Jom cari unta merah Jepun

Jom cari unta merah Jepun

PENULIS (tiga dari kiri) bersama ahli rombongan ziarah dakwah ke Japan Dakwah Centre (JDC) di Osaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“PELIK saya dengar ajakan mencari unta merah Jepun. Setahu saya, unta bukan haiwan yang sesuai dengan cuaca Jepun. Kalau ada sekalipun, ia cuma haiwan pameran zoo.”

Nilai unta merah adalah kiasan ganjaran pahala yang sangat tinggi menurut hadis bermaksud: “Maka demi Allah, (ganjaran yang kamu perolehi) kerana seseorang mendapat hidayah (atas usahamu) lebih baik nilainya daripada (nilai) seekor unta merah (unta yang sangat mahal harga pada orang Arab).” (Sahih al-Bukhari, 2724)

Usaha menarik sebanyak mungkin golongan belum Islam kepada Islam sangat besar ganjarannya. Nabi SAW mengumpamakannya seperti nilai seekor unta merah yang sangat mahal pada orang Arab.

Jika dimodenkan perumpamaan itu, nilai pahala mengislamkan orang yang belum Islam jauh lebih mahal daripada harga kereta Ferrari. Jika akaun pahala pendakwah ditukar nilai kepada ringgit, pasti ramai Muslim mahu mencebur diri dalam kerja dakwah kepada yang belum mengecap nikmat Islam.

Dakwah kepada orang belum kenal Islam adalah sunnah nabi yang paling awal. Rasionalnya, selepas wahyu pertama, Nabi Muhammad SAW adalah Muslim pertama di dunia. Selepas dakwah dicetuskan baginda, barulah Khadijah, Abu Bakar, Ali, Umar, Uthman dan para sahabat awal lain kenal Islam. Hasilnya, segala pahala umat Islam termasuk pahala nilai unta merah masuk berterusan kepada baginda SAW sehingga kiamat.

Ia sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tetap beroleh pahala yang tidak akan putus, (sebagai ganjaran menyebarkan Islam).” (al-Qalam: 3)

Berbalik kepada tajuk kita, saya bersyukur kerana diberi kesempatan terlibat dengan dakwah di bumi matahari terbit. Kali pertama saya ke Jepun pada 2017 untuk berkenalan dengan Zulkarnain Hasan Basri, jurutera dan pendakwah bebas Malaysia yang giat berdakwah di Masjid Kobe secara solo.

Beliau berkahwin dengan warga Jepun dan bermastautin di sana punyai visi jauh ke akhirat, iaitu mengislamkan sebuah negara Jepun. Selain risau dengan generasi anak cucunya yang mungkin hilang akidah dan identiti Islam ditelan budaya Jepun, beliau percaya orang Jepun yang sudah mengamalkan budaya hidup Islam ‘berhak dan perlu’ didedahkan dengan Islam. Jika orang Jepun kenal Islam, kegemilangan Islam seperti zaman Nabi SAW mungkin akan berulang.

Kualiti dan sesetengah budaya hidup orang Jepun amat Islamik walaupun mereka tidak mengenal Islam. Mereka umpama Muslim yang lena tidur dalam sebuah empayar dunia penuh gemilang. Jika kena cara dakwahnya, mereka akan bangkit menjadi gergasi Muslim sehebat generasi para sahabat nabi.

Selepas siri ziarah dakwah pada 2018 dan 2019, saya dan beberapa sahabat menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernama Fajar Iman Matahari Terbit untuk membantu kerja dakwah Zulkarnain dalam aspek kewangan dan sumbangan idea dari Malaysia.

Ini antara fitrah dakwah Islam yang perlu kita akui. Seorang pendakwah tidak mampu berdiri sendiri tanpa sokongan orang lain. Kerja pasukan dalam dakwah adalah sunnah para nabi seperti Nabi Musa a.s. (Taha: 29-32) dan Nabi Isa a.s. (ali-Imran: 52)

Selain itu, antara punca Nabi SAW berhijrah ke Yathrib adalah untuk mendapat sokongan pasukan baharu, iaitu orang Ansar Madinah. Jabir bin Abdullah r.a. menyebut yang bermaksud: “Rasulullah SAW menyebarkan dakwah Islam kepada para jemaah haji pada musim haji seraya berkata: Kalaulah ada sesiapa (lelaki) yang sudi membawaku kepada kaumnya (membantuku dalam dakwah ini) kerana Quraisy telah menghalangku daripada menyampaikan kalam Tuhanku.” (Sunan Abu Dawud, 4109)

KIMONO

Kemuncak dalam pencarian unta merah Jepun ini, Zulkarnain berhenti kerja pada 2019 bagi menumpukan perhatian pada kerja dakwah di Jepun. NGO kami juga berjaya mengumpul RM3.5 juta pada Ramadan 2019 untuk membeli bangunan di Osaka dikenali sebagai Japan Dakwah Centre (JDC). Bangunan ini siap diubahsuai dan beroperasi pada 2020. Sehingga April 2023, sudah 52 warga Jepun bersyahadah di JDC.

JDC punyai tarikan luar biasa terhadap warga Jepun kerana seni binanya berkonsepkan tradisional Jepun dikenali sebagai Wafu. Tambahan pula Zulkarnain berkahwin dengan warga Jepun dan sangat memahami budaya serta nafas hidup mereka. Sentuhan budaya sebegini berjaya menarik minat orang Jepun berkunjung dan mengenal Islam di JDC.

Mereka melihat Islam sebagai agama universal yang tidak berbangsa. Mereka tidak perlu menjadi Arab, Melayu, Turki atau Pakistan untuk menerima Islam. Dalam beberapa siri syahadah, JDC menggalakkan warga Jepun memakai pakaian tradisional mereka seperti kimono agar mesej tentang kesyumulan Islam sampai kepada warga Jepun lain.

Ketika rencana ini ditulis, saya berada di Jepun untuk melihat perkembangan terkini JDC dan melawat tapak Masjid al-Dakwah di Wakayama. Masjid ini akan menjadi francais kedua selepas JDC. Kaedah dakwah yang mesra warga Jepun di JDC akan dipanjangkan ke masjid ini. Pembinaannya juga akan mengambil kira seni bina tradisional Jepun untuk menarik lebih ramai warga Jepun mengenali Islam.

Pembelian Masjid al-Dakwah di Wakayama dijangka menelan belanja besar. Pada peringkat permulaan, sebanyak RM 2.5 juta diperlukan untuk urusan pengurusan pembelian tanah dan merangka reka bentuk masjid.

Sehingga akhir Ramadan lepas, hampir 70 peratus nilai tersebut berjaya dikutip hasil sifat pemurah orang Malaysia. Sebarang sumbangan masih boleh disalurkan ke akaun berikut dengan rujukan ‘Masjid al-Da’wah.’

Marilah kita sama-sama mempraktikkan sunnah terawal Nabi SAW dengan mencari seramai mungkin unta merah Jepun. Percayalah, Jepun adalah padang ragut dakwah yang sangat subur. Ia punyai banyak unta merah berkualiti yang menanti untuk dibahagiakan di dunia dan di akhirat dengan Islam.

Mereka yang ingin membantu boleh menyumbang ke akaun Maybank Islamic nombor 5621-0669-8737 atas nama Persatuan Fajar Iman Matahari Terbit Malaysia.

Nabi SAW pasti tersenyum melihat kita di akhirat kelak kerana sama-sama meramaikan umatnya sebagaimana diramal pasti oleh hadis yang bermaksud: “Penghuni syurga terdiri daripada 120 barisan. 80 barisan daripadanya terdiri daripada umat ini, manakala 40 barisan lagi terdiri daripada umat lain.” (Sunan al-Tirmidzi, 2469) – UTUSAN

PENULIS ialah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN