Ada lagikah pemimpin yang sanggup berkorban demi negara?

Ada lagikah pemimpin yang sanggup berkorban demi negara?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH kewafatan Rasulullah SAW, bermulalah sistem pentadbiran khalifah di mana Saidina Abu Bakar dilantik sebagai khalifah pertama. Setelah Saidina Abu Bakar meninggal dunia, Saidina Umar Al-Khatab dilantik menjadi khalifah kedua.

Kerajaan Islam berkembang pesat di bawah pemerintahan Saidina Umar.

Selain hebat dalam bidang politik dan ketenteraan, Saidina Umar juga bijak mentadbir negara. Beliau melakukan banyak penstrukturan semula terhadap sistem pemerintahan kerajaan supaya lebih cekap. Hakikatnya, sistem yang digunakan oleh Saidina Umar masih menjadi panduan dalam pentadbiran kerajaan bukan sahaja dalam kalangan negara-negara Islam tetapi juga Barat sehingga hari ini. Saidina Umar memperkenalkan pelbagai langkah strategik untuk memperkemaskan sistem pemerintahannya sehingga beliau digelar bapa pemerintahan Islam.

Ketika pemerintahan Saidina Umar, jajahan takluk empayar Islam bertambah luas dan agama Islam berjaya disebarkan ke seluruh dunia. Hasil kebijaksanaan Saidina Umar, tentera Islam berjaya menundukkan kerajaan Rom dan Parsi. Saidina Umar tidak hanya berjaya meluaskan jajahan takluk kawasan kerajaan Islam tetapi beliau juga seorang pemerintah yang hebat, bijak, berdedikasi, jujur dan amanah. Kepentingan rakyat sentiasa didahulukan dan diberi perhatian secara adil dan saksama. Banyak perkara baharu diperkenalkan dalam sistem pentadbirannya.

Menariknya, Saidina Umar sudah pun mengamalkan tatacara pemerintahan yang baik (good governance) di zaman pemerintahannya. Sistem pemerintahan inilah yang masih hebat dicanang dan didebatkan oleh para pemimpin dunia pada hari ini. Hasilnya, tanpa propaganda serta pelbagai tipu helah politik, Saidina Umar berjaya mentadbir kerajaan yang begitu luas dengan cemerlang.

Beliau sedar pembukaan kota-kota yang jauh dari pusat pemerintahan mereka seperti Basrah dan Kufah menjadikan pemerintahannya lebih kompleks. Semua jajahan takluk baharu diberikan perhatian dan bantuan sewajarnya. Begitu juga kawasan-kawasan pinggiran yang terpencil dan jauh dari pusat pemerintahan kekhalifahan tersebut. Semua masalah ini diberi perhatian dan diambil tindakan semasa pentadbirannya.

Saidina Umar menitikberatkan konsep keadilan di mana pembangunan di kawasan-kawasan baharu hendaklah bukan sahaja dilakukan tetapi juga dipastikan setaraf dengan pembangunan di ibu kota. Bersikap saksama kepada rakyatnya, kawasan pemerintahan dibangunkan secara sama rata tanpa mengira siapa yang tinggal di sana. Malah, bukan setakat manusia tetapi haiwan-haiwan juga dipastikan berada dalam keadaan baik.

Pemimpin yang baik mesti mampu menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin. Tugas utama pemimpin adalah untuk memimpin dan bukannya setakat berkhidmat kepada rakyat dengan memberi hak serta membantu mereka.

Pemimpin seharusnya mampu memberi tunjuk ajar dan pada masa sama, teladan baik untuk diguna pakai oleh rakyat dalam kehidupan harian mereka.

Negara memerlukan pemimpin yang bijak dan ikhlas untuk memimpin rakyat dan mentadbir negara. Mereka tidak harus mempunyai apa-apa muslihat atau agenda peribadi. Kita juga tidak mahu pemimpin yang hanya melaksanakan pembangunan fizikal yang gah dan hebat, namun gagal mendidik masyarakat serta mengambil mudah akan hal kebajikan dan kesusahan rakyat.

Pada hari ini sukar bagi kita mencari pemimpin hebat yang sanggup berkorban demi negara tercinta. Kita sering kali berhadapan dengan pemimpin yang siang malam hanya berpolitik dan tidak habis-habis berebut kuasa. Cakap politik memang hebat, namun natijahnya gagal menunaikan tugas dan melaksanakan janji kepada rakyat yang telah mengundi mereka.

Amat menyedihkan kerana daripada pemimpin perwakilan dan kesatuan pelajar universiti sehinggalah kepada wakil rakyat, itulah sikap yang sering ditonjolkan. Biarlah orang lain susah, asalkan diri mereka hidup senang dan berkuasa. Akhirnya, pengundi merana dipinggirkan sehingga menunggu tibanya musim pilihan raya akan datang.

Malah, ada juga pemimpin keluarga yang hanya sibuk dengan urusan peribadi dan tergamak menutup mata serta mengabaikan tanggungjawab ke atas mereka yang berada di bawah tanggungannya. Malah ia menjadi perkara biasa dalam masyarakat pada hari ini walaupun hal sebegini jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Sebagai contoh, dalam kedua-dua sistem keluarga Islam dan sistem pemerintahan Islam, anak-anak yatim sepatutnya terjaga dan dimuliakan.

Namun, lihatlah realitinya dalam masyarakat kita pada hari ini. Ramai yang berkira untuk menunaikan tanggungjawab ke atas perkara wajib tetapi bermurah hati pula ke atas perkara yang hukumnya sunat. Anak di riba diletakkan, kera di hutan disusui; lautan yang dalam sudah diselam rata, buyung di dapur tak tahu apa isinya. Itulah keadaan yang sering terjadi di hadapan kita. Apabila dewasa, ada anak yang lupa diri. Ibu bapa dibiarkan dan tidak dihiraukan, malah dianggap membebankan.

Ada juga dalam kalangan kita yang lebih gemar memperjuangkan nasib orang yang tidak dikenali kerana mahu dilihat aktif melakukan kerja-kerja kebajikan. Namun, perkara yang perlu didahulukan, diketepikan sahaja dengan pelbagai alasan.

Ada juga pertubuhan-pertubuhan yang membantu demi meraih publisiti. Maka, mereka berlumba-lumba untuk berada di kawasan bencana tetapi menutup mata akan orang susah di depan mata. Bukan salah membantu, tetapi seperti pesan arwah datuk, jika ada yang jauh memerlukan bantuan, lihat dahulu di sekeliling kita. Jika ada yang memerlukan bantuan, dahulukan mereka.

Isu yang besar akan mendapat perhatian dan bantuan daripada pelbagai pihak, walhal masalah setempat hanya diketahui orang sekeliling. Mereka yang susah tetap susah walau di mana sahaja mereka berada. Kepada pemimpin kita, dahulukan rakyat dan teladanilah Saidina Umar r.a. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×