FWCMS berjaya sekat kegiatan kartel pekerja asing dari terus membarah – Penganalisis

FWCMS berjaya sekat kegiatan kartel pekerja asing dari terus membarah – Penganalisis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Foreign Worker Centralised Management System (FWCMS), yang dibangunkan oleh Bestinet Sdn Bhd, telah berjaya menyekat kegiatan eksploitasi kartel pekerja asing daripada terus membarah di negeri ini.

Pensyarah Kanan (Ekonomi) Jabatan Pengajian Ekonomi dan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Selangor, Nurul Ainun Ahmad Atory berkata, tanpa FWCMS, kemungkinan besar kartel pekerja asing akan semakin berleluasa dan tidak mampu dibendung lagi kerana tiada peralihan daripada proses kaunter yang manual kepada platform digital tunggal yang memudahkan berlakunya ekspoloitasi dan salah guna.

Beliau berkata, sistem digital yang berpusat berpotensi mengurangkan kos transaksi, mempercepatkan proses permohonan serta meningkatkan ketelusan melalui rekod digital dan audit trail yang lebih sistematik.

“Dalam ekonomi institusi, mekanisme ini dapat mengurangkan masalah asimetri maklumat, sekali gus mengecilkan ruang untuk aktiviti rent-seeking, penyalahgunaan kuasa dan penglibatan orang tengah yang tidak memberikan nilai tambah kepada ekonomi,” katanya hari ini.

NURUL AINUN AHMAD ATORY

Sebelum ini, Malaysiakini menyiarkan artikel mengenai kartel pekerja asing yang terus kebal dengan dalang-dalang di sebalik tabir terus mengaut keuntungan jutaan ringgit dengan imuniti yang amat mencurigakan dan meneruskan kegiatan dengan menjalankan evolusi modus operandi.

Terdahulu, Pengerusi Persatuan Peniaga Mikro Malaysia (MAMBA), Tan Peng Beng berkata, tindakan mempolitikkan FWCMS berisiko menjejaskan kemajuan bermakna yang telah dicapai dalam memperkukuh tadbir urus, kecekapan dan ketelusan pengurusan pengambilan pekerja asing di Malaysia.

Ujar Tan Peng Beng lagi, ketiadaan sistem itu di negara ini berisiko menjejaskan kemajuan bermakna yang telah dicapai dalam memperkukuh tadbir urus, kecekapan dan ketelusan pengurusan pengambilan pekerja asing di Malaysia.

Dalam pada itu, Nurul Ainun berkata, keberkesanan sesuatu sistem digital tidak boleh dinilai hanya berdasarkan kewujudannya, sebaliknya perlu disokong oleh data empirikal dan penguatkuasaan yang berterusan.

Katanya, penilaian perlu dibuat berdasarkan indikator yang jelas seperti pengurangan kos pengambilan pekerja asing, tempoh pemprosesan yang lebih singkat dan peningkatan kadar pematuhan majikan.

Katanya, ini termasuk pengurangan kes penipuan serta peningkatan hasil kerajaan.

“Sekiranya objektif-objektif ini berjaya dicapai secara konsisten, sistem seperti FWCMS bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan ekonomi, malah turut memperkukuh keyakinan pelabur terhadap ekosistem perniagaan Malaysia melalui tadbir urus yang lebih telus, cekap dan berintegriti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN