PIHAK berkuasa disaran mempercepatkan penyediaan peraturan berkaitan nikotina dan kandungan bahan kimia yang lain dalam produk e-cecair. Langkah ini mampu mengawal dan mencegah aktiviti jenayah di samping membantu penyelarasan kutipan cukai untuk negara.
Pada musim perayaan ini, masyarakat diminta meningkatkan kewaspadaan kepada produk e-cecair bernikotin yang digunakan dalam pelbagai generasi rokok elektronik (vape).
Pada tahun ini, peniaga yang menjual produk ini mungkin beranggapan bahawa produk mereka sah dan selamat kepada pengguna.
Ini berikutan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa baru-baru ini membuat keputusan mengeluarkan cecair nikotin daripada senarai Akta Racun 1952 supaya kerajaan boleh mengenakan cukai ke atas cecair vape. Langkah itu selaras dengan keputusan pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotina yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.
Lanjutan pengecualian itu, sediaan cecair atau gel mengandungi nikotina untuk tujuan merokok menggunakan rokok elektronik atau peranti pengewapan elektronik kini adalah suatu barangan berduti eksais dan dikawal di bawah Akta Eksais 1976.
Akta Eksais 1976 memperuntukkan kawalan antaranya dengan melesenkan aktiviti pengilangan dan penggudangan melibatkan sediaan ini. Mana-mana orang yang mengilang barangan berduti eksais tanpa lesen boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Berikutan kebimbangan yang disuarakan pelbagai pihak terhadap langkah mengeluarkan cecair nikotina daripada senarai Akta Racun, Zaliha pada 1 April lalu menjelaskan Kementerian Kesihatan (KKM) akan membentangkan rang undang-undang (RRU) baharu yang akan mengawal selia semua produk merokok termasuk bahan merokok mengandungi nikotina.
Namun, pengguna sebenarnya tidak menyedari tentang kesan e-rokok terhadap kesihatan mereka kerana tidak wujud peraturan nikotina dan kandungan bahan kimia yang lain.
Musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri ada salah satu perayaan yang sentiasa bermakna dan kita mahu komuniti menikmatinya secara bertanggung jawab.
Ini kerana perayaan yang disambut mestilah mempunyai persekitaran selamat untuk membantu melindungi orang ramai terutama golongan kanak-kanak dan warga emas daripada potensi bahaya.
KANABIS
Semasa musim perayaan, masyarakat mungkin akan mencuba e-cecair baharu yang berbahaya terutama apabila nikotin diiklankan sebagai ‘sah’ baru-baru ini.
Nikotina sering dilabelkan di bungkusan e-cecair tetapi ia tidak mempunyai deklarasi yang sah. E-cecair yang tidak mempunyai kawalan juga mempunyai bahan kimia lain seperti cinnamaldehyde, vanillin, menthol, ethyl maltol, ethyl vanillin, benzaldehyde dan linalool.
Itulah sebabnya masyarakat perlu diberikan mesej iaitu penggunaan e-cecair yang tidak dikawal selia mungkin tidak selamat dan juga boleh mengandungi bahan terlarang seperti kanabis.
Selepas Hari Raya Aidilfitri ini, makmal di universiti-universiti ingin bekerjasama dengan kerajaan untuk mengenal pasti bahan baharu dalam e-cecair sebagai sebahagian daripada penyelidikan saintifik untuk membina Sistem Amaran Awal E-Cecair.
Tidakkah anda bimbang tentang kandungan e-cecair yang dibeli – ‘sah’ atau sebaliknya? – UTUSAN
DR. Mohd. Rashidi Abdull Manap ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM).










