DALAM kerangka pemerintahan Malaysia yang berteraskan kepada sistem Raja Berperlembagaan, institusi raja kekal sebagai tunjang kepada kedaulatan negara yang tidak lapuk dek zaman walaupun negara menjangkau era teknologi moden.
Peranan raja bukan sekadar satu simbol tradisi semata-mata, tetapi menjadi payung yang melindungi rakyat, memelihara agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan serta menjamin kestabilan politik dan sosial negara.
Menurut Kamus Dewan, konsep “Raja Payung Kedaulatan Negara” membawa maksud institusi raja sebagai pemerintah tertinggi yang menjadi pelindung, penaung dan simbol kepada kedaulatan serta keutuhan sesebuah negara.
Dalam landskap demokrasi moden, raja bertindak sebagai pengimbang kuasa, memastikan perjalanan pentadbiran negara kekal berlandaskan undang-undang serta nilai-nilai murni.
Sejarah telah membuktikan bahawa raja-raja Melayu memainkan peranan penting dalam pembentukan negara bangsa. Dari era Kesultanan Melayu hingga ke zaman kemerdekaan, institusi diraja menjadi lambang identiti, perpaduan dan kedaulatan.
Peranan ini terus diperkukuh dalam sistem pemerintahan hari ini, menjadikan institusi raja sebagai elemen penting dalam mengekalkan kestabilan negara yang berbilang kaum dan agama.
Raja berperanan sebagai tonggak kepada kestabilan yang bersumberkan keadilan, teras perpaduan dan payung kepada simbol penyatuan. Raja dalam menyempurnakan peranan perlu memahami denyut nadi dan denyut jantung rakyat jelata yang berada di bawah naungan.
Dalam dinamika politik yang sedang berlaku, bertambah penting bagi raja untuk berada di atas segala yang sedang berlaku dan bersifat berkecuali supaya dalam keadaan berlakunya krisis, institusi raja berupaya memberikan nasihat, teguran dan pandangan yang mencerminkan keadilan tanpa menyebelahi mana-mana memihak.
Di negeri Perlis, peranan Raja Perlis sebagai Ketua Negeri amatlah jelas terserlah dalam pelbagai aspek pembangunan negeri. Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dikenali sebagai raja berjiwa rakyat yang sentiasa mendekati masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Kepimpinan Baginda menzahirkan keseimbangan antara pemeliharaan tradisi dan keperluan pembangunan moden.
Tanggal 17 Mei (semalam) menjadi detik penuh bermakna dan istimewa kepada seluruh rakyat negeri Perlis apabila dapat meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-83 pada tahun ini.
Ia bukan sahaja diraikan melalui istiadat rasmi dan penganugerahan darjah kebesaran, malah disemarakkan dengan pelbagai program kemasyarakatan yang memperkukuh hubungan berpisah tiada antara raja dan rakyat.
Sambutan ini turut mencerminkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi dan sebagai penghargaan terhadap kepimpinan Baginda.
Dalam konteks ekonomi, institusi raja turut memainkan peranan sebagai pemangkin keyakinan pelabur dan kestabilan pasaran. Keberadaan raja sebagai simbol kesinambungan dan kestabilan memberi isyarat positif kepada pelabur tempatan dan luar negara.
Di Perlis, pelbagai inisiatif pembangunan ekonomi seperti sektor pertanian moden, industri kecil dan sederhana serta ekonomi sempadan terus berkembang dalam suasana yang stabil dan harmoni di bawah naungan institusi diraja.
Baginda juga turut memberikan perhatian yang serius terhadap pembangunan ekonomi negeri melalui The Chuping Valley Industrial Area (CVIA) yang kini telah melepasi Fasa 1 dan pengoperasian Perlis Inland Port (PIP) yang sudah pastinya akan memberikan peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan kepada rakyat Perlis.
Sektor pembangunan pendidikan turut mendapat perhatian serius. Sokongan institusi diraja terhadap sektor pendidikan membantu melahirkan generasi masa hadapan yang berilmu dan berdaya saing. Raja Muda Perlis, Brigadier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis ketika bertitah menyempurnakan Majlis Penutup Kem Jati Diri 2025 Untuk Pelajar-Pelajar Terpilih Sekolah Menengah Negeri Perlis menyeru agar para pelajar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada untuk mengenali potensi diri, memperkukuh sahsiah dan kembali ke sekolah sebagai individu matang, bertanggungjawab dan positif.
Situasi ini jelas menunjukkan bahawa peranan raja dalam menyokong agenda pendidikan memperlihatkan komitmen terhadap masa depan negeri dan negara.
Dalam sektor pelancongan pula, institusi diraja menjadi daya tarikan tersendiri. Keunikan budaya, adat istiadat dan warisan diraja terutamanya jika disebut tentang Salasilah Wangsa Jamalullail di Perlis turut menjadi antara sumber sejarah unik yang telah menyaksikan kesungguhan Raja-Raja Wangsa Jamalullail Perlis meskipun berada di bawah pengaruh Siam, British dan Jepun berjuang melakukan perubahan statusnya daripada sebuah daerah kepada sebuah Negeri Beraja yang berdaulat sekitar tahun 1825 sehingga 1843.
Selain itu juga, Sambutan Hari Keputeraan Raja Perlis sendiri antara tarikan yang mampu merangsang aktiviti pelancongan domestik.
Malam Kilauan Cahaya juga menjadi antara program atau acara tahunan yang sentiasa dinantikan oleh rakyat jelata apabila istana dibuka kepada seluruh rakyat Perlis untuk melihat secara dekat sebuah institusi diraja selain disajikan dengan persembahan kebudayaan serta yang menonjolkan identiti Perlis itu sendiri.
Lebih daripada itu, institusi raja juga berperanan sebagai simbol kepada perpaduan kaum. Sebagai payung negara, institusi diraja senantiasa akan memberi naungan secara saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum atau agama seperti yang tersurat dalam salah satu dari tujuh wasiat Raja-Raja Melayu.
Sebagai ketua sgama Islam dan pelindung kepada adat Melayu, institusi raja bertanggungjawab dalam memastikan kesucian Islam tidak tercemar dan identiti bangsa kekal dilindungi. Raja adalah ibarat payung kedaulatan negara.
Payung kedaulatan negara yang sudah pastinya tidak dirosakkan mahupun ditiriskan, ibarat jangan hanya dicari bila panas terlalu terik atau ketika hujan sudah pun turun.
Payung negara ini adalah lambang kepada sebuah kedaulatan negara yang memberi teduh di hari panas dan menangkis air di hari hujan.
Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-83 Raja Perlis pada tahun 2026 bukanlah sekadar satu perayaan, tetapi satu manifestasi kesyukuran, kesetiaan dan taat setia rakyat terhadap institusi diraja.
“Raja Payung Kedaulatan Negara” bukan sekadar ungkapan indah, tetapi realiti yang terus menjadi asas kepada kestabilan, kemakmuran dan keharmonian Malaysia. Institusi raja juga adalah penerusan kepada tradisi untuk mengekalkan identiti negara bangsa, satu lambang kedaulatan payung mahkota negara.
Ia mungkin pelita lama tetapi terus kekal untuk memancarkan cahaya. Pelita lama jangan terlalu cepat mahu dibuang apabila riak melihat fajar yang akan menyinsing dan kita perlu sentiasa ingat bahawa hari siang juga akan berakhir, janganlah nanti bila senja mendakap malam, kita mula teraba-raba, hilang haluan diselimuti kegelapan malam, kerana pelita lamanya sudah tiada lagi.
Mengambil kesempatan bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-83 DYMM Tuanku Raja Perlis, saya mendoakan semoga Baginda sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus memayungi negeri ini di samping Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Dirgahayu Tuanku! Dirgahayu Tuanku! Dirgahayu Tuanku! – UTUSAN
MUHAMAD Azuan Mohamad Nasir ialah Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).










