2023 tahun kebanggaan Azerbaijan

2023 tahun kebanggaan Azerbaijan

FALSAFAH Azerbaijanisme menjadikan Azerbaijan hari ini sebagai sebuah negara yang moden, membangun dan makmur. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 29 September 2022, Presiden Republik Azerbaijan, Ilham Aliyev menandatangani Perintah (order) pengisytiharan 2023 sebagai Tahun Heydar Aliyev. Tanggal 10 Mei 2023 nanti, Azerbaijan akan meraikan ulang tahun ke-100 kelahiran Heydar Aliyev, seorang pemimpin kebangsaan rakyat Azerbaijan, pengasas negara merdeka Azerbaijan dan seorang ahli politik serta negarawan terulung.

Perintah itu menekankan bahawa Heydar Aliyev adalah personaliti yang berjaya membawa rakyatnya keluar dari ujian sejarah dan politik yang rumit pada masa itu. Perjuangan Heydar Aliyev itu telah membebaskan Azerbaijan daripada segala macam kemelut dan menjadi sebuah negara yang hebat.

Kini rakyat Azerbaijan menikmati segala kejayaan dan kelebihan hasil daripada usaha dan pengorbanan Heydar Aliyev. Jika membaca sejarah Azerbaijan dengan teliti, kita dapat memahami bahawa Heydar Aliyev telah menggerakkan Azerbaijan ke arah kemerdekaan selangkah demi selangkah sejak 1970, ketika beliau dipilih sebagai Ketua Negara Azerbaijan.

Oleh kerana bahasa adalah identiti setiap negara, Heydar Aliyev dengan bijaknya menjadikan bahasa Azerbaijan sebagai penekanan dalam merangka perlembagaan negara 1978 (di bawah era Republik Soviet) dan beliau melatih belia-belia Azerbaijan untuk bekerja dalam setiap bidang dari pembinaan kilang dan perindustrian serta memastikan mereka mendapat pendidikan terbaik dalam sains kemanusiaan.

Saya percaya, Heydar Aliyev adalah seorang yang cergas dan berwawasan. Beliau sangat jelas dengan segala hala tuju dan setiap gerak langkah dalam membawa negaranya ke arah kemerdekaan.

Di bawah pemerintahannya pada sekitar 1970-an, industri nasional Azerbaijan dan pengeluaran perindustrian meningkat lebih daripada dua kali ganda, produktiviti buruh juga meningkat dua kali ganda, pengeluaran pertanian meningkat sebanyak 270 peratus dan penggunaan barangan negara meningkat tiga kali ganda!

MERDEKA

Menariknya tentang negara seperti ini, dari segi sejarah, Azerbaijan mempunyai latar belakang Republik Soviet yang identitinya cukup berbeza. Oleh sebab itulah, amat penting bagi saya untuk memaklumkan kepada para pembaca bahawa Heydar Aliyev merupakan seorang pemimpin berwawasan dan mampu menyusun atur dan memartabatkan negara mereka walaupun berada di bawah peraturan dan kuasa asing.

Seperti Tunku Abdul Rahman, Bapa Kemerdekaan kita yang melaungkan ‘merdeka’ pada tanggal 31 Ogos 1957 dalam mengisytiharkan kemerdekaan Malaysia, maka begitu jugalah dengan Heydar Aliyev, pada 17 November 1990. Walaupun di bawah pemerintahan Republik Soviet, beliau menaikkan bendera kebangsaan Azerbaijan untuk menyatakan semangat negara bagi kebebasan dan kemerdekaan.

Hari ini, apa yang menjadikan Azerbaijan sebagai sebuah negara yang moden, membangun dan makmur adalah disebabkan hasil visi falsafah Heydar Aliyev tentang Azerbaijanisme. Falsafah itu adalah triangulasi sejarah, budaya dan identiti nasional dan yang menyediakan prinsip kemerdekaan negara, kedaulatan dan integriti wilayah.

PETA JALAN

Secara keseluruhannya, falsafah Azerbaijanisme oleh Heydar Aliyev diwujudkan daripada kesetiaan kepada perpaduan nasional, pembangunan ekonomi dan Azerbaijan yang merdeka serta kuat. Legasinya terus membentuk politik dan masyarakat Azerbaijan sehingga ke hari ini.

Heydar Aliyev percaya, falsafah Azerbaijanisme adalah kunci untuk menyelesaikan cabaran. Azerbaijan sedang menghadapi beberapa isu dalaman dan luaran, ia sebenarnya boleh dijadikan sebagai satu kajian kes yang menarik untuk negara lain dalam menghuraikan bagaimana sebuah falsafah dapat menyediakan sebuah peta jalan untuk pergerakan masa depan.

Mampu bertindak dan mempunyai kuasa yang cukup untuk membina sebuah negara makmur yang kuat, falsafah ini menyediakan penyelesaian yang nyata secara dalaman dan luaran. Secara dalaman, Heydar Aliyev melihat Azerbaijanisme sebagai satu cara untuk menggalakkan keharmonian sosial dan kestabilan politik dalam negara.

Beliau percaya, dengan menekankan kepentingan identiti dan budaya kebangsaan Azerbaijan, beliau boleh mengatasi perpecahan etnik dan politik serta mewujudkan rasa tujuan jelas dan kebanggaan bersama dalam kalangan rakyat Azerbaijan.

Dalam meraikan tahun yang mulia ini, Kedutaan Republik Azerbaijan di Kuala Lumpur melancarkan satu siri acara yang didedikasikan kenangan kepada pemimpin negara, Heydar Aliyev. Sehubungan itu, pameran, aktiviti amal, perhimpunan akademik dan persembahan muzik dijangka diadakan di Kuala Lumpur dan di Perak.

Para pembaca boleh mendapatkan maklumat terperinci menerusi saluran media sosial Facebook Kedutaan Azerbaijan. – UTUSAN

PENULIS ialah Pegawai Khas Ahli Parlimen Machang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN