Keputusan Ops Water: Penantian 10 tahun jadi tumpuan

Keputusan Ops Water: Penantian 10 tahun jadi tumpuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini menjadi detik penentu buat empat individu termasuk bekas Pengarah dan bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang didakwa terlibat dalam skandal rasuah projek bekalan air Sabah bernilai berbilion ringgit.

Kesemua tertuduh berdepan pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) susulan siasatan besar-besaran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan penyelewengan dana awam dan salah guna kuasa dalam pelaksanaan projek bekalan air di negeri itu.

Selepas perbicaraan penuh selesai, Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu dijadualkan membuat keputusan terhadap kes berprofil tinggi berkenaan hari ini.

Kes terbabit dianggap antara episod terbesar dalam sejarah siasatan rasuah negara apabila SPRM melancarkan Ops Water I dan Ops Water II pada Oktober 2016 bagi menyiasat dakwaan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa membabitkan projek itu.

Meskipun sedekad berlalu, skandal itu terus menjadi antara kes yang memberi impak besar terhadap persepsi rakyat mengenai tadbir urus, integriti serta pengurusan dana awam negara.

Siasatan mendapati projek bekalan air bernilai lebih RM3.3 bilion yang sepatutnya digunakan bagi menyediakan infrastruktur asas dan pengagihan bekalan air bersih kepada rakyat Sabah didakwa telah diseleweng menerusi pelbagai kaedah termasuk tuntutan palsu, pengagihan kontrak meragukan dan transaksi kewangan mencurigakan.

Skandal berkenaan bukan sahaja membongkar isu ketirisan dalam sektor awam malah memperlihatkan bagaimana kelemahan sistem kawalan dalaman dan pengawasan boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa serta amalan rasuah yang akhirnya menjejaskan kepentingan rakyat.

Keadaan itu secara tidak langsung menyebabkan pembangunan infrastruktur asas untuk rakyat terjejas, selain memberi kesan terhadap keyakinan masyarakat terhadap institusi kerajaan dan pengurusan kewangan awam.

Dana awam yang sepatutnya menjadi nadi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat perlu diurus secara telus, berintegriti dan penuh akauntabiliti bagi memastikan setiap peruntukan benar-benar sampai kepada golongan sasaran.

Namun dalam kes ini, wang yang diperuntukkan bagi keperluan asas rakyat didakwa disalah guna oleh individu tertentu untuk kepentingan peribadi sehingga mencetuskan kerugian besar kepada kerajaan.

Menerusi operasi berskala besar itu, SPRM menahan reman seramai 28 individu termasuk seorang bekas pengarah, dua bekas timbalan pengarah, 23 jurutera dan juruteknik serta dua orang awam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penyelewengan terbabit.

Siasatan dijalankan secara menyeluruh dengan penglibatan seramai 137 pegawai SPRM dari ibu pejabat dan beberapa negeri lain bagi memastikan setiap aspek perundangan, dokumentasi dan prosedur siasatan dipatuhi sebelum kes dibawa ke mahkamah.

Dalam tempoh siasatan, lebih 200 saksi dirakam percakapan bagi membantu proses pendakwaan dan melengkapkan keterangan berkaitan aliran kewangan, pengurusan projek serta pemilikan aset yang dikaitkan dengan kes berkenaan.

SPRM turut melakukan pemeriksaan dan rampasan dokumen di kira-kira 30 lokasi di seluruh Sabah termasuk di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan dan Lahad Datu.

Malah, pasukan penyiasat mengambil masa hampir sebulan untuk meneliti dan menganalisis kira-kira 8,000 baucar pembayaran dari tahun 2008 hingga 2016 yang diekstrak daripada puluhan ribu dokumen melibatkan tuntutan pembayaran jabatan kerajaan negeri.

Difahamkan, keseluruhan berat fail dan dokumen yang dianalisis dalam siasatan itu mencecah hampir 12 tan, sekali gus menggambarkan skala serta kerumitan siasatan yang dijalankan SPRM.

Sepanjang operasi dijalankan, SPRM berjaya merampas, menyita dan membekukan aset bernilai kira-kira RM114.5 juta yang terdiri daripada wang tunai, akaun bank, amanah saham serta pelbagai aset alih dan tidak alih di dalam dan luar negara.

Rampasan itu turut dianggap antara penyitaan terbesar pernah direkodkan dalam sejarah siasatan rasuah negara.

Selain pendakwaan jenayah, SPRM juga berjaya mendapatkan semula sebahagian aset kerajaan menerusi tindakan perlucuthakan dan kompaun melibatkan puluhan pegawai serta individu yang mempunyai kaitan dengan kes tersebut.

Dalam konteks siasatan ini, aspek pemulihan aset atau asset recovery turut menjadi antara fokus utama SPRM bagi memastikan aset dan wang yang dipercayai diperoleh hasil aktiviti rasuah dapat dikesan, dibekukan serta dikembalikan semula kepada kerajaan.

Pendekatan itu penting kerana jenayah rasuah bukan sahaja melibatkan pelanggaran undang-undang malah memberi kesan langsung kepada kedudukan kewangan negara dan kesejahteraan rakyat apabila dana awam yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan disalah guna demi kepentingan peribadi.

 

 

Melalui tindakan penyitaan, pembekuan akaun, perlucuthakan harta dan kompaun, kerajaan berupaya mendapatkan kembali sebahagian kerugian yang ditanggung akibat ketirisan dan penyelewengan dana awam.

Usaha pemulihan aset juga membuktikan bahawa tindakan penguatkuasaan tidak hanya tertumpu kepada pendakwaan jenayah semata-mata sebaliknya merangkumi usaha menghalang pelaku daripada terus menikmati hasil kekayaan yang diperoleh secara tidak sah.

Dalam kes skandal bekalan air Sabah, kejayaan SPRM mengesan serta membekukan aset bernilai jutaan ringgit termasuk wang tunai, akaun bank, amanah saham dan hartanah di dalam serta luar negara dilihat sebagai pencapaian penting dalam usaha mengekang kegiatan rasuah berskala besar.

Tindakan itu bukan sahaja membantu mengurangkan kerugian kerajaan malah menjadi peringatan bahawa setiap transaksi kewangan dan pemilikan aset yang meragukan boleh dijejaki menerusi siasatan forensik kewangan yang menyeluruh.

Selain memulihkan semula dana awam, pemulihan aset turut memainkan peranan besar dalam meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara serta memperkukuh persepsi bahawa agensi penguat kuasa serius dalam memerangi rasuah tanpa kompromi.

Pendekatan berkenaan juga selari dengan amalan antarabangsa dalam usaha membanteras jenayah kewangan dan pengubahan wang haram, khususnya dalam memastikan aset yang diperoleh secara tidak sah dapat dirampas serta dikembalikan untuk kepentingan negara dan rakyat.

Skandal ini menjadi simbol penting dalam usaha memerangi rasuah dan memperkukuh integriti sektor awam, khususnya melibatkan pengurusan projek berimpak tinggi serta peruntukan dana kerajaan.

Keputusan mahkamah hari ini bukan sahaja menjadi penentu nasib empat tertuduh terbabit, malah turut diperhatikan ramai sebagai antara penanda aras terhadap ketegasan penguatkuasaan undang-undang dalam menangani jenayah rasuah dan penyelewengan dana awam di negara ini. –UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN