Parti dulu, populariti diri datang kemudian

Parti dulu, populariti diri datang kemudian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOAL walak dan kesetiaan kepada parti tetap menjadi percaturan terbesar untuk calon-calon bersaing, seterusnya menang dalam perebutan jawatan-jawatan kanan UMNO.

Slot jawatan ini meliputi tiga Naib Presiden, 25 Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), 191 ketua bahagian, Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri.

Suatu yang pihak tertentu terpaksa akui, pemilihan UMNO untuk penggal 2023-2026 biarpun tanpa jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan, ia masih menjadi tumpuan pemerhati. Apa lagi kepada mata dan telinga parti-parti pembangkang.

UMNO biarpun masih suram selepas pilihan raya umum ke-15 tempoh hari, parti itu tetap menggamit perhatian ramai. Mana mungkin sebuah parti yang kelihatan sudah tidak punya apa-apa di tangan, cuma memiliki 26 kerusi parlimen boleh bikin kejutan besar berada dalam kerajaan hari ini.

Rebah UMNO kata orang ibarat ‘sudah tersungkur’, namun dek pencak silat dengan segala jurus dikeluarkan oleh presidennya, UMNO tiba-tiba bangkit. Tiada perkara mustahil dalam kehidupan ini. Tidak kira kaedah, taktik atau formulanya, pokoknya UMNO kini berada dalam kelompok kuasa. Benar! apa gunanya parti besar ahlinya berjuta tetapi bukan kerajaan. Nampaknya apa yang dilaung dikotakan oleh presidennya.

Pemimpin tanpa kuasa, partinya tiada apa-apa. Individu tiada lagi jawatan perdana menteri, kata-katanya tidak lagi dipeduli. Itu realiti politik Malaysia hari ini. Dinamiknya pantas, tidak terkejar. Bukan dari tahun ke tahun ‘lariannya’ perlu dicongak lagi, tetapi era hari ini minggu ke minggu, bulan ke bulan.

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dikatakan sudah pun melakukan kerja dan peranan yang “sepatutnya dilakukan oleh seorang presiden” dengan membawa UMNO kembali dalam gelembung kuasa. 

HOSPITALITI
Berbanding parti-parti lain, apa sahaja berlaku dalam UMNO, waima libatkan presiden atau pemimpin kanannya, mereka ‘batuk’ pun tetap dalam perhatian. Pengalaman UMNO mentadbir kerajaan berdekad-dekad sukar dipadam.

Apabila mengadakan perhimpunan agung parti, media yang buat liputan masih melimpah ruah. Sudah tentu menghairankan buat sebuah parti yang dikata musuh politiknya sudah ‘masanya sudah berlalu, sudah tamat tempoh’. Namun yang dikongsi sebilangan orang media, hospitaliti pemimpin, waima sehingga ke petugas-petugas parti itu sewaktu mengendalikan bilik media waktu perhimpunan besar, begitu dekat di hati mereka. Itu hal nampak remeh, kecil, tetapi sentuhan itulah yang barangkali tidak ada pada parti-parti politik lain. Seperti mana khidmat bakti UMNO yang akar umbinya masih terus bertanya khabar, mengambil berat orang tua atau ibu bapa yang hidup bersendirian di kampung yang ‘ditinggalkan’ oleh kerana tuntutan tanggungjawab anak-anak yang sudah berkeluarga.

Pemilihan UMNO 2023 cukup sengit. Di barisan calon naib presidennya sahaja, para pesaing sudah melangkau angka lima.

Kali ini, presiden tampaknya memerlukan barisan pemimpin parti yang mendukung institusi kepresidenan. Perasaan atau keinginan sama dikongsi presiden mana-mana parti sekalipun.

Namun presiden dipercayai mahukan lebih dari itu. Kerana beliau sudah pun melakukan kerja dan peranan yang “sepatutnya dilakukan oleh seorang presiden” dengan membawa UMNO kembali dalam gelembung kuasa. Tinggal lagi mahu jaminan yang muktamad. Jaminan ini suatu suntikan besar buatnya untuk mengenderai parti mendepani enam pilihan raya negeri. Sekali gus hanya kemenangan di kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri UMNO sahajalah yang mampu meyakinkan kepemimpinan kerajaan perpaduan.

DISUKAI PARTI ATAU RAKYAT
Biarpun ada pandangan dalam politik “dia disukai orang parti tapi tidak rakyat atau dia disukai rakyat, tapi tidak dalam parti”, pokok pangkalnya orang parti harus muhasabah diri. Kerana partilah yang memunculkan seorang pemimpin itu. Tanpa parti, dia enggak punya apa-apa. Waima rakyat pun, mereka pun ada kumpulannya – terbelah dengan sentimen diri dan sokongan kepada parti-parti tertentu.

Dipercayai kali ini tidak kurang 300,000 akar umbi UMNO akan mengundi dan meneliti rapi barisan kepimpinan baharu yang akan dipilih kelak. Mereka akan menilai mana pemimpin yang lari dari perjuangan dan yang sanggup bersusah senang di waktu sukar ditempuh parti.

Orang parti kenal siapa ‘mereka’ ini. Tahu track record mereka. Ada ketika hanya tahu putarbelitkan isu untuk kepentingan politik diri. Padahal mereka ini dahulunya dapat banyak nikmat hasil daripada perjuangan parti. Apabila sudah gelap mata kejar jawatan, macam-macam fitnah dan tohmahan pula dilemparkan terhadap parti sendiri, pemimpin atas.

Kemudiannya baru ‘bertemu buku dengan ruas’ kembali berpijak di bumi nyata yang populariti diraih selama ini bukan kerana dia wakil rakyat bebas. Tetapi kerana diri itu dikenali atas platform parti dianggotainya.

Apabila terlalu gelojoh tanpa kecerdasan emosi (EQ) dan rohani (SQ) dalam diri, habis rakan-rakan lain terkena tempias, lumpur, akibatnya kalah di kerusi-kerusi pilihan raya mereka. Namun mujur parti sempat tersedar, segera dicantas dedalu ini sebelum ia membesar dan merimbun pula di pokok yang baru hendak rendang.

Biarpun masih ramai percaya ‘cai’ akan beredar lebih agresif dalam pemilihan kali ini, demi memastikan parti terus relevan dalam politik tanah air harus dibersihkan kertas undi anda daripada ‘kayu reput, kayu hanyut, paku karat dan paku longgar’.

Biarpun itu pandangan peramal politik, bukan pengamal politik, ahli UMNO perlu buat pilihan sebijak-bijaknya. Carilah calon seumpama seorang statesman, bukannya sekadar ‘warlord’ politik semata-mata.

Buat ahli politik profesional, sesuatu itu perlu dihadapi secara bersahaja. Ukur juga baju di badan sendiri. Jangan terlalu terikut cakap-cakap di kedai kopi. Serta kehendak pengikut yang hanya mahu mengadu-domba sesama pemimpin.

Bijak hal-hal dunia bukan bermakna boleh menerobos disokong undi perwakilan. Tekanan dan perasaan ada kalanya terpaksa ditanggung jika anda mahu terus berkilat dalam politik.

Dan mengamati rentak politik semasa, terutama untuk bertahan dan terus berdaya saing, nampaknya ada kebenaran kata-kata, “dalam perut ada rimau, luahkan sahaja (dulu) bunyi kambing”.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.