DUNIA teknologi kini berkembang dengan begitu pesat dan pantas. Pihak-pihak yang terlibat berlumba-lumba untuk berada di hadapan dalam persaingan sengit ini. Hasilnya, pelbagai teknologi canggih berjaya direka cipta. Antara kejayaan penting ialah perkembangan terkini dalam bidang kecerdasan buatan (AI). Malah, hasil daripada kemajuan teknologi ini dijangka mengubah pelbagai aspek kehidupan seharian kita pada masa hadapan.
Ingin mengarang e-mel atau menulis kod komputer? Nyatakan sahaja hajat anda kepada komputer menggunakan bahasa lazim dan segala-galanya akan muncul pada skrin. Walaupun hasilnya bukanlah sempurna, namun dalam kebanyakan keadaan, kita hanya perlu melakukan pembetulan minimum. Malah, itu hanya sebahagian kecil daripada keupayaan AI pada ketika ini.
Kini, mesin seolah-olah lebih mahir dan berkeupayaan daripada manusia dalam menjalankan pelbagai pekerjaan, walhal atur caranya disusun oleh manusia. Hal ini membangkitkan banyak persoalan berkenaan terang gelapnya dunia kerjaya kita pada masa hadapan.
Masalahnya, apabila semakin banyak pekerjaan dapat diswagerakkan oleh mesin dan komputer secara lebih efisien dan murah, maka peluang pekerjaan dalam bidang tersebut akan berkurangan. Akibatnya, ramai pekerja kehilangan pekerjaan dan pada masa sama peluang mendapatkan pekerjaan semakin berkurangan.
Hal ini jika benar-benar berlaku bakal menimbulkan banyak masalah sosioekonomi yang akan memudaratkan bukan sahaja mereka yang terlibat tetapi juga kaum keluarga dan masyarakat sekeliling. Maka pihak berkuasa seharusnya mengambil kira hal ini dan membuat perancangan untuk mengatasinya sebelum ia terjadi. Kita harus sediakan payung sebelum hujan agar tidak basah ditimpa hujan.
Memerhati kisah perkembangan teknologi AI sepanjang dekad ini, ternyata terdapat satu lonjakan kemajuan dalam jangka masa beberapa tahun kebelakangan ini. Jika digambarkan dengan menggunakan lengkung perkembangan sigmoid, perkembangan teknologi AI pada ketika ini berada pada tahap lonjakan besar. Namun, kita masih belum tahu sama ada kita kini berada di awal atau akhir tahap tersebut. Dengan kata lain, kita sekadar mampu membuat jangkaan tentang tahap perkembangan bidang teknologi AI dalam jangka masa 10 tahun akan datang.
AUTOMATIK
Apabila teknologi berkembang dengan begitu pesat, banyak bidang kemahiran akan dikira lapuk dan tidak lagi relevan dalam jangka masa singkat. Dengan perkembangan teknologi AI yang begitu dinamik, kemahiran yang diperlukan bagi kerjaya dalam bidang komputer dan teknologi maklumat turut berubah. Contohnya, pada masa hadapan, kemahiran mengekod atur cara semata-mata mungkin tidak lagi relevan walaupun ketika ini diperlukan. Mungkin apa yang diperlukan ketika itu ialah kemahiran melatih AI. Akhirnya, mereka yang bertahun-tahun hanya mempelajari cara menulis kod mungkin tidak lagi diperlukan oleh industri kerana kerja tersebut boleh dilakukan secara automatik oleh komputer.
Hal ini akan berulang-ulang kerana manusia sentiasa berusaha untuk mencipta teknologi baharu demi kemudahan diri dan awam. Kita mungkin akan mencapai satu tahap di mana kemahiran mengekod AI tidak lagi relevan kerana sudah ada teknologi baharu lebih canggih dan efisien. Persoalannya, adakah kita setakat mahu mempelajari teknologi dicipta orang lain atau kita sendiri bangkit berusaha mereka cipta sesuatu yang baharu?
Mempelopori ilmu baharu bukanlah perkara mudah, namun ia juga tidaklah mustahil untuk dicapai. Namun, kita perlu mengubah sikap kita dan tidak boleh setakat mudah berpuas hati dengan keupayaan menguasai ilmu sedia ada semata-mata. Jika kita tidak mampu berubah, akhirnya masyarakat akan sekadar menjadi tenaga kerja kepada penginovasi luar. Kita akan setakat menjadi pekerja kepada pereka cipta alat. Peranan negara akan terhad kepada menyediakan pekerja mahir untuk keperluan industri, manakala orang lain yang membuat inovasi dan mendapat nama sebagai pelopor teknologi baharu.
Tenaga kerja yang dilatih semata-mata untuk memenuhi tuntutan industri tidak membawa kita kepada inovasi ilmu baharu. Malah, seawal di sekolah lagi, ramai dalam kalangan kita dihalang daripada membuat sesuatu dengan cara berlainan walaupun ia jelas lebih efisien, hanya kerana itu bukanlah cara lazim dilakukan. Untuk menjadi penginovasi, kita perlukan masyarakat yang melihat masa depan bukan berdasarkan apa yang mereka lihat pada hari ini. Sebaliknya, kita perlu bersikap imaginatif dan berfikir di luar kotak serta berani mencuba sesuatu yang baharu selagi beretika.
Malang sekali, kadangkala kita terlalu sibuk dengan hal-hal lain dan mudah berpuas hati dengan apa yang telah kita capai pada saat ini. Setelah tamat belajar, kita mahu menikmati kehidupan dan tidak berasa perlunya berusaha meningkatkan kemahiran diri. Akibatnya, kita akan ketinggalan dan tidak dapat bersaing dengan orang lain, lebih-lebih lagi apabila teknologi telah berubah. Kelak mereka yang berada di bidang ini turut terpaksa bersaing dengan komputer untuk mendapatkan pekerjaan.
Silibus mata pelajaran teknologi maklumat juga harus sentiasa disesuaikan mengikut peredaran zaman selaras kemajuan teknologi semasa, bukan jauh ketinggalan. Amat menyedihkan apabila di dalam kelas, kita terpaksa belajar teknologi-teknologi lama yang tidak lagi diguna pakai.
Perancangan teliti harus dibuat dari sekarang agar nasib mereka yang terlibat akan terbela dan tidak teraniaya. Jangan sampai sudah terhantuk baru tengadah. Sudah tiba masanya kita mengubah sikap dan berusaha untuk melihat lebih jauh ke hadapan. Para pelajar harus dilatih dan diberi insentif untuk mereka cipta teknologi baharu yang bersesuaian dengan nilai kita. Kita harus berada di hadapan dan tidak selama-lamanya bergantung kepada teknologi luar. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










