Maut ditikam kerana ‘mushroom’

Maut ditikam kerana ‘mushroom’

LEE ROBERT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hanya disebabkan perselisihan faham ketika urusan jual beli perisa vape jenis ‘mushroom’, seorang lelaki maut dipercayai diserang sekumpulan lelaki di kawasan taman permainan di Taman Muhibbah, Merlimau dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.02 malam itu, mangsa berusia 30 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka akibat tikaman pada belakang badan hingga menembusi paru-paru kanan, selain mengalami pendarahan di kepala.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, seorang lagi lelaki berumur 26 tahun mengalami luka pada tangan kanan dan rusuk serta calar di muka.

“Kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa telah menegur dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang suspek dalam urusan jual beli perisa vape.

“Suspek tidak berpuas hati lalu bertindak menyerang kedua-dua mangsa menggunakan pisau manakala dua lagi suspek memukul mangsa dengan tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Robert berkata, kedua-dua mangsa melarikan diri dengan menaiki sebuah Perodua Bezza untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Merlimau sebelum dihantar ke Hospital Melaka.

Katanya, polis berjaya menahan empat suspek lelaki berusia antara 20 hingga 35 tahun di sebuah rumah di Taman Muhibbah kira-kira pukul 4.27 pagi tadi bagi membantu siasatan.

“Polis telah mendapatkan perintah reman selama tujuh hari hingga 21 Mei ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh

“Semua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik. Dua daripada mereka turut didapati positif methamphetamine hasil ujian saringan air kencing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN