PETALING JAYA: Kempen hambar skuad berbasikal trek negara di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2026 berakhir tanpa sebarang podium apabila dua pelumba wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Nur Alyssa Mohd Farid turut tersingkir dalam acara keirin di Velodrom Shanghai, China, semalam.
Kedua-dua pelumba negara gagal melepasi saingan repechage apabila masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kelima, sekali gus menutup peluang terakhir Malaysia untuk meneruskan cabaran dalam acara berkenaan.
Nur Alyssa yang gagal menamatkan perlumbaan dalam saringan pertama sebelum itu, tidak mampu bangkit lebih jauh apabila sekadar menduduki tempat kelima dalam repechage, manakala dua slot ke pusingan seterusnya menjadi milik Zita Gheysens dari Belgium dan Veronika Tamme dari Republik Czech.
Nasib sama menimpa Nurul Izzah yang gagal melayakkan diri secara automatik ke suku akhir selepas menamatkan saringan pertama di tempat ketiga sebelum sekali lagi terkandas di repechage, dengan Hetty van de Wouw dari Belanda dan Makaira Wallace dari Trinidad dan Tobago mengisi dua tempat teratas.
Kegagalan itu melengkapkan kempen mengecewakan Malaysia di Shanghai apabila tiada seorang pun pelumba negara berjaya membawa pulang pingat, meskipun Datuk Azizulhasni Awang masih menjadi sandaran utama dalam acara keirin lelaki dan pecut individu.
Azizulhasni terlebih dahulu terkandas di suku akhir keirin selepas menduduki tempat keenam dalam saringannya, meskipun sebelum itu berjaya melepasi pusingan pertama dengan menamatkan perlumbaan di tempat kedua, hanya 0.006 saat (s) di belakang pelumba Jepun, Kaiya Ota.
Jaguh berusia 38 tahun itu turut gagal melangkah lebih jauh dalam acara pecut individu apabila tewas kepada pelumba Great Britain, Harry Ledingham-Horn, dengan perbezaan masa hanya 0.021s dalam aksi kalah mati selepas mencatat 9.564 saat untuk menduduki tempat kelapan dalam kelayakan.
Kekecewaan turut melanda acara pecut individu wanita apabila Nur Alyssa tersingkir di pusingan 1/16 akhir selepas tewas kepada wakil Britain, Rhianna Parris-Smith, dengan perbezaan 0.071s, manakala Nurul Izzah turut gagal melepasi halangan sama selepas tewas kepada pelumba Australia, Molly McGill, dengan jurang hanya 0.043s.
Lebih awal, skuad pecut berpasukan lelaki dan wanita turut gagal menembusi kelompok lapan terbaik apabila trio lelaki yang dibarisi Muhammad Ridwan Sahrom, Muhammad Fadhil Mohd Zonis dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom menduduki tempat ke-16 dengan catatan 44.815s, manakala trio wanita berada di tangga ke-11 menerusi masa 48.366saat.
Keputusan di Shanghai itu menyaksikan Malaysia sekali lagi gagal menambah koleksi pingat dunia sejak Azizulhasni menghadiahkan dua gangsa dalam acara keirin dan pecut individu pada 2020, sekali gus meninggalkan tugas besar buat skuad negara untuk bangkit memperbaiki prestasi menjelang kejohanan utama akan datang. – UTUSAN











