Transformasi total UMNO di Perlis

Transformasi total UMNO di Perlis

FATHUL Bari Mat Jahya (tiga dari kanan) bergambar bersama sebahagian ahli jawatankuasa baharu UMNO Bahagian Kangar yang dipilih dalam pemilihan parti itu, Sabtu lalu. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMENANGAN Datuk Fathul Bari Mat Jahya bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Kangar selepas menewaskan penyandang, Datuk Seri Azlan Man dalam pemilihan parti itu, Sabtu lalu, melengkapkan perubahan total bagi keseluruhan tiga bahagian UMNO negeri ini.

Sebelum itu, lebih awal, Datuk Rozabil Abd. Rahman berjaya mengetuai UMNO Bahagian Arau selepas menang tanpa bertanding jawatan berkenaan sekali gus menamatkan dominasi hampir 30 tahun Datuk Seri Shahidan Kassim di kawasan berkenaan. Shahidan dipecat dari UMNO tahun lalu selepas bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Selain itu, Padang Besar juga menampilkan muka baharu mengetuai UMNO bahagian tersebut selepas Ruzaini Rais berjaya menewaskan pencabarnya, Khairul Akhbar Ahmad Zabidi dalam saingan dua penjuru.

Sebelum ini, Padang Besar juga didominasi oleh seorang lagi ‘otai’ politik, Datuk Zahidi Zainul Abidin, namun dipecat oleh parti selepas bertanding atas tiket Bebas dalam PRU15.

Pemimpin-pemimpin sayap parti di tiga bahagian tersebut juga menampilkan hampir keseluruhan muka baharu kecuali Datuk Azihani Ali yang berjaya mengekalkan kemenangan jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kangar.

Bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kangar dan Puteri bahagian itu menyaksikan muka baharu mengetuai sayap berkenaan, iaitu Saiful Fariddil Jasmi serta Nor Siti Hajar Razali.

Di Arau, Pemuda UMNO diketuai oleh Abdul Azim Abdullah, Puteri pula dipimpin oleh Aida Syafinaz Isa manakala Rozieana Ahmad mengetuai Pergerakan Wanita UMNO bahagian manakala di Padang Besar juga menyaksikan kemenangan muka-muka baharu.

Melalui kepemimpinan baharu di Kangar, Fathul Bari bergandingan dengan Hamunir Hamzah yang menang jawatan Timbalan Ketua UMNO bahagian dan Kamarudin Malek yang mengisi jawatan Naib Ketua UMNO bahagian.

Di Arau, Rozabil akan bergandingan dengan Asri Mat Isa yang menang jawatan Timbalan Ketua UMNO bahagian dan Yusof Othman pula mengisi jawatan Naib Ketua UMNO bahagian.

Ruzaini pula bakal dibantu oleh Azizan Sulaiman yang berjaya mengekalkan jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar dan Siti Berenee Yahaya yang menang jawatan Naib Ketua UMNO bahagian dalam pemilihan itu.

TEROWONG

Di Perlis, UMNO mempunyai tanggungjawab yang cukup besar untuk kembali bangkit selepas tewas semua 18 kerusi dalam PRU15 sekali gus hilang penguasaan kerajaan negeri buat pertama kali dalam sejarah.

Antara perkara segera yang perlu dilakukan dengan cara apa sekalipun oleh barisan kepemimpinan parti di kesemua tiga bahagian itu adalah kembali meraih sokongan rakyat termasuk dalam kalangan anak muda.

Dengan barisan kepemimpinan baharu yang lebih segar di peringkat bahagian, UMNO dilihat masih mempunyai peluang untuk bangkit dan kembali menarik sokongan rakyat sekali gus merampas kembali negeri ini dalam PRU16.

Dalam pada itu, Fathul Bari berkata, kemenangan beliau di Kangar bukannya merupakan satu kegembiraan hakiki memandangkan terdapat tanggungjawab besar perlu digalas bagi mengembalikan semula kekuatan UMNO bahagian itu selepas ini.

“Saya akan laksanakan tanggungjawab ini secara serius dengan memfokuskan bagi memperkasakan dan merevolusikan kembali UMNO buat rakyat Kangar serta negeri Perlis,” katanya.

Bagi Rozabil pula, beliau percaya barisan kepemimpinan baharu di Arau bakal membawa perubahan besar bukan sahaja di bahagian malah di peringkat negeri untuk parti kembali bangkit selepas ini.

Katanya, beliau percaya kebangkitan UMNO Perlis akan bermula selepas kalah semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen dalam PRU15.

“Sepatutnya lepas kita kalah (PRU15), orang akan lari, namun kita dapat lihat ramai juga muka lama membuat kemunculan semula untuk bersama membantu UMNO. Kebangkitan UMNO akan bermula kembali dan kita sebenarnya masih ada sinar di hujung terowong,” katanya.

Abdul Azim yang mengetuai Pemuda UMNO Bahagian Arau pula memberi jaminan akan berusaha membantu parti bangkit semula khususnya dalam mengembalikan sokongan anak muda.

Justeru, katanya, pelbagai perancangan sedang dan telah diatur dalam menarik sokongan anak muda khususnya sebagai persediaan mendepani PRU16 dalam keadaan lebih mantap. – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×