Iklan wanita separuh bogel bukan lucah?

Iklan wanita separuh bogel bukan lucah?

ADA premis perniagaan di pusat beli-belah meletakkan gambar model wanita berpakaian dalam tanpa rasa segan meskipun terdapat pengunjung membawa anak-anak kecil. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“KERAJAAN perpaduan juga sentiasa prihatin akan keselamatan masyarakat kita terutama wanita dan kanak-kanak tetapi yang melibatkan wanita dan kanak-kanak masih dilihat membimbangkan. Bahagian D11, Polis Diraja Malaysia akan bertindak lebih agresif bagi menyiasat kes seksual wanita dan kanak-kanak. Antaranya, pasukan khas di bawah D11 akan ditubuhkan khusus untuk membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak dan bekerjasama dengan pelbagai agensi. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mewujudkan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.” – Pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari 2023.

Sorakan daripada ahli Dewan Rakyat yang menyambut baik perancangan ini jelas membuktikan komitmen negara dalam membentuk masyarakat yang lebih prihatin akan hal ehwal kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan golongan rentan khususnya wanita dan kanak-kanak. Tanpa perlindungan jitu bagi memelihara hak kanak-kanak, terlalu ramai yang sudah terdedah kepada eksploitasi seksual termasuk untuk tujuan komersial.

Penyakit jiwa sebegini harus segera dibanteras dan dibasmi. Keadaan negara sudah terlalu tenat. Remuk jiwa saya apabila membaca laporan berita mengenai rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunjukkan analisa jumlah aduan bagi tempoh tiga tahun bermula 2018 hingga 2022 merumuskan purata enam orang kanak-kanak dijadikan mangsa seksual setiap hari di dalam negara yang bermaruah ini.

Angka yang menjelikkan dalam pada masyarakat terus membincangkan kesan jangka panjang ke atas kanak-kanak yang dimangsakan. Trauma ke atas mereka bukan hanya dari segi fizikal tetapi lebih teruk lagi, mental dan psikologi. Jika luka di badan boleh diubati, bagaimana kita pasti luka di minda dapat dirawat nanti?

Betullah yang dipesan reformis sosial dari Amerika Syarikat, Frederick Douglass yang menyatakan, “Lebih mudah membina kanak-kanak yang kuat daripada membaiki orang dewasa yang rosak.”

Sebagai aktivis hak kanak-kanak, saya sering menekankan kecelakaan besar yang melanda negara apabila keadaan hiperseksualiti dibiarkan berleluasa tanpa sekatan. Sehinggakan begitu ramai sekali kanak-kanak yang didedahkan kepada bahan lucah tanpa kawalan. Itu belum lagi mengambil kira tindakan syaitan bertopeng manusia yang sanggup memaksa kanak-kanak melakukan perbuatan lucah dan kelakuan mereka direkodkan untuk eksploitasi seksual.

Hasil eksploitasi ini kemudian diedarkan dalam laman web tertutup (dark web) untuk meraih keuntungan yang besar kepada syaitan-syaitan ini.

Minggu lalu juga dilaporkan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan merogol adik kandungnya sendiri sehingga melahirkan anak hasil perbuatan ini.

Ada sesuatu yang jelas rosak dalam sistem yang bobrok ini apabila mangsa kanak-kanak diperlakukan hina oleh pesalah yang juga seorang kanak-kanak. Malah, lebih menyakitkan lagi apabila pemangsaan dilakukan ahli keluarga sendiri. Terasa benak saya berat dengan tanggungan memikirkan apa akan jadi kepada masyarakat apabila kanak-kanak yang kita harapkan membesar untuk menjadi pemimpin negara bangsa, terkandas bahana kecundang kepada nafsu mereka sendiri.

Minggu lepas, dalam sesi pendrafan laporan Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) untuk proses semakan berkala sejagat (UPR) yang akan diangkat ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jun ini, kami membincangkan syor perlu dipanjangkan kepada kerajaan bagi menangani isu hiperseksualiti dalam masyarakat yang semakin meruncing.

Sudah tentu membanteras tegas pengedaran dan pemilikan sebarang bahan lucah adalah antara perkara pertama yang difikirkan. Kebetulan di sebelah petang, Belanjawan 2023 menyebut khusus tentang terma rujukan baharu bagi Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11). Langkah ini sudah sering diulang-ulang oleh aktivis hak kanak-kanak hingga berbuih bibir kami. Namun, kami masih mengulang saranan sama kerana bimbang akan jurang dalam kerangka sedia ada yang masih tiada penyelesaian.

Perlu kita ingat suatu realiti sosial yang didiamkan – sejujurnya, tiada rangka pemantauan jelas terhadap bahan lucah di Malaysia. Kementerian Dalam Negeri mengatakan, agensi di bawahnya mempunyai bidang kuasa tegas untuk mengharamkan bahan lucah. Sedangkan Kementerian Komunikasi dan Digital pula tegas mengatakan bahan dalam talian disekat mengikut kuasa agensi-agensi di bawah kementerian ini bagi memantau isi kandungan dalam talian.

Namun, realitinya bahan lucah bukan hanya berlambak di laman pornografi atau dalam buku erotika tetapi juga diselit masuk ke dalam filem untuk tayangan di platform penstriman atau over-the-top (OTT).

Bahkan bahan lucah juga ditayangkan bebas di laman media sosial yang dapat diakses oleh semua pengguna termasuk kanak-kanak.

Lebih merisaukan, gambar model perempuan separuh bogel bebas diletakkan di hadapan mana-mana kedai pakaian dalaman wanita tanpa sebarang rasa segan, biarpun pengunjung pusat beli-belah mungkin dalam kalangan keluarga yang membawa anak kecil keluar berjalan. Bila ditegur, ramai pula yang merenta-renta mengatakan ini hak mereka untuk bebas mengekspresi keperibadian masing-masing.

Maruah wanita hanya dilihat terpelihara jika yang ingin bertelanjang bulat bebas melakukan semahu mereka. Maka kanak-kanak yang masih kecil, minda masih lurus bendul disogokkan dengan imej lucah tanpa merasakan risiko yang akan mendatang ke atas psikologi dan rohani mereka.

Saya menyambut baik inisiatif kerajaan untuk mencipta rangka yang lebih kukuh untuk kebajikan wanita dan kanak-kanak. Tapi saya ingin bertanya, siapa akan membanteras hiperseksualiti yang sudah begitu sebati dengan realiti sosial sehinggakan gambar separuh bogel wanita dilihat sebagai iklan biasa? – UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang; Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ); dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×