MUKADIMAH
SEMUA mata kini tertumpu kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin melangkah kaki ke mahkamah dengan tuduhan salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.
Kes membabitkan Ahli Parlimen Pagoh ini juga menjadi tumpuan selepas beliau merupakan bekas Perdana Menteri kedua yang dihadapkan ke mahkamah selepas Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kini banyak spekulasi dan ramalan terhadap nasib Bersatu diperkatakan sama ada dalam kalangan ahli atau penganalisis politik mahupun rakyat.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, DR. MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN bagi mendapatkan pandangan beliau.
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana peranan PN dan Bersatu sebagai pembangkang kali ini. Adakah benar-benar berfungsi sebagai semak dan imbang kepada kerajaan sedia ada?
FAIZ: Saya lihat daripada segi penyusunan watak-watak ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi isu membabitkan bidang tertentu sudah cantik.
Apabila ada satu-satu isu yang mahu dibangkitkan, kita sudah nampak satu pakatan pembangkang yang dikatakan sama kuat dengan kerajaan.
Sekiranya diteruskan tanpa ada tekanan parti politik, saya yakin negara kita ada satu pihak yang mampu menjadi semak dan imbang kepada kerajaan sedia ada.
PERCUBAAN LEMAHKAN BERSATU
Bagaimana Dr. melihat situasi yang berlaku terhadap Bersatu sekarang?
Sebagaimana kita katakan, ini merupakan satu pendakwaan terpilih untuk melemahkan Bersatu. Kita boleh lihat sewaktu pembentukan awal kerajaan ini walaupun sudah bersedia untuk menjadi parti pembangkang serta sudah menerima hakikat berkenaan perkara ini (menjadi pembangkang), namun, apa yang kita lihat, Kerajaan Perpaduan ini dari mula-mula lagi berkuasa sudah beri hint (petanda) untuk ‘mengenakan’ pimpinan kerajaan di bawah PN terutama Bersatu.
Sebagai contoh, apabila mereka menyebut tentang penyelewengan RM600 bilion wang kerajaan, kemudian kata kita dapat tajaan tauke judi, di situ kita pelik mengapa apabila berkuasa terus fokus kepada perkara yang tidak dilaporkan atau siasatan.
Selepas itu pula, jumlah berubah-ubah dan tidak konsisten daripada RM600 bilion kemudian kurang lagi. Jadi, itu menimbulkan persoalan adakah kita sebenarnya sudah menjadi sasaran? Kemudian ada pula kenyataan daripada beberapa pemimpin yang mengatakan kita akan menjadi kluster mahkamah. Maka sebab itu kita katakan ada unsur seolah-olah kita perlu dipenjarakan. Petunjuk ini datang daripada pemimpin yang ada kuasa pada hari ini.
BUKAN MUDAH
LUMPUHKAN BERSATU
Adakah Bersatu bakal lumpuh dengan apa yang berlaku sekarang?
Insya-allah tidak. Sebenarnya, bukan mudah untuk melumpuhkan gerakan yang dipilih dan diterima rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu. Walaupun kita tidak menang secara total tapi penerimaan masyarakat terutama orang Melayu kepada kita tinggi. Mungkin apa yang berlaku hari ini akan terjadi sebagaimana waktu reformasi dahulu.
Kalau kita lihat sewaktu reformasi dulu, hampir semua media bersungguh-sungguh memainkan naratif di pihak kerajaan. Tapi adakah ketika itu semua orang percaya naratif tersebut? Jawapannya tidak.
Bagi saya kalau terlampau mahu membalas dendam dan cuba nak membenamkan pihak lawan dalam keadaan yang melampau, ia boleh jadi kesan sebaliknya.
Lihat apa yang berlaku pada nasib bekas Perdana Menteri sebelum ini Datuk Seri Najib Tun Razak. Apabila sudah dihadapkan ke mahkamah, Tun Dr. Mahathir Mohamad masih tidak habis-habis menyalahkan beliau sehingga rakyat naik menyampah. Orang jadi bersimpati pula.
Kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim berlebih-lebih, tidak mustahil rakyat akan hairan mengapa bersungguh-sungguh sangat (mendakwa) sehingga melihat ia sebagai sesuatu yang melampau.
RAKYAT MENILAI
Adakah Bersatu masih diterima rakyat sekiranya keputusan tidak berpihak kepada Muhyiddin lebih-lebih lagi dalam menghadapi PRN?
Kalau keputusan tidak memihak kepada beliau dan ada unsur ketidakadilan, rakyat akan terus menilai. Namun kalau keputusan sebaliknya dan memihak kepada beliau, ia mungkin dijadikan sebagai satu nilai tambah kepada Bersatu. Secara logiknya, kedua-dua ini boleh dijadikan modal politik dan kita mempunyai kelebihan.
Malah, kalau itu berlaku (dituduh) sekalipun, ia memperlihatkan apa yang dituduh kepada Muhyiddin hanyalah fitnah yang tidak berasas semata-mata untuk mencemarkan imej Bersatu.
Mereka (kerajaan) betul-betul dilihat seperti mahu ‘membunuh’ Bersatu. Bersungguh-sungguh fokus kepada individu yang ada jawatan. Kalau kita cakap sikit terus kena panggil atau mungkin disaman.
Saya ada dengar ura-ura untuk menyita akaun Bersatu dan aset lain mereka akan rampas. Ini saya dengar ketika kami mesyuarat di peringkat kepimpinan.
Bagaimana kalau disita. Adakah Bersatu lumpuh?
Akan menyulitkan kami. Akan tetapi ia tidaklah keseluruhan ‘membunuh’ Bersatu. Sebab apa? Kerana gerakan politik ini ada banyak cara untuk bergerak ke hadapan.
Cuma kalau disita, maka akan sulitkan lagi kempen nanti. Ini sangat menzalimi dan kita akan masuk gelanggang dalam keadaan cacat. Ini tidak adil kerana awak sudah lemahkan musuh dan tidak gentleman.
PARTI SEMUA KAUM
Selepas PRU15 PN dilihat lebih kemelayuan walaupun ada Gerakan. Apa reaksi Dr?
Waktu kita berkempen, kita fokus kepada semua kaum. Kita mendukung kepentingan semua pihak. Tapi PN ini dua parti Melayu yang besar iaitu Pas dan Bersatu. Apabila ada Gerakan sebagai wakil, kita telah menunjukkan kepelbagaian kaum. Jadi, orang tahu imej kita mewakili semua semua pihak.
Dalam Bersatu pun kita ada sayap bersekutu. Di samping itu, Pas pun ada orang bukan Islam yang bersama-sama dengan mereka. Tapi orang masih anggap Pas parti muslim.
Jadi kami berdepan satu cabaran bagaimana mahu sampaikan kepada rakyat bahawa kami membawa naratif untuk semua kaum dan kepentingan rakyat Malaysia. Walaupun Bersatu bertunjangkan kepada Melayu dan Islam.
Macam di Sabah dan Sarawak , mereka ada kaum Bumiputera, orang Islam dan Melayu. Kami pun ada pemimpin golongan pribumi bukan Islam. Sebagai contoh, Datuk Seri Ronald Kiandee dan Datuk Ali Biju.
Kita tidak mahu dilihat terlampau Melayu dan dalam masa sama kita mahu jadi alternatif kepada UMNO. Orang Melayu boleh letak harapan kepada Bersatu untuk membangkit semangat nasionalisme.
PENGGANTI MUHYIDDIN
Siapa pengganti Muhyiddin seandainya beliau disabitkan kesalahan dan dikenakan tindakan?
Kalau saya sebut nama, ia boleh mendatangkan respons kurang senang. Banyak orang mempunyai pendapat berbeza. Yang patut buat keputusan biarlah ahli Parlimen Bersatu. Kita pun tidak fikirkan lagi kerana kami masih mengharapkan Muhyiddin bersama kita menerajui Bersatu.
Difahamkan ada ahli Bersatu yang bertanding dalam pemilihan UMNO. Apa pandangan Dr.?
Biasanya dalam kes macam ini dan individu terbabit pula memusuhi parti kami, keahlian akan tergugur. Maknanya individu itu terus dan tidak perlu dipanggil ke Lembaga Disiplin. Malah kalau tersebar dan memang diketahui bertanding dalam parti lain pun, keahlian dia tergugur automatik, tidak perlu dipanggil untuk membela diri.
HAMZAH KURANG MENYENGAT?
Ketua pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Setiausaha Agung Bersatu dilihat kurang menyengat sekiranya dibandingkan dengan Anwar. Pandangan Dr ?
Anwar sudah lama dikenali dan mendapat liputan banyak media. Justeru orang nampak dia sebagai Ketua Pembangkang selama ini dan apa jua isu ditimbulkan akan diambil pihak media terutama media alternatif dan bukan arus perdana.
Hamzah pula lebih muda dan baharu. Tapi kalau mana-mana pihak media ikuti apa yang dihujahkan dalam Parlimen, ikuti media sosial beliau, akan ada video klip apa yang beliau lafazkan serta cara dia berhujah.
Jadi saya fikir ia membabitkan perbezaan liputan media. Kerana dia sudah lama dikenali sejak zaman reformasi manakala di pihak Bersatu dan Hamzah sendiri, beliau baru menjadi Ketua Pembangkang. Jadi liputan itu kurang sikit.
Tambahan pula, kita tiada media yang betul-betul berpihak kepada Bersatu. Kita anggap sama ada dia (media) itu neutral atau pro kepada Pakatan Harapan (PH). Kalau Bersatu kita tiada yang betul-betul berpihak kepada kita, kecuali Harakah.
Kelebihan berpihak pada kita – Rosol
MUKADIMAH
SAMA ada kedudukan Bersatu benar -benar tergugat atau sebaliknya di sebalik kes membabitkan Muhyiddin, hanya barisan kepimpinan yang mengetahui.
Biarpun banyak yang memberi andaian, segala strategi dan langkah seterusnya sudah tentu akan disusun mereka yang dipertanggungjawab dengan tugas masing-masing.
Wartawan Mingguan Malaysia menemuramah ahli MPT Bersatu Datuk Rosol Wahid bagi mendapatkan penjelasan beliau.
MINGGUAN MALAYSIA: Adakah Bersatu tergugat dan terkesan dengan apa yang berlaku pada masa kini?
ROSOL: Pertuduhan yang dikenakan terhadap Muhyiddin sememangnya tiada asas kerana duit yang dikatakan sebagai derma dimasukkan dalam akuan parti (bukan persendirian).
Jadi, saya lihat ini pertuduhan yang sememangnya untuk menganiaya Bersatu dan Muhyiddin.
Kalau kita lihat semua parti mana ada perniagaan. Jadi, bagaimana parti politik boleh bangunkan bangunan dan membiayai kempen atau membayar kakitangan?
Sudah semestinya mengharapkan sumbangan. Ini bermakna PKR pun sama sahaja. Apabila kena macam ini, sepatutnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat juga semua parti. Jangan pilih Bersatu sahaja.
KESAN DALAM PRN
Adakah ia memberi kesan dalam PRN nanti ?
Saya lihat ini akan memberi kesan (yang kelebihan). Selangor antara negeri yang berpotensi jatuh kepada PN dalam PRN nanti. Kerusi majoriti Melayu dijangka berpihak kepada kita.
Pulau Pinang juga dijangka mencatatkan keputusan yang agak merudum. Sebab apa? Sebab dulu orang Melayu memberi sokongan kepada UMNO, tapi sekarang UMNO sudah berkawan dengan DAP. Jadi rakyat kecewa.
KALAU MUHYIDDIN MENANG
Seandainya Muhyiddin menang dalam kes ini, adakah ia sebagai backfire kepada kerajaan sedia?
Saya nampak kes ini belum dibicarakan di mahkamah tetapi ramai rakyat sudah rasa simpati.
Bagaimana seandainya kes ini tidak memihak kepada Muhyiddin? Bersatu terkubur?
Saya yakin beliau boleh menang. Tiada kekalahan di pihak Muhyiddin. Sesuatu yang pelik dalam kes membabitkan beliau apabila hari ini disiasat tiba-tiba esok terus dituduh. Nampak sangat ada sesuatu.
Mampukah Bersatu dan PN khususnya bertindak sebagai pembangkang yang baik selepas ini?
Kita lihat Bersatu dan PN ini sebenarnya penuh dengan koordinasi dan ahli kita bersedia sepenuhnya apabila berucap di Dewan Rakyat dengan asas serta hujah yang kukuh.
Jadi tiada masalah untuk berperanan sebagai semak dan imbang kepada kerajaan sedia ada. – MINGGUAN MALAYSIA










