Benarkah orang Melayu tidak puas hati?

Benarkah orang Melayu tidak puas hati?

DAPATAN kaji selidik oleh O2 Malaysia menunjukkan orang Melayu di Semenanjung paling ramai bersikap negatif terhadap kerajaan perpaduan. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA hari lalu, terbit laporan kaji selidik yang dibuat oleh firma penyelidikan, O2 Malaysia dengan kerjasama lima media arus perdana. Kaji selidik tersebut dilakukan dengan 35,077 pelayar agensi media dan berita dari seluruh negara selama 10 hari bermula dari 6 hingga 16 Februari lalu bertujuan meninjau sentimen rakyat berhubung prestasi kerajaan perpaduan.

Hasil tinjauan tersebut menunjukkan dapatan berikut:

45 peratus responden menyatakan hala tuju semasa negara – Betul, berbanding 30 peratus responden menyatakan – Salah.

38 peratus responden menyatakan ekonomi negara dari Disember 2022 hingga Februari 2023 – Bertambah Baik, berbanding 39 peratus responden menyatakan – Bertambah Buruk.

Selain itu, dapatan kaji selidik juga menunjukkan Melayu Semenanjung paling ramai bersikap negatif terhadap kerajaan perpaduan, iaitu:

43 peratus Melayu Semenanjung menyatakan hala tuju semasa negara – Salah, berbanding India (7%), bumiputera Sarawak (12%), Cina (13%), lain-lain (16%) dan bumiputera Sabah (17%).

53 peratus Melayu Semenanjung menyatakan ekonomi negara dari Disember 2022 hingga Februari 2023 – Bertambah Buruk, berbanding India (11%), bumiputera Sarawak (18%), Cina (21%), lain-lain (25%) dan bumiputera Sabah (26%).

71 peratus Melayu Semenanjung menyatakan – Tidak Berpuas Hati dengan usaha kerajaan menunaikan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mereka berbanding India (20%), Cina (20%), bumiputera Sarawak (27%), bumiputera Sabah (36%) dan lain-lain (42%).

Ini menyebabkan laporan tersebut menekankan majoriti kaum Melayu merasakan kerajaan perpaduan tidak berprestasi dengan baik selama 100 hari memerintah.

Betulkah dapatan ini? Apakah hujah dan alasannya responden tidak berpuas hati ini? Hujah ini dikesampingkan dalam laporan dapatan kajian.

Sebagai perbandingan, lihat dapatan kaji selidik Merdeka Center pada 26 Disember 2022 higga 15 Januari 2023 yang menunjukkan tahap kepuasan hati orang Melayu terhadap prestasi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan adalah jauh lebih tinggi. Misalnya:

68 peratus responden berpuas hati terhadap prestasi Anwar sebagai Perdana Menteri dengan tahap kepuasan hati mengikut etnik adalah India (91%), bumiputera bukan Islam (83%), Cina (73%), bumiputera Islam (66%) dan Melayu (60%).

54 peratus responden berpuas hati terhadap kerajaan perpaduan dengan tahap kepuasan hati mengikut etnik ialah India (67%), Cina (65%), Melayu (49%), bumiputera bukan Islam (42%) dan bumiputera Islam (39%).

Biarpun laporan Merdeka Center menunjukkan tahap kepuasan orang Melayu terhadap Perdana Menteri dan kerajaan perpaduan adalah tinggi, namun rakyat lebih tertarik dengan hasil kaji selidik 02 Malaysia kerana ia membabitkan responden lebih ramai berbanding kaji selidik Merdeka Center (1,209 responden).

Namun, timbul pertanyaan. Betul dan tepatkah kaedah penyelidikan 02 Malaysia? Sahkah pemilihan responden? Apakah ia dibuat secara sistematik atau tidak?

Misalnya, walaupun melibatkan 35,077 responden, 81 peratus adalah lelaki dan 19 peratus perempuan yang tidak mencerminkan profil sebenar pengundi Malaysia. Begitu juga dari segi pecahan etnik, kumpulan umur, penempatan dan kumpulan pendapatan bulanan isi rumah.

Ini berbeza dengan metodologi Merdeka Center yang dibuat secara sistematik mengikut random stratified sampling di mana responden dipastikan mencerminkan profil sebenar pengundi Malaysia dari segi umur, etnik, jantina dan kawasan mengundi.

Bagi saya, kaji selidik yang boleh dipercayai hendaklah cermat dalam aspek metodologi. Jangan dibuat secara rawak kerana ia tidak mencerminkan realiti sebenar di bawah.

Apakah pandangan ini bermakna saya menolak dapatan kaji selidik yang dibuat? Saya menerima maklum balas yang diberi kerana ia berguna untuk saya di Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) meningkatkan lagi usaha kami mendekati rakyat dan menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat.

Yang saya tegur ialah dalam menjalankan kaji selidik, gunalah kaedah ilmiah yang betul supaya dapatannya dapat mengurangkan peratusan kesilapan yang besar. Selain itu supaya ia dapat menggambarkan realiti sebenar yang lebih tepat.

Lagipun, kaji selidik ini dibuat sebelum Anwar membentangkan Belanjawan 2023 pada Jumaat lalu yang menggariskan hala tuju Malaysia Madani. Yakinlah, setelah Belanjawan 2023 diluluskan dan dilaksanakan, maka hala tuju negara akan lebih jelas, ekonomi negara akan bertambah baik dan manifesto PRU15 akan lebih tertunai.

Semoga selepas ini sokongan rakyat dari semua etnik terhadap Anwar dan kerajaan perpaduan akan sentiasa tinggi. – UTUSAN

DATUK Dr. Mohammad Agus Yusoff ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) di Jabatan Perdana Menteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×