PELANTIKAN Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri mengundang pelbagai reaksi daripada penyokong Pakatan Harapan (PH) dan juga pembangkang.
Kritikan utama terhadap pelantikan ini ialah ia merupakan satu bentuk nepotisme. Pelantikan ini dilihat sebagai bertentangan dengan agenda reformasi yang berhajat membasmi rasuah, kronisme dan nepotisme.
Istilah nepotisme menjadi sebahagian daripada perbualan rakyat sejak gerakan reformasi tercetus pada 1998. Namun, nepotisme yang dihadapi ketika itu bukanlah dalam bentuk pelantikan ahli keluarga pemimpin ke jawatan kerajaan. Sebaliknya, pemimpin-pemimpin yang menggunakan kedudukan mereka untuk menyalurkan kekayaan kepada ahli keluarga.
Ada pemimpin menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membeli perniagaan milik anaknya yang menghadapi masalah. Tidak lama dahulu, ada pemimpin menyalurkan kontrak kerajaan kepada sebuah syarikat yang mempunyai hubungan dengan menantunya. Syarikat ini kemudiannya gagal melaksanakan projek ini. Tindakan-tindakan ini melibatkan jumlah dana yang besar mencecah berbilion ringgit. Negara yang menanggung akibatnya.
Nepotisme umumnya mempunyai implikasi wujud salah laku. Dalam kalangan penyelidik etika perniagaan, nepotisme dilihat sebagai membawa kepada beberapa kesan negatif. Namun, kita boleh juga meneliti fenomena ini dengan melakukan analisis akibat huluan (downstream consequence analysis). Tujuan analisis ialah memastikan kita memahami dengan lebih teliti akibat daripada sesuatu tindakan.
Sebagai contoh, satu akibat daripada pelantikan ahli keluarga ke jawatan kanan oleh seorang pemimpin ialah akan menghalang peluang memajukan kerjaya orang-orang lain dalam organisasi. Walaupun orang-orang lain ini telah lama berkhidmat, peluang mereka terbantut kerana pelantikan ahli keluarga pemimpin. Pelantikan sebegini juga lazim akan memberi manfaat (lazimnya dalam bentuk ganjaran kewangan) kepada ahli keluarga terbabit walaupun orang-orang lain lebih banyak memberi sumbangan.
Dan sering kali ahli keluarga yang dilantik dipilih semata-mata kerana hubungan kekeluargaan dan bukan kerana kelayakan atau keupayaan. Nyata di sini akibat huluan nepotisme ialah ia akan menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan orang lain dan memberi kelebihan kepada ahli keluarga dilantik.
Pada masa sama, terdapat juga penyelidik yang cuba mentakrifkan nepotisme dengan lebih mendalam. Jaskiewicz dan rakan-rakannya mengkategorikan nepotisme kepada dua bentuk.
Yang pertama ialah nepotisme warisan (entitlement nepotism). Ini berlaku apabila seseorang pemimpin melantik ahli keluarganya semata-mata kerana hubungan kekeluargaan dan tidak lebih daripada itu.
Keupayaan ahli keluarga yang dilantik tidak menjadi pertimbangan.
Yang kedua ialah nepotisme timbal balas (reciprocal nepotism) di mana pemimpin melantik ahli keluarga ke sesuatu jawatan tetapi dengan harapan ahli keluarga berkenaan dapat memberi sumbangan penting.
Selain hubungan kekeluargaan, ahli keluarga berkenaan turut memiliki keupayaan yang bernilai. Si pemimpin inginkan seorang yang diyakininya, mendukung nilai dan matlamat yang sama serta berkeupayaan.
Oleh itu pemimpin memilih ahli keluarga ini untuk berkhidmat dengannya.
KAMUS
Bagi mereka yang berpegang teguh pada pentakrifan kamus istilah nepotisme, pelantikan Nurul Izzah oleh bapanya tetap akan dianggap sebagai nepotisme. Jika kita menerima anggapan sebegini, kita harus juga meneliti sama ada pelantikan Nurul Izzah merupakan nepotisme warisan atau nepotisme timbal balas. Dan jika penelitian ini turut dilakukan dengan analisis akibat huluan, nyata sekali pelantikan ini amat berbeza berbanding nepotisme yang diamalkan pemimpin-pemimpin sebelum ini.
Pelantikan Nurul Izzah sebagai penasihat kanan tidak menjejaskan peluang kerjaya mana-mana pegawai kerajaan kerana dia bukan dilantik ke jawatan yang merupakan sebahagian daripada tangga kerjaya di Jabatan Perdana Menteri atau Kementerian Kewangan. Berbeza dengan ahli-ahli keluarga pemimpin-pemimpin sebelum ini yang mendapat kekayaan daripada kedudukan bapa mereka, Nurul Izzah memberi khidmatnya secara pro bono dan dengan itu tidak memperoleh sebarang ganjaran kewangan.
Dari segi rekod prestasi Nurul Izzah, tiada siapa yang mempertikaikan kewibawaan dan keupayaannya. Beliau telah berkhidmat sebagai ahli Parlimen selama tiga penggal. Beliau juga menunjukkan daya intelek yang tinggi dalam perbahasan-perbahasan di Parlimen dan sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Paling kurang, prestasi Nurul Izzah dari segi kehadiran dalam sidang-sidang Parlimen adalah jauh lebih baik jika dibandingkan dengan ahli-ahli Parlimen yang sering ponteng dan memakan gaji buta.
Kemungkinan besar akan ada sebahagian daripada kita yang tetap akan melihat isu ini sebagai hitam putih dan akan terus bertegas bahawa pelantikan Nurul Izzah adalah nepotisme dan salah. Namun, akan ada sebahagian daripada kita yang beranggapan ia bukan isu hitam putih tetapi terdapat ruang kelabu dan dengan itu boleh menerima pelantikan ini.
Pada ketika sama, akan ada sebahagian daripada kita yang akan masih menghadapi kesukaran menentukan pendirian dalam isu ini.
Jika kita merujuk kepada sejarah Rasulullah SAW, kita akan dapati baginda pernah melantik Othman ibn Affan yang merupakan menantunya sebagai penjaga Madinah ketika baginda keluar memimpin tentera Islam di Badr. Adakah ini nepotisme dan adakah ia menyebabkan akibat yang memudaratkan? Baginda juga pernah melantik Ali ibn Abu Talib yang merupakan sepupu dan menantunya sebagai penjaga Madinah ketika baginda keluar memimpin tentera Islam di Tabuk. Adakah ini nepotisme dan adakah ia menyebabkan akibat yang memudaratkan?
Rasulullah SAW juga melantik Ali sebagai penulis teks perjanjian ketika peristiwa Hudaibiyah. Adakah ini nepotisme dan adakah ia menyebabkan akibat yang memudaratkan? Sebelum kewafatannya, baginda juga telah menghantar Ali ibn Abu Talib ke Yemen untuk menyebarkan Islam. Adakah ini nepotisme dan adakah ia menyebabkan akibat yang memudaratkan? Rasulullah SAW juga melantik sepupunya, Jaafar ibn Abu Talib sebagai salah seorang pemimpin tentera Islam ketika Perang Mu’tah. Adakah ini nepotisme dan adakah ia menyebabkan akibat yang memudaratkan?
Terpulanglah kepada setiap daripada kita menilai isu pelantikan Nurul Izzah mengikut kaca mata dan neraca pilihan kita. Yang nyata, ia bukanlah isu yang jelas hitam putihnya. – UTUSAN
DR. Rozhan Othman ialah bekas profesor pengurusan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).










