SEJAK zaman dahulu, kesempitan hidup menyebabkan para peneroka Cina meninggalkan kampung halaman di wilayah selatan, iaitu Guangdong and Fujian untuk mencari penghidupan baharu di negara kita. Pada pertengahan kurun ke-19 sehingga awal kurun ke-20, puluhan ribu pekerja keturunan Teochew membanjiri lebih 120 kangkar di seluruh Johor untuk mengendalikan penanaman gambir dan lada hitam di bawah sistem Kangchu.
Masuk abad ke-20, penanaman getah diperkenalkan sebagai tanaman komersial paling penting. Puak Fuzhou yang terkenal dengan ketahanan bekerja di ladang dibawa masuk oleh penjajah British untuk membuka hutan dan menanam pokok getah.
Pada waktu sama, orang Cina diambil untuk bekerja di lombong-lombong bijih timah di Negeri Sembilan, Selangor dan Perak. Puak Hakka dan Kantonis banyak membanting tulang menaikkan nama Malaya sebagai pengeksport bijih timah utama dunia.
Kaum Cina yang tiba kemudian membawa bersama kemahiran pertukangan dan berniaga yang berkait rapat dengan bidang mata pencarian mereka di negara asal. Misalnya, orang Hakka yang asalnya menjadi tukang besi membuka kedai besi untuk menghasilkan pisau menoreh getah, parang dan sebagainya. Orang Guangxi yang mahir membuat tofu pula menghasilkan produk sama dari rumah dan menjualnya di pasar.
Lama-kelamaan, kaum Cina di Malaysia berkecimpung dalam pelbagai bidang perniagaan dan perindustrian setelah mengumpul pengalaman berniaga dan modal mencukupi.
Kepesatan pembangunan ekonomi menyebabkan penduduk Malaysia semakin bertambah, maka permintaan terhadap barangan keperluan hidup dan makanan turut meningkat. Peluang perniagaan luas terbuka walaupun peniaga-peniaga kaum Cina pada masa itu hanya berniaga secara kecil-kecilan.
Pada awal kemerdekaan negara, kedai-kedai runcit di seluruh pelosok negara hampir dimonopoli oleh puak Teochew. Orang Teochew melibatkan diri dalam bidang peruncitan dan pemborongan beras dan barangan kering seperti tepung, gula serta makanan tin sejak awal lagi.
Melalui tinjauan, kaum Cina menceburi lapangan perniagaan bukan kerana mereka sangat minat aktiviti tersebut ataupun memiliki kehandalan berniaga semula jadi. Sesungguhnya, para peneroka awal terdesak untuk melakukan sesuatu demi menyara hidup keluarga. Pendapatan makan gaji amat sedikit, mereka terpaksa mencari pendapatan tambahan dengan memulakan perniagaan secara kecil-kecilan melalui perdagangan barangan atau menjadi orang tengah.
Ramai peneroka awal keturunan Cina berulang-alik di perkampungan Melayu berdekatan untuk membeli hasil pertanian lalu memasarkannya di bandar untuk memperoleh sedikit keuntungan. Mereka turut menghasilkan kuih-muih Cina dan makanan lain untuk memenuhi permintaan kaum sebangsa di pekan dan bandar.
FEUDAL
Masa berlalu, kaum Cina berjaya mengumpul banyak pengalaman dan ilmu berniaga. Modal mereka juga bertambah sedikit demi sedikit.
Dalam sejarah Cina yang wujud beribu-ribu tahun dahulu, golongan peniaga sememangnya tidak memiliki kedudukan yang tinggi dalam masyarakat Cina. Di bawah sistem pemerintahan feudal, pekerjaan utama terbahagi kepada empat kategori, iaitu shi (pegawai kerajaan), nong (petani), gong (tukang) dan shang (peniaga).
Golongan pegawai kerajaan yang mendekati pemerintah berada di hierarki tertinggi. Kumpulan petani merupakan tunjang masyarakat kerana mereka berusaha menghasilkan makanan untuk negara. Pekerja dan tukang pula membantu menyediakan pakaian, tembikar, barangan gangsa, kereta kuda, peralatan perang, bangunan dan sebagainya untuk golongan bangsawan.
Golongan peniaga berada di hierarki terendah. Pekerjaan itu didapati sukar, berbahaya, tidak terjamin dan kurang diiktiraf oleh pemerintah.
Oleh hal demikian, masyarakat Cina dari dahulu lagi mementingkan pendidikan dan memberikan penekanan kepada usaha untuk mengejar jawatan pegawai kerajaan atau peluang kerjaya dalam politik.
Meskipun begitu, budaya Cina tidak menolak sama sekali pencarian kekayaan melalui perniagaan. Ahli sejarah Cina, Sima Qian (sekitar 145SM-90SM) dalam karya Biografi Huo Zhi menyokong amalan menggunakan cara pengeluaran dan pertukaran barangan untuk menjalankan aktiviti komersial. Seterusnya, mencipta wang dan mendapatkan keuntungan daripadanya.
Sesungguhnya, pemikiran masyarakat Cina sejak 2,000 tahun dahulu banyak mendukung usaha pengumpulan harta kekayaan melalui cara yang sah. Demi mencapai kebebasan peribadi dalam kewangan dan berimpian tinggi untuk mengejar kejayaan dalam sesuatu peniagaan, maka ramai orang Cina menaruhkan minat dan berazam kuat untuk menjalankan perniagaan sendiri daripada makan gaji.
Bagi sesetengah peniaga Cina, transaksi perniagaan merupakan satu proses pertukaran menarik antara pihak yang memiliki sesuatu sumber dengan pihak yang menawarkan wang kertas. Mereka sesungguhnya lebih menikmati kepuasan mengendalikan sesuatu perniagaan daripada ganjaran akhir yang diperoleh.
Bekerja sendiri bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah pencarian sara hidup si peniaga dan keluarganya, malah melalui pembekalan barangan dan perkhidmatan kepada pengguna, dia dapat memenuhi keperluan permintaan dan penawaran dalam masyarakat.
Ramai generasi muda Cina membantu perniagaan keluarga mereka sejak di bangku sekolah. Mereka diberi pendedahan tentang selok-belok berniaga dan mengumpulkan pengalaman.
Pendek kata, mereka menerima pengaruh budaya perniagaan daripada keluarga sendiri dan mewarisi nilai-nilai kerja positif seperti kesungguhan, ketekunan, kejujuran, berjimat cermat dan beramanah dalam urusan kewangan.
Bagi mereka, kejayaan dalam perniagaan merupakan cara terbaik untuk menaikkan nama keluarga dan diri sendiri dalam dunia realiti. Oleh itu, peniaga Cina akan sedaya upaya memajukan perniagaannya. – UTUSAN
PENULIS ialah lepasan program Sarjana Pengajian Media dari Jabatan Media & Komunikasi, Universiti Malaya.










