Polis buru lelaki warga asing ceroboh, ganggu murid sekolah di Arau - Utusan Malaysia

Polis buru lelaki warga asing ceroboh, ganggu murid sekolah di Arau

Ahmad Mohsin Md Rodi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Polis memburu seorang lelaki warga asing bagi membantu siasatan membabitkan dakwaan cubaan culik dan gangguan fizikal terhadap murid di sebuah sekolah di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada pengadu berusia 41 tahun pada pukul 1 tengah hari ini.

Katanya, ketika kejadian pada pukul 5.45 petang semalam, pengadu bersama isterinya sedang melatih pelajar kelas silat di padang sekolah rendah berkenaan.

“Pengadu mendapati seorang lelaki warga asing masuk ke pekarangan sekolah melalui pintu pagar belakang dan terus ke kawasan padang tempat mereka berlatih.

“Suspek kemudian bertindak memegang, mengangkat serta mencium beberapa murid lelaki tanpa sebab munasabah,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Mohsin berkata, pengadu yang curiga dan bimbang suspek mempunyai niat buruk segera menghalang perbuatan lelaki terbabit dan mengarahkannya beredar dari kawasan itu sebelum dibantu pengawal keselamatan sekolah yang tiba untuk mengusirnya dengan segera.

“Suspek terus beredar meninggalkan kawasan sekolah dan melarikan diri menuju ke kawasan hutan berdekatan. Pengadu juga memaklumkan bahawa suspek didapati tidak mahir menggunakan bahasa Melayu, sebaliknya hanya bercakap dalam bahasa Thailand,” katanya.

Susulan kejadian itu, beliau berkata, polis sudah bertemu pihak sekolah bagi mengesahkan insiden berkenaan dan dimaklumkan mereka sudah berbincang bersama pengadu dan menasihatkannya membuat laporan polis demi keselamatan murid lain.

“Laporan itu dirujuk kepada pegawai penyiasat jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau dan usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan suspek terbabit,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN