Dari Johor ke Negeri Sembilan: Jajaran baharu atau politik dua wajah? - Utusan Malaysia

Dari Johor ke Negeri Sembilan: Jajaran baharu atau politik dua wajah?

menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyantuni pengundi negeri itu sepanjang tempoh kempen sempena PRN Johor ke-16, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Keputusan PRN ke-16 Johor bukan sekadar mengesahkan kekuatan BN di negeri selatan tanah air, malah mengubah imbangan politik antara parti-parti utama menjelang PRN Negeri Sembilan.

Kemenangan BN di 48 daripada 56 kerusi memberi mesej jelas bahawa pengundi Johor memilih kesinambungan politik, kestabilan, prestasi pentadbiran dan dasar jelas dalam kepimpinan negeri.

Keputusan ini turut memberi isyarat persaingan dalam kalangan rakan komponen Kerajaan Perpaduan boleh berlaku tanpa memberi kesan terhadap kerjasama politik di Putrajaya.

Bagi BN, kemenangan besar tersebut mampu memulihkan keyakinan bahawa gabungan itu masih mempunyai jenama, jentera dan akar umbi yang kuat. Kejayaan ini juga mengukuhkan kedudukan UMNO untuk menuntut peranan lebih besar dalam menentukan strategi pilihan raya akan datang.

Namun, BN tidak boleh menganggap keputusan Johor sebagai ‘gelombang biru’ dan ‘tsunami politik Cina’ yang akan merebak secara automatik ke seluruh negara. Johor mempunyai tradisi politik, struktur organisasi dan faktor kepimpinan negeri yang tersendiri manakala di Negeri Sembilan, gelanggang pertandingan jauh berbeza termasuk di kerusi-kerusi marginal, persaingan undi Melayu serta kekuatan PH yang telah menerajui kerajaan negeri sejak 2018.

Gabungan PH pula perlu menerima keputusan Johor sebagai amaran bahawa sokongan tradisional, khususnya dalam kalangan pengundi bandar dan bukan Melayu, tidak boleh dianggap kekal dan statik. Kekalahan empat kerusi di Jementah, Tangkak, Johor Jaya dan Perling menjelaskan isu calon, jentera akar umbi, tawaran penyelesaian isu-isu tempatan dan tahap kepuasan terhadap agenda reformasi perlu dinilai semula.

Secara khususnya, PH tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebagai panglima perang atau membawa naratif nasional semata-mata tetapi perlu menggembleng segala kemampuan.untuk berdepan dengan musuh politiknya.

Sementara bagi PN khususnya Bersatu, pilihan raya di Negeri Sembilan kali ini merupakan peluang untuk menebus kekalahan memalukan di negeri kelahiran Presidennya. Kegagalan Bersatu untuk memenangi sebarang kerusi di Johor memperlihatkan parti ini terus bergelut dengan masalah identiti, kepimpinan dan daya tarikan yang bakal meruntuhkan parti tersebut.

Menjelang Negeri Sembilan, perpecahan strategi dalam PN semakin ketara sehingga Bersatu memutuskan menggunakan logo sendiri setelah diketepikan dalam rundingan pembahagian kerusi oleh PN. Malah arah tuju politik PN kini masih tidak menentu apabila Pas dikaitkan dengan usaha membina pakatan pilihan raya (electoral pact) bersama BN.

Menjelang PRN ke-16 di Negeri Sembilan, terdapat 11 kerusi DUN dimenangi dengan majoriti tipis oleh penyandang iaitu lapan oleh BN, dua PH dan satu PN akan menjadi medan pertarungan paling sengit dalam dalam kalangan parti-parti yang bertanding. Tidak dapat dinafikan pertandingan tiga, empat atau lebih penjuru akan berlaku, namun keadaan ini bukan semata-mata memberi kelebihan pada populariti parti, tetapi sebenarnya kepada keupayaan menyatukan penyokong dan mengelakkan undi protes berpecah.

Pertembungan lebih dua penjuru juga menimbulkan perdebatan terbuka iaitu mengenai kemungkinan terbentuknya jajaran baharu antara BN dan PN. Namun, adalah lebih tepat untuk menilai tindakan berkenaan sebagai persefahaman taktikal antara UMNO dengan Pas, bukannya pakatan rasmi BN dengan PN.

Semasa majlis pelancaran dan pengumuman jentera BN pada 15 Julai 2026, BN hanya mengumumkan calon bagi 25 daripada 36 kerusi dan 11 baki kerusi tidak diletakkan calon sekali gus isyarat jelas mengenai wujudnya kerjasama politik dengan gabungan lain.

Malah Timbalan Pengerusi BN juga mengumumkan perbincangan dengan ‘sahabat dipercayai’ sedang diselesaikan dan dilihat sebagai langkah taktikal yang mengelirukan kerana Presiden UMNO sebelum ini telah menegaskan belum ada perjanjian rasmi dengan Pas. Strategi ini selari dengan konsep taktikal politik yang pernah diungkapkan oleh bekas Presiden Amerika Syarikat ke-33, Harry S. Truman iaitu ‘if you can’t convince them, confuse them’

Meskipun pelbagai kedinamikan politik muncul secara tiba-tiba, hubungan BN dengan PH dalam Kerajaan Perpaduan sehingga kini masih kekal atas pendirian untuk mengekalkan kestabilan Kerajaan Persekutuan. Sebelum PRN Johor, pemimpin BN menegaskan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan akan diteruskan hingga akhir penggal dan pertandingan di negeri-negeri dilihat sebagai ruang parti menguji kekuatan serta mengekalkan identiti politik masing-masing.

Namun, kerjasama politik berkenaan tidak lagi boleh bergantung pada formula ‘bersaing di negeri, bekerjasama di pusat’ tanpa garis politik jelas. Persaingan terbuka, rundingan dengan Pas dan perebutan pengaruh menjelang pilihan raya umum berpotensi meningkatkan kecurigaan antara akar umbi BN dan PH.

Secara kesimpulannya, PRN ke-16 di Johor adalah kompas politik kepada gabungan dan parti politik bahawa kedinamikan politik bakal mengubah serta memetakan semula landskap politik Malaysia manakala PRN Negeri Sembilan pula menjadi akan menjadi ujian sebenar sama ada keputusan Johor mencetuskan perubahan nasional atau sekadar fenomena setempat semata-mata.

Dr. Mohammad Tawfik Yaakub ialah Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN