestin dan menentang campur tangan luar dalam hal ehwal dalaman negara-negara Arab. Beliau juga akan lebih memfokuskan GDI dalam menghadapi kejutan wabak Covid-19 dan berikrar untuk terus mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara Arab dalam pelbagai bidang seperti kuasa, infrastruktur dan ekonomi. China juga akan menyelaraskan pangkalan pembangunan negara-negara Arab dan BRI untuk meningkatkan pertukaran dan kerjasama dalam pelbagai sektor.
Seperti kita ketahui, kuasa dunia ketika ini diketuai Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai pengaruh besar dalam ekonomi, politik dan kebudayaan. Dolar AS adalah mata wang yang digunakan secara meluas di seluruh dunia dan berfungsi sebagai standard global untuk transaksi antarabangsa. AS juga mempunyai sejarah yang panjang dalam peperangan dan rampasan kuasa, termasuk invasi Iraq pada 2003 dan penggulingan pemerintahan di beberapa negara Amerika Latin.
Kesenian dan budaya AS mempunyai pengaruh global yang besar, terutama dalam bidang muzik, filem dan fesyen. Namun, kepentingan ekonomi AS semakin disaingi oleh negara-negara lain termasuk Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) yang ditubuhkan untuk menentang dominasi ekonomi AS dan mempromosikan kepentingan mereka sendiri. Selain itu, China semakin memainkan peranannya dalam ekonomi global dan sudahpun menjadi pesaing utama AS sejak kebelakangan ini.
BAITULMUQADDIS
Sehubungan itu, banyak kesan jangka panjang boleh berlaku daripada kerjasama ini. Antaranya, pengaruh AS akan semakin berkurangan. Ini dapat dilihat daripada rentetan catatan sejarah di mana AS terlibat dalam banyak insiden politik di rantau Asia Barat. Contohnya, perang di Iraq (2003) dan konflik di Afghanistan dalam serangan 11 September 2001. Mereka juga memainkan peranan besar dalam konflik Arab-Israel termasuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan menubuhkan kedutaan besar di sana.
Semua insiden ini mempengaruhi hubungan antara AS dan negara-negara di Asia Barat dan mempunyai kesan global yang besar dalam isu-isu geopolitik dan keamanan dunia. Jadi, dengan adanya kerjasama antara Arab Saudi dan negara-negara Arab yang lain bersama China akan memberi sinar baharu untuk mengekang kemaraan AS daripada terus mendominasi politik dan ekonomi dunia.
Hal ini juga bersangkut paut dengan pembebasan Palestin daripada kekejaman Israel. Ini kerana pengunduran AS daripada peranan dominannya dalam politik dan ekonomi global telah memberi peluang kepada pembebasan Palestin.
Sebelum ini, AS adalah sekutu paling kuat Israel dan menyokong penubuhan negara berkenaan di bumi Palestin. Namun, sejak kebelakangan ini, AS semakin tidak popular dalam kalangan masyarakat dunia khususnya negara-negara Islam kerana campur tangan dalam konflik di Asia Barat dan menyokong tindakan kejam Israel terhadap rakyat Palestin.
Dengan semakin terdedahnya ketidakadilan di Palestin, AS semakin tertekan untuk menarik diri daripada sokongan yang diberikan kepada Israel dan mempertimbangkan semula dasar pro-Israel.
Selain itu, kemunculan kuasa negara baharu seperti China, Russia dan negara Arab seperti Turki dan Iran memberi kekuatan kepada gerakan perjuangan rakyat Palestin membebaskan tanah air mereka daripada penjajahan. Tidak dilupakan juga Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) telah menjadi gerakan yang kuat dalam kalangan aktivis di seluruh dunia yang menyokong pemboikotan produk Israel dan syarikat membiayai pendudukan Israel.
Akhirulkalam, perikatan China bersama Arab Saudi yang turut disertai negara-negara Arab lain memberi dimensi baharu kepada dunia kini. Dalam pada sedang penuh dengan pergolakan, dunia perlukan nafas baharu dalam mengekalkan keamanan dan mengelakkan peperangan yang bukan sahaja merugikan harta, malah nyawa tidak bersalah.
Tanggungjawab kita sebagai masyarakat pula hendaklah bijak dalam memilih antara hak dan batil kerana pilihan yang dibuat akan mempengaruhi masa depan dan kesejahteraan seluruh umat manusia. Adil dan benar selalu menang dalam jangka masa panjang, sementara kezaliman dan ketidakadilan hanya akan membawa kehancuran. Oleh itu, kita harus berusaha untuk menjunjung tinggi nilai-nilai kebenaran, keadilan dan kesopanan dalam setiap tindakan dan pilihan diambil. – UTUSAN
PROFESOR DR. MOHD. ROSLAN MOHD. NOR ialah Ketua Jabatan Sejarah & Tamadun Islam, Universiti Malaya (UM). HARITH FAHMI MOHAMAD HANAFI ialah pelajar di Jabatan Sejarah & Tamadun Islam, UM.










