Pembaziran, ketirisan amalan kita - Utusan Malaysia

Pembaziran, ketirisan amalan kita

Penolong Pengarah Audit, Eliza Suria Mohd Noor melihat buku Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2 di Kompleks F, Putrajaya, baru-baru ini. – mingguan/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBAZIRAN seolah-olah sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Seperti kata bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar, ia sudah menjadi endemik, iaitu sesuatu yang kita sudah terima sebagai kebiasaan. Sudah jadi budaya atau sudah jadi sebahagian daripada darah daging kita walaupun kesannya kepada masyarakat dan negara sangat buruk.
Sana sini pembaziran dilakukan dengan selamba. Sama ada di peringkat keluarga, kampung, daerah, negeri apatah lagi negara.
Sebab itu, setiap tahun apabila kita tengok Laporan Ketua Audit Negara, elemen pembaziran ini mesti ada. Dan ia bukan sedikit. Dalam laporan terbaharu yang diedarkan kepada kalangan Ahli Dewan Rakyat baru-baru ini, jumlah pembaziran oleh kerajaan dan negara hampir RM1 bilion.
Semua tempat pembaziran. Daripada pengurusan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya hingga kepada mesin untuk bantuan pernafasan pesakit Covid-19.
Nampak gayanya tata kelola atau tadbir urus atau governance dalam kerajaan kita masih di takuk lama. Masih lemah dan tidak ada pemantauan rapi. Lebih serius ia memberi gambaran bahawa mereka yang terlibat sama ada orang politik atau pegawai-pegawai kerajaan kita tidak amanah. Mereka tidak kisah negara rugi dan rakyat tidak mendapat pembangunan yang sepatutnya asalkan individu yang terlibat dalam projek yang diluluskan mendapat habuan.
Ini mentaliti korup lagi lapuk yang tidak mungkin akan dapat membantu memacu Malaysia ke tahap lebih tinggi.
Laporan Ketua Audit Negara ini akan menyebabkan Malaysia menjadi bahan lawak dalam kalangan negara jiran.
Berdasarkan laporan itu, boleh dikatakan hampir tidak ada kementerian atau jabatan yang bebas daripada pembaziran. Kita hairan bagaimana projek pengangkutan awam yang tidak wujud iaitu monorel Putrajaya boleh menyebabkan pembaziran hampir RM800 juta? Kenapa pula terowong sebuah projek pengangkutan awam yang terbengkalai ada kos penyelenggaraan hingga RM2.16 juta?
Daripada menanggung pembaziran sebanyak itu adalah lebih baik projek itu diteruskan demi manfaat rakyat. Tambahan pula Putrajaya sekarang ini sesak setiap pagi dan petang kerana penduduknya masing-masing memandu ke pejabat walaupun. Rasanya tujuan asal projek monorel itu adalah untuk memastikan Putrajaya tidak sesak dengan kenderaan awam di samping mengawal pencemaran dalam usaha mengekalkannya sebagai bandar hijau. Tetapi kerana projek monorel itu dibatalkan, walaupun sebahagian struktur landasan sudah dibina maka perkara itu tidak menjadi realiti. Selain menyebabkan pembaziran, ia juga menyusahkan rakyat selain struktur yang terabai itu mencacatkan pemandangan Putrajaya.
Tabiat kita yang suka membatalkan projek kerajaan terdahulu walaupun ia memberi manfaat kepada rakyat kronik. Orang yang bertanggungjawab membatalkan projek itu langsung tidak kisah akan wang ringgit yang telah dibelanjakan.
Di Kementerian Pertanian yang kini dikenali sebagai Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pula ada syarikat konsesi belum menyerahkan dana obligasi sosial berjumlah RM37 juta pada tahun 2021.
Puncanya adalah kelemahan pemantauan oleh pihak kementerian terhadap terma perjanjian konsesi dan ketiadaan prosedur kerja jelas berkaitan dana obligasi sosial yang dipersetujui.
Lebih menyedihkan antara terma perjanjian itu termasuk 10 obligasi sosial yang perlu dilaksanakan antaranya mengurus pembayaran subsidi harga padi.
Puncanya adalah kelemahan dalam terimaan dana berbentuk kewangan dan aset serta bayaran Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) di bawah perjanjian konsesi pengurusan industri padi dan beras negara. Ini semua membabitkan petani miskin yang memerlukan pembelaan. Malangnya, di pihak kementerian dan kerajaan perkara berlaku seolah-olah sesuatu yang biasa.
Semakan audit mendapati berlaku pembayaran SSHP berjumlah RM730,000 yang tidak teratur kepada pesawah yang meninggal dunia. Apabila baca laporan ini tidak tahu sama ada mahu menangis atau ketawa. Orang yang sudah meninggal dunia pun masih menikmati subsidi. Betapa hebatnya negara kita. Subsidi diberikan tanpa mengira yang hidup atau mati.
Pengurusan khidmat ambulans juga boleh berlaku ketirisan melibatkan pembayaran tidak teratur bernilai RM100,000 selain RM158.08 juta kehilangan atau kerugian wang awam akibat pembayaran tidak teratur dan pembaziran wang kerajaan berdasarkan pengauditan pematuhan dilaksanakan sepanjang tempoh audit. Kehilangan atau kerugian wang awam berjumlah RM116.95 juta dikesan berlaku di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjumlah RM72.32 juta. Ini ekoran syarat pemastautin dan pemilikan kenderaan tidak dipatuhi selain pengiraan duti eksais tidak tepat; manakala Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) (RM37 juta) adalah membabitkan dana obligasi sosial yang belum diterima.
Di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) membabitkan ketirisan RM4 juta berkaitan Projek Dana Kandungan Digital tahun 2017-2019 gagal disiapkan; Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjumlah RM1.82 juta membabitkan denda tidak dikenakan; Jabatan Perdana Menteri (JPM) sejumlah RM1.66 juta berkaitan sewa kuarters tidak dikutip dan pembaziran dikesan melibatkan JPJ RM14.23 juta.
Pembaziran dan ketirisan ini berlaku hampir di semua kementerian, jabatan dan sektor. Terlalu banyak untuk disenaraikan satu-satu. Ibaratnya pembaziran dan ketirisan ini sudah menjadi amalan yang sudah berakar umbi hingga sukar dicabut.
Jabatan Audit Negara mengemukakan 21 syor untuk diambil tindakan kementerian, jabatan atau agensi antaranya setiap cadangan projek terlebih dahulu dijalankan kajian terperinci sebelum diluluskan.
Sama ada syor ini akan diguna pakai kita tunggu pula laporan audit tahun depan. Adakah skripnya tetap sama?

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN