MEMANDANGKAN kita sudah biasa menonton filem-filem Tamil, Hindi, Telugu, Malayalam, Kannada dan sebagainya dari India sejak puluhan tahun dahulu, maka kita juga sudah biasa melihat pelakon wanita meletakkan pottu pada dahi.
Penampilan Rekha, Sridevi, Aishwarya Rai dan sebagainya di skrin perak bertambah anggun apabila ada pottu di antara kedua-dua kening.
Istilah pottu merujuk kepada titik merah atau hitam yang sinonim juga dengan wanita kaum India beragama Hindu di Malaysia. Pada masa kini, pottu tidak hanya terhad kepada warna merah dan hitam atau bentuk bulat semata-mata. Pottu warna hitam diletakkan pada dahi kanak-kanak perempuan dan gadis manakala wanita berstatus isteri meletakkan pottu warna merah.
Secara tradisional, pottu adalah serbuk kumkuma berwarna merah yang disebut kumkumam (Tamil, Sanskrit), kumkuma (Telugu, Kannada), kungkumam (Malayalam) dan kumkum (Bengali). Istilah Hindi yang lazim didengar dalam dialog filem ialah tilak daripada perkataan tilaka (Sanskrit).
Di Malaysia, ia dirujuk sebagai pottu (Tamil) dan bottu (Telugu) atau bindi (Hindi).
Saya menghuraikan secara terperinci tentang amalan pemakaian pottu dalam buku Malaiur Manikam (2015), lalu mendapat reaksi positif daripada pembaca pelbagai kaum dan latar belakang yang menghargai maklumat dikongsi itu.
Baru-baru ini, saya berbual dengan dua penulis wanita kaum India tentang kecenderungan menggunakan stiker pottu, iaitu pottu berpelekat yang tidak lagi menggunakan unsur pottu tradisional.
Navanitha Nairu yang kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Daerah Kampar mengaku menggunakan pottu berpelekat sejak zaman kolej.
“Satu kelebihan pottu jenis ini ialah ia tidak mencomotkan wajah saya. Dahulu saya gunakan pottu jenis cecair dan ia akan menjadi cair apabila berpeluh,” katanya.
Pada masa sama, Navanitha mengatakan, dia sering pula menghadapi masalah mencari saiz sticker pottu yang diinginkan.
Guru di Sekolah Kebangsaan Sri Langat, Banting, Anuradha Chelliah turut mengakui kebaikan pottu berpelekat kerana dapat disesuaikan dengan warna pakaian.
“Seseorang boleh sahaja dengan mudah memilih stiker pottu warna hijau sekiranya memakai sari hijau. Corak dan rekaan pula dapat disesuaikan dengan wajah si pemakai kerana terdapat dalam pelbagai bentuk dan saiz,” katanya.
Namun begitu, secara peribadi Anuradha kurang meminati pottu jenis itu kerana setiap kali selepas ditanggalkan, dahinya terasa gatal kesan pelekat.
Pada 1970-an, serbuk kumkuma pelbagai warna mula menjadi pilihan wanita di India. Kecenderungan itu segera pula menular ke Malaysia dan Singapura.
Satu lagi fenomena bermula pada 1986 apabila stiker pottu jenama Shilpa diperkenalkan. Pottu serba moden itu diperbuat daripada sejenis fabrik felt yang tebal dan kuat yang dimampatkan. Pottu berpelekat dan berwarna merah manggis itu menjadi pilihan ramai dan masih hangat dalam pasaran termasuk di Malaysia. Malah, kini terdapat dalam pelbagai diameter, iaitu daripada bentuk titik kecil hingga saiz syiling 10 sen.
Sejak itu, muncul ramai lagi pengusaha yang menghasilkan stiker pottu dalam pelbagai warna, reka bentuk dan saiz. Corak pelbagai warna juga mula dihasilkan mengikut kreativiti pengusaha bagi memenuhi permintaan pengguna.
Dalam buku For God’s Sake (2014), Ambi Parameswaran, iaitu seorang pakar bidang periklanan meneliti kecenderungan penampilan wanita memakai pottu dalam iklan televisyen dan majalah di India pada 1987, 1997 dan 2007. Walaupun kecenderungan menampilkan model wanita memakai pottu dalam iklan terus menurun di India, budaya itu tetap berakar dalam masyarakat. Malah di Malaysia, gadis India semakin berminat menggayakan pottu sama ada semasa berpakain tradisional atau moden.
Pemakaian sari juga tidak lengkap dan kelihatan amat janggal jika tidak dipadankan dengan pottu tradisional atau versi moden yang terdapat dalam pelbagai corak dan gaya. Jika menghadiri majlis perkahwinan kaum India, bolehlah perhatikan sendiri pelbagai corak dan rekaan pottu.
Anak-anak muda biasanya cuba mencari kelainan manakala wanita sudah berkeluarga lebih ketara kembali kepada pottu tradisional.
Kawasan Little India seperti di Brickfields, Klang dan pelbagai tempat lain yang menjadi lokasi barangan tradisional India pasti menghidangkan pelbagai pilihan pottu sehingga mampu membuatkan anda rambang mata.
Bagaimanapun, rata-rata pottu yang dijual di Malaysia diimport dari India. Masing-masing pengguna atau jurusolek sentiasa cuba menggunakan kreativiti untuk mengubah suai corak dan warna bagi menghasilkan rekaan pottu terbaik.
Pottu tradisional berbentuk bulat tetap malar dan menjadi pilihan sepanjang zaman. Pottu pelbagai rekaan pula sentiasa mengalami perubahan mengikut citarasa semasa.
Walaupun gadis dan wanita sudah biasa dan selesa memakai stiker pottu, elok juga kita mengetahui manfaat di sebalik penggunaan pottu tradisional, iaitu kumkuma. Biasanya orang Hindu mengatakan dahi di mana pottu atau thiruneer (abu putih) diletak merupakan lokasi ‘mata ketiga.’
Dari sudut perubatan tradisional ayurveda dan yoga, titik itu dikatakan ajna chakra iaitu pusat tumpuan tenaga intuisi, kebijaksanaan, kesedaran diri, inspirasi dan imaginasi. Dengan meletakkan kumkuma dan serbuk santanam (cendana) pada pusat tumpuan itu, kita mampu menyejukkan titik chakra yang menghubungkan dunia luaran dan dalaman seorang individu.
Titik itu juga dikatakan dapat mengawal emosi seseorang supaya menjadi lebih tenang dan stabil. Saraf di bahagian berkenaan sering dipicit semasa sesi mengurut tradisional.
Pada 2015, kempen Life Saving Dot diperkenalkan bagi mengatasi kekurangan iodin dalam badan jutaan penduduk India. Pottu khas dikeluarkan di mana terdapat iodin pada bahagian pelekat. Dijangkakan iodin meresap masuk ke dalam tubuh wanita menerusi kulit pada dahi.
Maka, amalan dan budaya meletakkan pottu pada dahi bukan sekadar suatu identiti atau fesyen bagi wanita kaum India. Sebaliknya, generasi terdahulu menyedari kepentingan menjaga dan memelihara titik chakra itu. Maka, dimulakan tradisi meletak pottu yang terus menjadi amalan sehingga kini. – UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










