Jangan diulangi silap kerajaan PH dahulu

Jangan diulangi silap kerajaan PH dahulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA kumpulan hak asasi manusia lantang menyelar kerajaan perpaduan kerana dikatakan lambat memperkenalkan dasar berkaitan melindungi hak asasi manusia. Turut dipersoalkan ialah tekad politik kerajaan perpaduan untuk mengubah sebilangan undang-undang yang dikatakan sebagai zalim dan kuno di negara ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim pula disebut sebagai Perdana Menteri paling teruk jika gagal menunaikan janji reformasi yang telah dibuat Pakatan Harapan (PH) selama ini.

Kumpulan hak asasi manusia ini sepatutnya lebih berhemah dan mengambil kira beberapa faktor penting yang ada dalam politik negara sebelum membuat kritikan sebegini. Kerajaan yang memerintah sekarang bukannya kerajaan PH tetapi kerajaan perpaduan yang dianggotai oleh beberapa gabungan dan parti berbeza.

Ada lima gabungan politik yang membentuk kerajaan perpaduan, iaitu PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan. Setiap gabungan politik ini memasuki Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022 berbekalkan manifesto masing-masing yang tidak sama isinya.

Manifesto PH umpamanya, berjanji untuk menyemak semula dan memansuhkan peruntukan akta-akta zalim yang boleh disalahguna bagi menyekat kebebasan bersuara. Antaranya, Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Manifesto PH juga berjanji untuk memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat dan mengehadkan penggunaan Akta Rahsia Rasmi (OSA) kecuali terhadap perkara yang boleh menggugat keselamatan negara selain meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.

Walaupun begitu, disebabkan tidak memiliki majoriti mudah secara sendirian, PH terpaksa bekerjasama dengan empat gabungan politik lain untuk membentuk kerajaan. Asas kepada pembentukan kerajaan perpaduan ada dalam satu perjanjian yang dimeterai oleh pemimpin tertinggi lima gabungan politik tersebut pada 16 Disember 2022.

Antara inti pati perjanjian ini ialah pembahagian portfolio jemaah menteri hendaklah berkadar dengan jumlah ahli Parlimen setiap parti yang membentuk kerajaan perpaduan. Portfolio jemaah menteri juga hendaklah diagihkan oleh Perdana Menteri setelah melalui perbincangan dengan ketua parti-parti lain yang membentuk kerajaan perpaduan.

Dari sudut hak asasi manusia, ada tertera dalam perjanjian ini bahawa kerajaan perpaduan akan ‘Menjamin kebebasan berfikir, bersuara, bergerak, berhimpun dan berpersatuan kepada semua dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dalam acuan Malaysia.’

Begitupun, sama dengan aspek-aspek lain, tiada perincian diberikan mengenai apa langkah atau dasar spesifik yang akan dilaksanakan oleh kerajaan perpaduan.

MAJLIS PERUNDINGAN

Ada juga diperuntukkan pengwujudan sebuah majlis perundingan berperanan untuk memastikan segala terma-terma yang dipersetujui dalam perjanjian ini dapat dilaksanakan dengan cermat dan teratur agar kerajaan perpaduan dapat beroperasi dengan stabil dan berkesan. Oleh itu, semua janji yang terkandung dalam manifesto setiap gabungan politik ini sekiranya mahu dilaksanakan perlu terlebih dahulu dibawa untuk dirunding dengan gabungan politik lain.

Selain menjadi Perdana Menteri, Anwar juga dibebani tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan yang memerlukan beliau memperuntukkan sejumlah masa untuk urusan ini. Oleh itu, tidaklah wajar untuk Anwar selaku Perdana Menteri dibebani dengan segala macam permasalahan sedangkan sudah ada agihan portfolio jemaah menteri antara lima gabungan politik.

Dalam konteks undang-undang dan reformasi institusi, kita ada Datuk Seri Azalina Othman Said selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

Kumpulan hak asasi manusia ini juga perlu sedar mengenai perkara-perkara yang perlu menjadi urutan keutamaan untuk diberikan fokus oleh kerajaan perpaduan sekarang. Kerajaan perpaduan mengambil-alih kuasa dalam keadaan ekonomi negara masih belum pulih sepenuhnya kesan daripada pandemik Covid-19 yang melanda dunia sebelumnya.

Dengan kenaikan kos sara hidup, kadar inflasi dan kadar pengangguran tinggi, banyak masa dan tenaga para pemimpin kerajaan perpaduan terfokus untuk menangani isu-isu ekonomi. Ini kerana walau sebagus mana pun sesebuah kerajaan itu, yang menjadi pertimbangan utama rakyat pada akhirnya adalah isu bread and butter, apakah ada makanan terhidang di meja mereka?

Begitu juga isu tatakelola baik yang berulang kali ditekankan oleh Perdana Menteri kerana tanpanya, sistem penyampaian akan bermasalah. Seperti disebutkan oleh Perdana Menteri, usaha membasmi rasuah memerlukan masa dan tenaga untuk diselesaikan kerana ia sudah terlalu membarah dan menjadi sistemik.

Kaji selidik badan seperti Merdeka Centre pada 26 Disember 2022 hingga 15 Januari 2023 juga menunjukkan selain rasuah, isu-isu ekonomi seperti pengwujudan kerja, jurang gaji dan pengembalian pelaburan langsung asing (FDI) dilihat menjadi empat isu terpenting negara manakala isu reformasi undang-undang dan Parlimen berada di tempat kedua terbawah.

Kerajaan perpaduan bukanlah tidak komited kepada usaha membuat reformasi undang-undang dan institusi, sebab itulah diwujudkan satu kementerian khusus bagi menanganinya. Bagaimanapun, proses menggubal atau meminda sesuatu undang-undang memakan masa kerana libat urus dengan pelbagai pihak serta persediaan kementerian terbabit, Pejabat Peguam Negara dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang.

Berilah masa untuk kesemua ini berlaku secara teratur, jangan diulangi kesilapan kerajaan PH dahulu yang terburu-buru mahu membuat perubahan hingga menimbulkan kesan negatif. Apa yang lebih penting ialah majoriti rakyat berpendapat, hala tuju negara adalah betul dan menjadi tugas semua pihak memastikan kerajaan perpaduan dapat bertahan hingga ke hujung penggal.

Ini termasuklah memastikan gabungan politik yang membentuk kerajaan perpaduan di Semenanjung akan mencatat prestasi baik dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti. Ini penting bagi membolehkan sebahagian besar reformasi yang dijanjikan akan terlaksana. – UTUSAN

PENULIS ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau merangkap Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×