KANGAR: Empat lelaki warga China direman lima hari bermula hari ini selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah dan cuba merempuh anggota polis dalam kejadian di Kuala Perlis, semalam.
Ketua Polis Daerah Kangar, Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, semua suspek berusia antara 45 hingga 52 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.30 petang di sekatan jalan raya (SJR) Kampung Wai, Kuala Perlis.
Menurut beliau, terdahulu, polis menerima maklumat awam berhubung sebuah kereta jenis Toyota Innova berwarna kelabu dalam keadaan mencurigakan di Taman Sentosa, Kuala Perlis.
“Susulan itu, sepasukan anggota Task Force Balai Polis Kuala Perlis bersama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah dan Unit Risikan Polis Marin menuju ke lokasi bagi melakukan pemeriksaan.
“Sebaik tiba, anggota polis telah memperkenalkan diri dan mempamerkan kad kuasa namun bagaimanapun suspek bertindak memecut laju untuk melarikan diri,” katanya di sini hari ini.
Yusharifuddin berkata, kenderaan dinaiki suspek kemudian cuba merempuh sekatan jalan raya di Kampung Wai sebelum berjaya dipintas dan ditahan anggota polis bertugas.
Beliau berkata, semasa berada di lokasi, suspek enggan membuka pintu kenderaan dan sekali lagi bertindak agresif dengan mengundurkan kenderaan sehingga hampir melanggar anggota bertugas.
“Polis terpaksa memecahkan cermin belakang serta cermin sisi penumpang hadapan sebelum berjaya membuka pintu kenderaan tersebut,” katanya.
Ujar Yusharifuddin, tindakan suspek yang cuba melarikan diri telah menyebabkan berlakunya pergelutan sebelum berjaya diberkas dan dibawa ke Balai Polis Kuala Perlis untuk tindakan lanjut.
Katanya, pemeriksaan lanjut menemui pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah termasuk batang besi, playar, cutter, pemutar skru, walkie-talkie, sarung tangan dan alat disyaki master key.
“Polis juga merampas beberapa telefon bimbit, wang tunai, pasport serta Toyota Innova yang dipercayai disewa di Kuala Lumpur. Siasatan awal mendapati semua suspek masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5 Mei lalu menggunakan pas pelancong dan tidak mempunyai pekerjaan di negara ini,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan suspek dalam kes jenayah lain.-UTUSAN










