MINGGU lepas antara isu yang menjadi perdebatan adalah mengenai penempatan para pelajar institusi pengajian tinggi untuk melakukan latihan amali atau praktikal dengan pihak industri, Utusan Malaysia sendiri melaporkan ramai daripada para pelajar ini sukar mencari tempat untuk latihan. Ada yang dapat tetapi tugas yang diberikan tidak sama dengan pembelajaran mereka.
Dari sini timbul macam-macam perdebatan termasuk tuding menuding antara pihak universiti dan industri.
Timbalan Pendaftar Kanan, Universiti Sains Malaysia, Mohamad Abdullah berkata, kerjasama antara universiti dan pihak industri sememangnya telah banyak dilaksanakan di kebanyakan universiti awam di negara ini.
Katanya, keseriusan itu dapat dilihat dengan adanya jawatan Timbalan Naib Canselor (Jaringan-Industri dan Masyarakat) di beberapa universiti dan menubuhkan jabatan yang menguruskan usaha ini di kebanyakan universiti lain.
Universiti-universiti sejak lebih 10 tahun kebelakangan ini kata beliau berusaha keras membawa penglibatan industri dengan lebih luas, bukan hanya untuk berkongsi kepakaran bagi pembangunan industri tetapi juga dalam membantu menyediakan pelajar menghadapi dunia sebenar kerjaya masa hadapan.
Mohamad memberi contoh, Universiti Sains Malaysia (USM) telah melaksanakan keperluan pelajar menghabiskan satu tahun pengajian di dalam industri (3U1i). Malah kini dalam usaha memastikan semua pelajar menjalani latihan internship (latihan amali) di sektor swasta terutama industri.
Prof. Madya Dr. Muhd. Khaizer Omar dari Universiti Putra Malaysia (UPM), dalam suratnya yang disiarkan di akhbar ini pula meminta pihak industri supaya tidak kedekut ilmu.
Katanya, hubungan dua hala antara pihak penyedia pendidikan dengan pihak industri menjadi strategi terpenting bagi merealisasikan keberkesanan pendidikan TVET.
Untuk itu beliau berharap pihak industri dapat berkongsi teknologi-teknologi yang diguna pakai dengan institusi pendidikan agar kemahiran diperlukan oleh pihak industri dapat dilatih melalui program-program akademik.
Namun apa yang kita bicarakan di sini bukan soal produk hasil R&D. Tetapi produk untuk mengisi keperluan sumber manusia di pelbagai sektor industri di negara ini.
Pihak universiti perlu sedar bahawa apa pun berlaku, setiap tahun mereka menerima dana daripada kerajaan sebagai modal operasi (Opec). Tiap-tiap bulan mereka tidak perlu mengira untung rugi (P&L). Sedangkan di pihak industri P&L adalah nyawa mereka. Dalam apa juga tindakan, elemen untung dan rugi adalah pertimbangan utama.
Dalam memastikan para pelajar yang mengikuti pengajian di IPT di seluruh negara ada tempat untuk menjalani latihan, pihak industri sentiasa bersedia berganding bahu menyediakan ruang untuk para pelajar terbabit mengadakan latihan amali. Syaratnya ia mesti memenuhi kriteria pihak industri.
Sebab itu pihak universiti kena faham apabila pelajar mereka melakukan latihan praktikal, ia bukan sekadar untuk melengkapkan pengajian bagi mendapatkan sijil, tetapi itu adalah persediaan untuk memasuki alam pekerjaan. Jadi, pihak universiti terutama pusat-pusat pengajian terbabit mesti menyediakan pelajar mereka dengan segala elemen yang diperlukan industri. Ia bukan benda main-main.
Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd. iaitu syarikat pelopor dalam industri solar di negara ini, Datuk Ir. Guntor Tobeng berkata, industri tidak ada masalah untuk menerima pelajar praktikal ini. Yang jadi masalahnya adalah pembaziran masa dan tenaga disebabkan tempoh amali yang singkat. Ia bukan setakat dua atau tiga bulan. Ia mesti untuk satu jangka masa panjang supaya mereka betul-betul boleh dilatih.
Sebab itu, beliau mencadangkan supaya latihan amali diadakan di hujung pengajian para pelajar terbabit supaya jika cemerlang mereka boleh terus diserapkan sebagai kakitangan.
Kata Guntor, kalau boleh pihak industri mahu menjadikan masa latihan amali itu sebagai tempoh percubaan pekerjaan. Tetapi disebabkan tempoh yang singkat dan mereka terpaksa menyambung semula pengajian selepas tamat latihan maka perkara itu tidak dapat dilaksanakan. Ia satu kerugian kepada industri.
Selain itu, keupayaan pelajar juga mesti optimum bukan sekadar separuh masak. Mereka bukan sahaja perlu pakar dalam bidang yang dipelajari tetapi penguasaan bahasa Inggeris juga penting.
Contohnya, graduan Sebaran Am (sekarang Komunikasi dan Pengajian Media) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM). Satu ketika dahulu mereka cukup laku di pasaran kerana penguasaan bahasa Inggeris yang cemerlang. Namun sekarang, majoriti graduan bidang yang sama dari universiti berkenaan apabila ditemu duga malu (atau tidak boleh) untuk bercakap bertutur bahasa tersebut. Apa sudah jadi? Adakah kualiti pengajian semakin merudum?
Malah universiti turut memperkenalkan atau mewajibkan pelajar mengambil subjek bahasa asing selain Inggeris seperti Mandarin, Jepun, Jerman, Perancis dan sebagainya yang mana ini adalah aset tambahan untuk mereka.
Ramai pelajar terbabit lulus bahasa berkenaan. Ada yang cemerlang tetapi ketika ditemuduga mereka tidak boleh bertutur pun. Kenapa berlaku seperti ini? Sedangkan inilah elemen-elemen ekstra yang diperlukan oleh pihak industri.
Contohnya kami di Media Mulia Sdn. Bhd. sentiasa terbuka untuk menerima pelajar menjalani latihan industri. Mereka yang cemerlang akan terus ditawarkan sebagai kakitangan tetap (berdasarkan kekosongan). Tetapi kadang-kadang terpaksa menunggu berbulan-bulan selepas itu kerana pelajar terbabit terpaksa kembali ke kampus untuk menyambung pelajaran yang tinggal sedikit sahaja lagi. Ini satu kerugian kepada industri yang telah melatih pelajar terbabit menjadi produk yang ada kualiti pasaran.
Sebab itu, dalam pasaran pekerjaan yang semakin kompleks ketika ini, pihak universiti perlu faham kehendak dan tuntutan industri. Mereka mungkin tidak perlu rombak sukatan pelajaran sedia ada, cukup sekadar menyesuaikan dengan tuntutan semasa industri.
Pernahkah Timbalan Naib Canselor (Jaringan-Industri dan Masyarakat) yang dilantik di universiti-universiti ada bertemu dengan pihak industri?
Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.










