Kenyataan ILO tidak jejaskan pengiktirafan global sistem pekerja migran - Bestinet

Kenyataan ILO tidak jejaskan pengiktirafan global sistem pekerja migran – Bestinet

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Firma guaman yang mewakili syarikat Bestinet Sdn. Bhd., Lui & Bhullar menjelaskan, penjelasan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) tidak menjejaskan kepentingan pengiktirafan antarabangsa terhadap sistem tersebut.

Ia susulan kenyataan ILO semalam yang menafikan bahawa pihaknya pernah mengesahkan sistem FWCMS, sebaliknya menjelaskan hanya memberikan komen awal terhadap sistem itu kepada Bestinet pada tahun 2013 ketika taklimat oleh pengarah eksekutif syarikat berkenaan di Bangkok.

Menurut kenyataan firma guaman itu, Bestinet mengiktiraf sepenuhnya bahawa sebarang pemerhatian teknikal atau komen awal yang dibuat oleh ILO pada tahun 2013 diberikan dalam konteks tertentu yang kemudiannya dilaksanakan dalam FWCMS dan ia tidak merupakan pengendorsan institusi.

“Pendirian syarikat sentiasa jelas bahawa falsafah reka bentuk FWCMS diasaskan kepada prinsip-prinsip yang diiktiraf di peringkat antarabangsa berkaitan ketelusan, pengambilan pekerja secara beretika, tadbir urus, kebolehkesanan dan perlindungan pekerja migran, iaitu prinsip yang turut diperjuangkan secara konsisten oleh ILO dan badan antarabangsa lain.

“Rujukan Bestinet terhadap keselarasan tersebut adalah berkaitan falsafah reka bentuk dan objektif tadbir urus sistem, dan tidak pernah dimaksudkan sebagai gambaran bahawa FWCMS menerima pengendorsan rasmi daripada ILO,” memetik kenyataan itu.

Pada masa sama, kenyataan itu memaklumkan, penjelasan ILO tidak seharusnya disalah tafsir sehingga memperkecilkan kepentingan pengiktirafan antarabangsa yang diterima FWCMS, termasuk menerusi World Summit Awards (WSA).

Jelasnya, WSA kekal sebagai platform antarabangsa yang dihormati dalam mengiktiraf penyelesaian digital berimpak tinggi yang selaras dengan objektif tadbir urus awam dan pembangunan mampan.

“Pengiktirafan yang diterima FWCMS mencerminkan inovasi, kebolehskalaan dan potensi platform itu dalam menangani cabaran tadbir urus, pematuhan dan pengurusan pekerja migran yang telah lama wujud.

“Malah, WSA turut selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) dan diwujudkan di bawah Sidang Kemuncak Dunia Mengenai Masyarakat Bermaklumat (WSIS),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN