MUKADIMAH
CALON yang akan dipilih bagi mengemudi Pemuda UMNO bakal diketahui pada Sabtu ini. Persaingan merebut jawatan salah satu sayap parti itu tidak kurang pentingnya dan menjadi tumpuan selain jawatan naib presiden.
Manakan tidak, tanggungjawab sangat berat harus dipikul Ketua Pemuda baharu bagi menarik sokongan pengundi muda memandang majoriti dari 4.5 juta golongan itu menolak calon Barisan Nasional (BN) – UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Salah seorang calon yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, DATUK MOHD. SHAHAR ABDULLAH yang ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini menegaskan, siapa sahaja yang dipilih perlu segera bekerja kuat bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka diadakan tiga bulan dari sekarang.
Saya nampak keempat-empat calon ada kekuatan masing-masing dan perwakilan pasti akan buat pertimbangan terbaik. Masing-masing telah tunjukkan kekuatan walaupun ada kelemahan, tapi ia perkara kecil.
Apa yang paling penting, kita mesti lihat pemilihan Pergerakan Pemuda UMNO ini sebagai refleksi kepada keyakinan rakyat yang akan diterjemah dalam PRU akan datang.
Ini kerana UMNO sudah melepasi dua PRU dan titik hitam ini mesti diputihkan balik, titik sedih mesti kembalikan balik kegembiraannya. Itu sebab keempat-empat calon telah menyatakan visi dan misi agar antara kami dipilih bagi mengetuai sebuah kenderaan yang diyakini anak muda membawa ke satu masa depan lebih baik.
BERSEDIA KRITIK KEPIMPINAN
Pada saya tegur menegur ini adalah satu proses semak dan imbang. Saya di Dewan Rakyat pun tegur kerajaan sedia ada. Tapi bagaimana kaedah dan platform kita nak tegur? Kerana apa? Kerana kita perlu faham sebab di negara kita rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan lapisan ini pelbagai.
Malah, latar pemikiran mereka juga pelbagai. Ada yang emosi dan ada yang rasional. Akan tetapi, saya suka bermusyawarah apabila kita nak menegur dan menjadi sebagai penimbang tara
Perlu diingat, apa jua dasar yang kita buat mesti ada keupayaan menyatakan hasrat akar umbi dan perbincangan perlu berdasarkan faktor serta penyelesaian kepada isunya.
Tidak guna kita beremosi tapi akhirnya tiada apa hasil pun. Gunakan rasional dan pemikiran serta keputusan kesatuan dalam musyawarah untuk membentuk penyelesaian dalam apa jua isu.
Insya-Allah kepimpinan di atas itu bukanlah kepimpinan yang tidak pernah melalui zaman Pemuda UMNO. Mereka tahu kita ini agak kritikal, tapi di hati benak (Pemuda), mereka mahukan perubahan.
Sudah tiba masanya kita pulangkan balik kerusi Ketua Pemuda UMNO di Parlimen sebab selepas 2017 tiada jawatan itu (dalam Parlimen). Kita hanya gunakan medium lain seperti media sosial untuk menegur kerajaan dan membawa suara akar umbi.
SEBAGAI KUMPULAN PENDESAK
Kita perlu lihat adakah Pemuda hari ini perlu berwajah dahulu? Adakah dulu Pemuda UMNO pendesak dan kini masih nak jadi pendesak lagi?
Kita perlu lihat bagaimana rakyat berfikir hari ini. Kalau kita lihat rakyat hari ini, orang muda tidak lagi berada di jalanan. Rakyat menyatakan pendapat dan mengutarakan isu di media sosial. Sebab itu kita perlu santuni keadaan semasa. Kita tidak boleh bawa wajah dahulu ke zaman sekarang.
Kalau dahulu peluang mereka yang berpendidikan tinggi kurang tapi sekarang bilangan mereka yang masuk institusi pengajian tinggi sudah ramai.
Pemikiran sudah berubah dan majoriti suka perbincangan. Jangan ingat anak muda golongan pertengahan (M40) sahaja berfikiran sedemikian. Mereka yang berpendapatan rendah (B40) juga mengharapkan agar hasrat mereka dapat ditunaikan kerajaan. Kalau tidak dapat tunaikan, kita perlu perjelaskan. Jangan ikut yang dahulu, yang berdemonstrasi jalanan sehingga kita dihina.
KETANDUSAN TOKOH
Kita berjaya mengetengahkan calon pemuda dalam PRU sebelum ini. Tapi mereka tak banyak hanya tiga sahaja menang iaitu di Parlimen Tenggara, Kalabakan dan Paya Besar. Justeru, ini sesuatu perkara yang kita perlu teliti. Banyak parti ketengahkan calon muda tidak berjaya tapi mengapa tiga orang ini berjaya?
Sebabnya, kredibiliti dan kewibawaan serta pengalaman itu mematangkan proses. Apabila kita menjadi pemimpin, kita memimpin secara keseluruhan dan meliputi semua spektrum. Hakikatnya, pembinaan bakat perlu dibuat secara organik. Kita tidak boleh tentukan hala tuju kepimpinan Pemuda UMNO.
Biarkan Pemuda UMNO buat pemilihan dan berbincang sesama mereka.Jangan kita panggil mereka dan membentuk acuan. Ini penting supaya akar umbi boleh terima. Kadang-kadang kita nak pilih mereka yang ada ijazah, padahal mereka yang tiada ijazah pun diterima di peringkat akar umbi.
PEMUDA UMNO YES MAN?
Saya melihat kepemimpinan dibawah Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini tiada yang yes man pun, malahan ada juga yang kita kritik. Yang paling penting Pemuda UMNO perlu bawa perjuangan yang berasaskan suara di peringkat akar umbi.
Namun, bagaimana kita mahu bawa proses tersebut? Adakah kita hanya berbincang di peringkat bawahan yang akhirnya tiada kata putus? Kita perlu meletakkan perjuangan ini sebagai sesuatu yang berhasil dan hasil itu perlu ditunjukkan.
Persoalannya bagaimana kita mahu sampaikan suara Pemuda dan siapa yang tentukan ia berlaku atau tidak? Sebab itu, saya punya harapan agar diberi mandat dan dapat bawa ke Dewan Rakyat.
TIADA TEKNOKRAT DAN PAKAR
Bagi saya itu satu pandangan salah. Mereka berada dalam parti dan ada yang berada di tepi atau mengambil pendekatan friendly parti. Tapi kita perlu perkukuhkan menerusi penglibatan mereka. Bila mereka diberi peranan dalam libat urus, mereka rasa dihargai.
Tapi kalau tidak minta kepakaran atau melibatkan mereka, akan timbul rasa sangsi sama ada diperlukan atau tidak. Sebab itu kita perlu ada pemimpin yang ada pengalaman tidak kira sama ada dalam atau luar negara.
Saya ada sedikit kelebihan sebab saya anggota pentadbiran di Kementerian Kewangan, saya tahu apa yang berlaku dalam belanjawan tahunan. Kita terlibat di peringkat sekolah sampailah ke peringkat profesional.
Sebenarnya, orang muda nak bersama kita tapi kita perlu ungguli bakat mereka. Kalau kita ungguli dan hargai bakat ini akhirnya mereka ada platform.
PRN SEBAGAI KAYU UKUR
Saya ada beritahu kepada perwakilan di Selangor. Kalau Sabtu ini kita dipilih, esoknya kita dah kena memimpin (bekerja). Kita perlu lihat siapa yang berpengalaman dan siapa yang tahu spektrum dan operasi pilihan raya.
Mereka yang terdiri daripada pengurusan dan pemuda yang tahu selok- belok parti wajar diberi ruang agar masa tidak habis semata-mata mahu belajar.
Ahad ini sebaik selesai pemilihan pada 11 Mac, kita sudah mula bekerja. Kita jangka tiga bulan akan datang Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubar. Dan sudah pasti masa depan Pemuda yang dipilih Sabtu ini akan ditentukan dalam pilihan raya negeri (PRN) ini nanti. – UTUSAN










