Buktikan kita bukan gebang sahaja isu pencemaran

Buktikan kita bukan gebang sahaja isu pencemaran

KERAJAAN Jepun memutuskan untuk melepaskan 1.3 juta tan air radioaktif dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA April 2021, kerajaan Jepun memutuskan untuk melepaskan sebanyak 1.3 juta tan air radioaktif dari loji nuklear Fukushima yang musnah pada 2011 akibat tsunami dan gempa bumi Tohoku ke Lautan Pasifik (dijangka antara Mac hingga Mei ini). Laporan ini cukup menyakitkan hati saya, bahkan resah memikirkan tindakan Jepun yang bakal memusnahkan kehidupan marin dunia dengan sisa nuklear dalam masa beberapa bulan lagi.

Meskipun cadangan ini dibantah kuat oleh negara-negara di Kepulauan Pasifik yang merangkumi sebanyak 17 pulau, namun ia kelihatan masih tidak cukup. Suara bantahan ini harus lebih kuat dan perlu ditentang oleh semua negara dan pertubuhan dunia termasuk industri-industri perikanan.

Melepaskan air radioaktif ini ke dalam laut sudah pasti akan menyebabkan lautan tercemar. Apa nasib hidupan di laut nanti? Jangan sesekali kita mengatakan perkara ini tidak penting sebab ia berlaku nun jauh di Lautan Pasifik sana. Kerana ia tetap boleh tercemar ke semua lautan menerusi pergerakan air. Sebelum kesannya merebak hingga ke lautan sebelah sini, maka kita harus menggerakkan segala usaha untuk menghalang rancangan ini daripada berlaku.

Ketahuilah bahawa kita berkongsi lautan yang sama. Sedangkan sampah-sampah yang kita buang ke dalam sungai dan lautan pun boleh terkumpul di Pulau Roatan, Karibia, Honduras sehingga digelar lautan sampah plastik, apatah lagi air radioaktif yang terus bercampur dengan air laut biasa. Ini jauh lebih berbahaya kerana sampah sarap boleh dilihat dan diangkut buang. Kalau sisa nuklear yang telah bercampur air, macam mana nak tahu?

Media Korea menzahirkan kebimbangan apabila mendapati air radioaktif yang dilepaskan Jepun itu nanti akan dibawa arus hingga ke Pulau Jeju dalam masa 220 hari pertama dan ke pantai barat Korea Selatan dalam tempoh 400 hari. Kita harus memikirkan nasib penduduk di 17 negara kepulauan Pasifik yang sumber utama ekonomi mereka berpaksikan tangkapan ikan di lautan. Dalam hal ini, ada penganalisis berpendapat, negara-negara Pasifik berhak memfailkan tuntutan bayaran pampasan terhadap Jepun atas pembuangan air radioaktif itu.

ZALIM

Sejak 2021 lagi, rakyat Jepun terutamanya dalam kalangan nelayan tempatan memprotes tindakan zalim kerajaan mereka. Menurut laporan akhbar antarabangsa, The Guardian pada 2021, golongan nelayan mendakwa kerajaan Jepun berjanji untuk tidak membuang air sisa nuklear itu tanpa persetujuan nelayan, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Kementerian Luar Jepun menyatakan kononnya air radioaktif yang ingin dilepaskan itu adalah selamat memandangkan ia akan ditapis terlebih dahulu bagi menyingkirkan unsur-unsur bahaya. Namun, menurut kajian, ia masih memiliki sejumlah tritium dan isotop yang sukar untuk disingkirkan daripada air.

Banyak saintis yang tidak bersetuju dengan tindakan berbahaya Jepun ini seperti Ferenc Dalnoki Veress, pakar dalam pengukuran radioaktif kepekatan rendah dari Institut Pengajian Antarabangsa Middlebury, Monterey, California, Amerika Syarikat yang mengatakan bahawa kita tidak tahu apa sebenarnya yang ada dalam air tersebut.

Pada hakikatnya, tiada keadaan yang mendesak pun untuk Jepun membuang sisa nuklear tersebut ke dalam lautan. Ia dibuat hanya kerana Jepun ingin menjimatkan masa dan tidak lagi ingin menampung kos pengurusan pemprosesan air radioaktif tersebut.

GERAM

Bertambah geram, Jepun memutuskan perkara ini tanpa apa-apa perbincangan atau berunding dengan mana-mana negara terutama jiran-jiran mereka. Ternyata ini adalah satu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab. Sudahlah lautan tercemar dengan sampah sarap hasil daripada tangan-tangan manusia yang tidak bertanggungjawab, ditambahnya pula dengan pencemaran radioaktif.

Entah apa yang akan berlaku pada laut kita pada masa hadapan kelak.

Apabila lautan tercemar, maka makanan laut turut menerima tempiasnya. Kalau manusia makan makanan yang telah tercemar, maka ia akan menyebabkan wujudnya penyakit radiasi dan penyakit lain seperti kerosakan sistem saraf.

Inilah saatnya untuk setiap ahli Parlimen baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang untuk membawa perkara ini ke perhatian Dewan Rakyat. Tunjukkan kepada rakyat bahawa kita cakna dengan isu alam sekitar. Jangan hanya kita sibuk berpolitik, sampai terlupa dengan ancaman terhadap marin kita.

Golongan nelayan dan pejuang alam sekitar di Malaysia juga turut diseru untuk bersuara lebih keras dan tegas serta memastikan kerajaan menyatakan penentangan mereka terhadap rancangan Jepun ini secara rasmi. – UTUSAN

PENULIS ialah Pegawai Khas Ahli Parlimen Machang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×