Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan mungkin tidak sebesar Johor atau Sabah daripada segi jumlah kerusi. Namun kesan politiknya berpotensi jauh lebih besar. Buat pertama kali sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan, negeri ini menjadi pentas untuk menguji sama ada satu penjajaran politik baharu mampu menggantikan konfigurasi pasca PRU15.
Jika Johor membuktikan keberkesanan kerjasama taktikal, Negeri Sembilan pula bakal menentukan sama ada formula itu mempunyai legitimasi politik untuk diteruskan ke PRU16.
Apa yang berlaku bukan lagi sekadar soal pembahagian kerusi. Ia adalah proses electoral realignment, iaitu penyusunan semula pakatan berdasarkan kebolehmenangan, bukannya kesetiaan kepada blok politik yang dibentuk selepas PRU15.
Dalam konteks ini, persefahaman antara BN dan PN di beberapa kawasan bukan sekadar strategi pilihan raya, tetapi petunjuk politik Malaysia sedang bergerak daripada politik permusuhan kepada kepentingan strategik.
Kenyataan kepemimpinan Bersatu bahawa sebuah gabungan politik baharu akan dibentuk selepas PRN Negeri Sembilan menambahkan lagi dimensi baharu. Kenyataan itu tidak seharusnya dilihat sebagai retorik biasa, sebaliknya isyarat proses penstrukturan semula pembangkang sedang berlangsung.
Bersatu menyedari landskap politik pasca PRU15 tidak lagi memberi ruang kepada formula lama. Parti itu memerlukan wadah yang lebih luas, lebih fleksibel dan mampu menarik rakan politik baharu. Sekiranya kenyataan itu diterjemahkan kepada tindakan, Malaysia mungkin menyaksikan kemunculan pakatan generasi kedua pasca-Sheraton, iaitu gabungan yang tidak lagi terikat kepada sempadan PN, BN atau PH seperti yang dikenali hari ini.
Persoalan utamanya bukan sama ada gabungan baharu itu boleh diwujudkan, tetapi sama ada ia mampu membentuk naratif bersama, bukan sekadar berkongsi musuh politik yang sama.
Dalam politik moden, pakatan yang bertahan bukan dibina atas penolakan terhadap pihak lain semata-mata, tetapi atas kejelasan visi, kesepakatan dasar dan keupayaan menawarkan hala tuju yang meyakinkan rakyat.
BN pula berada dalam kedudukan unik. Selepas kejayaan besar di Johor, parti itu semakin yakin bahawa kerjasama taktikal mampu mengelakkan perpecahan undi Melayu. Namun, kekuatan sebenar BN bukan sekadar kemampuan menyatukan undi Melayu, tetapi keupayaannya mengekalkan sokongan masyarakat bukan Melayu yang masih melihat BN sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan. Di sinilah cabaran terbesar BN.
Terlalu rapat dengan PN boleh menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong sederhana, manakala terlalu jauh pula boleh menyebabkan undi Melayu berpecah. Bagi PH, perkembangan ini mengubah keseluruhan kalkulus politik. Selama ini, banyak kemenangan diperoleh apabila lawan berpecah. Sekiranya BN dan PN berjaya menyelaraskan strategi, kelebihan itu semakin mengecil.
Ini bermakna PH tidak lagi boleh bergantung kepada kelemahan lawan, sebaliknya mesti menang berdasarkan prestasi pentadbiran, dasar ekonomi, kos sara hidup dan keyakinan terhadap kepimpinan. Dalam keadaan ekonomi yang masih menjadi kebimbangan utama rakyat, isu tadbir urus dan keberkesanan dasar dijangka lebih mempengaruhi corak pengundian berbanding retorik politik semata-mata.
Lebih penting, PRN Negeri Sembilan akan menguji sama ada pengundi menerima politik kerjasama yang bersifat pragmatik atau masih mengutamakan konsistensi prinsip. Dalam era pengundi yang semakin rasional dan bermaklumat, kerjasama semata-mata untuk memenangi pilihan raya tidak lagi mencukupi. Pengundi mahu mengetahui apakah asas kerjasama itu, apakah agenda ditawarkan dan bagaimana ia mampu menjamin kestabilan politik selepas pilihan raya?
Sekiranya persefahaman BN dan PN berkembang menjadi kerjasama lebih tersusun, manakala Bersatu berjaya merealisasikan pembentukan gabungan baharu, PRU16 berkemungkinan menjadi pilihan raya paling berbeza dalam sejarah politik moden Malaysia. Persaingan tidak lagi berkisar kepada siapa bersama siapa, tetapi siapa yang berjaya membentuk pakatan paling diyakini untuk mentadbir negara.
Hakikatnya, Negeri Sembilan bukan sekadar memilih kerajaan negeri. Negeri ini sedang menguji sama ada politik blok yang mendominasi sejak 2018 akan digantikan oleh politik penjajaran semula, di mana keserasian strategi mengatasi kesetiaan gabungan. Jika senario itu menjadi kenyataan, sejarah mungkin mencatat bahawa titik perubahan menuju PRU16 bukan bermula di Putrajaya, tetapi di Negeri Sembilan.
Dalam politik, pilihan raya sering menjadi penamat kepada satu kitaran. Namun kali ini, PRN Negeri Sembilan mungkin bukan penamat. Ia berpotensi menjadi titik mula kepada kelahiran susunan kuasa politik baharu, dengan implikasi yang akan membentuk percaturan menuju PRU16 dan mungkin juga landskap politik Malaysia untuk tempoh lebih panjang.
Lebih daripada itu, keputusan di Negeri Sembilan akan menjadi penanda aras sama ada pengundi Malaysia benar-benar bersedia menerima era politik yang lebih anjal atau masih berpegang kepada politik identiti, politik simbolisme dan gabungan tradisional.
Jika pengundi memberikan mandat kepada pendekatan lebih pragmatik, maka semua parti politik perlu menerima hakikat kejayaan pada masa hadapan tidak lagi bergantung kepada sejarah, tetapi kepada keupayaan membaca realiti semasa. Sejarah politik jarang berubah dengan dentuman kuat. Selalunya, perubahan besar bermula dengan isyarat kecil yang hanya disedari apabila masa berlalu.
Persoalannya kini, adakah Negeri Sembilan sekadar memilih wakil rakyat, atau sedang menulis bab pertama menuju landskap politik Malaysia yang baharu?
Profesor Datuk Dr. Sivamurugan Pandian Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia










